Friday, 10 July 2020

𝗖𝗮𝗺𝗽𝗮𝗸 𝗯𝗮𝘆𝗶: 𝗣𝗮𝘀𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗸𝗮𝘀𝗶𝗵 𝗱𝗶𝘁𝗮𝗵𝗮𝗻 𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝘀𝗶𝗮𝘀𝗮𝘁𝗮𝗻



GEORGETOWN - Seorang pelajar sebuah kolej berusia 18 tahun ditahan kerana dipercayai mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya dari tingkap tingkat 13 Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam di sini pagi tadi.

Polis menahan pelajar itu di rumahnya di pangsapuri berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, turut ditahan untuk membantu siasatan ialah teman lelaki pelajar terbabit yang berusia 18 tahun di sebuah rumah di Jalan Penawar kira-kira jam 12 tengah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, remaja terbabit mengaku mengadakan hubungan intim dengan teman lelakinya sehingga hamil namun tidak memberitahu keluarganya mengenai perkara tersebut.







"Pada jam 6 pagi tadi, remaja itu terjaga daripada tidur kerana sakit perut dan telah ke tandas untuk membuang air besar. Dia yang tidak menyangka akan melahirkan anak terkejut apabila bayinya terjatuh ke dalam mangkuk tandas lalu menangis.

"Panik dengan kejadian tersebut, dia telah membungkus bayi tersebut menggunakan baju yang dipakainya lalu mencampakkannya melalui tingkap bilik belakang rumahnya di tingkat 13," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada 2.30 petang ini.

"Kedua-dua mereka dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. Teman lelaki remaja itu mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala remaja berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan maut dipercayai dicampak oleh ibunya.

Kejadian itu disedari penduduk pangsapuri tersebut kira-kira jam 8.18 pagi tadi selepas terdengar bunyi dentuman kecil di laluan ke parkir di tingkat 4 pangsapuri setinggi 25 tingkat tersebut.

▶️Sinar Harian


No comments:

Post a comment