Wednesday, 22 July 2020

Ahli Parlimen Baling pertahan diri isu Tabung Haji

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menggunakan peluangnya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini menjelaskan dakwaan berhubung isu penyelewengan dan kontroversi yang melanda Tabung Haji (TH) ketika di bawah pengurusannya.

Abdul Azeez yang merupakan pengerusi TH pada Julai 2013 hingga Mei 2018, berkata beliau dan pihak pengurusan tertinggi TH telah dituduh melelong aset institusi kewangan orang Islam itu, tetapi hakikatnya aset TH meningkat sebanyak RM26.5 bilion sepanjang tempoh itu.

"Ini aset yang TH peroleh dalam bentuk fizikal, sama ada dalam bentuk ladang, tanah, saham dan lain-lain lagi. Ini adalah aset yang mempunyai nilai yang boleh dicairkan kepada tunai pada bila-bila masa jika keadaan mendesak," katanya.

Beliau turut menyoal tindakan pentadbiran Pakatan Harapan yang gagal membentangkan laporan tahunan TH pada tahun 2018 dan 2019 sambil menunjukkan laporan kewangan TH 2013 hingga 2016 semasa institusi itu berada di bawah pentadbiran beliau.

Jelasnya, keperluan dan kewajipan menyediakan laporan tahunan penyata kewangan ini telah termaktub dalam Seksyen 5 dan 6, Akta Badan berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240).


Abdul Azeez turut mempersoalkan kedudukan Panel Pelaburan TH yang sebelum ini berfungsi memperakui dan mengesyorkan sebarang pelaburan termasuk pengurusan risiko bagi institusi itu sebelum keputusan dibuat.

Bekas Pengerusi TH itu mengulangi pendiriannya mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH terdahulu sekali gus menawarkan diri menjadi individu pertama untuk disiasat dan memberikan kerjasama kepada RCI.

Tetap mempertahankan dirinya Abdul Azeez berkata setakat hari ini, beliau tidak dikenakan sebarang tuduhan di mahkamah berkenaan kes penyelewengan TH.

"Saya tidak ada satu kes pun dituduh atas Tabung Haji sampai dua tahun dua bulan ini. Satu kes pun tidak ada! Go and check the fact sir (periksa faktanya tuan), saya tidak ada tuduhan," katanya bagi menjawab celahan berbentuk teguran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) yang menyatakan penjelasan berkaitan TH sepatutnya dibuat di mahkamah, bukannya di Dewan Rakyat.

Persidangan menjadi hangat apabila Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) bangkit untuk mencelah: "Tadi Baling minta saya untuk mencelah (berkaitan tuduhan kes TH di mahkamah), beliau yang minta. Jadi saya beri hak saya kepada Langkawi untuk mewakili saya."

Abdul Azeez kemudian tidak mengizinkan perkara itu dan berkata: "ini bukan passing baton, I gave to you (bukan serah baton, saya serahkan kepada anda)!'', yang dijawab oleh Maszlee: "jikalau Baling anak jantan sila berhadapan dengan Langkawi, berani kerana benar.''

Pertikaman lidah itu dileraikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menjelaskan Maszlee telah diberikan kebenaran oleh Abdul Azeez untuk mencelah perbahasannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a comment