Monday, 29 June 2020

Prasekolah dan tadika dibuka pada Rabu

Menjelang pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta, yang dijadual bermula Rabu ini, ibu bapa semestinya sibuk menguruskan persiapan anak-anak selepas lebih tiga bulan tidak ke sekolah, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.


Dalam kalangan ibu bapa, pastinya ada yang masih ragu-ragu untuk menghantar anak ke sekolah, memandangkan negara masih belum diisytiharkan bebas Covid-19.

Justeru dalam hal ini, pihak pengurusan memainkan peranan utama memastikan pusat pendidikan itu bersedia, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menjamin keselamatan si cilik, semasa waktu pembelajaran.




Aspek jarak sosial, pergaulan murid serta kebersihan sekolah perlu diberi perhatian, apa lagi melibatkan kanak-kanak yang sentiasa aktif dan gemar melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.


Selain prasekolah, tabika dan tadika yang akan dibuka semula pada 1 Julai, beberapa sektor lain turut dibenarkan beroperasi termasuk, pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki, aktiviti menonton wayang, teater dan ‘live event’, serta penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.


Bermula tarikh itu juga, kerajaan turut membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat, majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir, serta aktiviti riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.

Hari ini, merupakan hari ke-20 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sejak ia dikuatkuasakan pada 10 Jun lepas.

Jika dilihat, satu demi satu kelonggaran telah diberikan namun masyarakat diingatkan supaya tidak alpa dengan kebebasan yang ada, kerana negara masih berperang dengan Covid-19.

Orang ramai perlu terus meningkatkan pematuhan SOP seperti yang sering diingatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang medianya, termasuk menjaga jarak sosial, kerap mencuci tangan, memakai pelitup separuh muka dan elak bertutur dengan jarak dekat.

Setakat semalam, jangkitan Covid-19 di Malaysia kekal dua digit apabila 18 kes positif wabak itu, dilaporkan menjadikan jumlah kes kumulatif dalam negara adalah 8,634 kes dengan kebolehjangkitan 195 kes.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 121 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — Bernama

No comments:

Post a comment