Monday, 27 July 2020

Jika diberi peluang, saya sedia tanding sebagai calon Perikatan Nasional - Dr Afif

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata beliau bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 sebagai calon Perikatan Nasional sekiranya diberikan peluang.

“Kalau diberi peluang, saya bersedia untuk bertanding sebagai calon Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini di Mona by Jibril di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Afif yang kini merupakan Adun Bersatu berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang bertanding dalam PRU15 sebagai calon Bersatu atau beliau melihat dirinya sebagai platform baru yang memperjuangkan idea politik berbilang kaum.

Bekas ketua pemuda PKR yang dipecat parti pada Mei lalu, kini merupakan pengasas dan pengerusi sebuah badan NGO, Pemuda Negara berkata pertubuhan itu diwujudkan untuk memperjuangkan politik pelbagai kaum yang menumpukan kepada isu kepentingan rakyat secara keseluruhan.


Bagaimanapun katanya, penentuan calon PN yang akan bertanding nanti ditentukan oleh kepimpinan.


Tak mahu politik lama orang tua

Menurutnya, bagi pemimpin muda, kepentingan negara perlu diletakkan melebihi kepentingan individu di mana calon yang terbaik perlu menduduki kerusi parlimen di sesuatu tempat itu dan bukannya “politik lama orang tua.”

“Kita tak mahu lagi politik lama orang tua yang masih lagi bercakap soal jawatan, soal itu soal ini - Umno dah lama kita patut bertanding sini, PAS kata kita banyak jentera patut bertanding sini.

"Jangan. Mari kita piih individu yang terbaik untuk mengetuai sesuatu kerusi parlimen itu atau untuk berkhidmat dalam kabinet apa pun kerajaan yang bakal dibentuk.

“Sebab saya rasa itu lebih penting. Rakyat merasakan kami layak mendapatkan ahli politik yang lebih baik dari apa yang kami ada sekarang,” katanya.


Meskipun perkara itu bukan mudah untuk dicapai, tetapi kata Afif rakyat perlu terus mempersoalkan ahli parlimen sedia ada mengenai prestasi dan perkhidmatan mereka.

Tambahnya, ketua pimpinan perlu mempunyai kewajipan untuk menampilkan pemimpin-pemimpin muda yang mampu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan adil.

“Ini tuntutan yang bagi saya perlu ada. Anda mahu nilai saya, nilai prestasi saya.

“Adakah saya akan menawarkan diri? Jika diberi peluang sudah tentu saya akan menawarkan diri saya.

“Sebab saya merasakan begini, bila saya buat Pemuda Negara, saya mahu mengajak seramai mana anak muda yang boleh (menyertainya). Kita nak lebih ramai orang baik duduk dalam politik,” katanya.

Tak tahu dipecat sebab apa

Menyentuh mengenai pemecatannya dalam PKR sebelum ini, Afif yang juga merupakan bekas exco Pulau Pinang berkata beliau tidak pernah sekali pun dipanggil oleh mana-mana mesyuarat atau lembaga disiplin untuk menjelaskan tentang kedudukannya ketika itu.

Dalam Notis Tunjuk Sebab PKR bertarikh 20 Feb dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Displin PKR, Afif didakwa melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional AMK 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 6 Dis tahun lepas.


Gambar fail, kekecohan di kongres AMK.
Katanya, beliau telah menjawab surat tunjuk sebab yang dikatakan menyebut dirinya sebagai pencetus kepada rusuhan yang berlaku pada Kongres Angkatan Pemuda tahun lalu.

“Jadi, kalau tanya saya sekarang ni adakah saya dipecat oleh itu (kongres) atau dipecat kerana selepas apa yang berlaku (pada) Langkah Sheraton, saya tak tahu sehinggalah saya dapat surat pemecatan,” katanya.

Katanya, susulan daripada pemecatan tersebut, beliau menjalankan tugas seperti biasa sebagai Adun di kawasannya sebagai pembangkang di Pulau Pinang walaupun semua peruntukan dan kemudahan yang diterima oleh Adun kerajaan negeri terbatal.

Afif meletakkan jawatan sebagai exco Pulau Pinang pada awal Mac lalu selepas beliau mendapat surat tunjuk sebab daripada PKR atas dakwaan mensabotaj parti dalam kongres parti itu Disember tahun lepas.

Katanya, ketika dalam PKR dan sehingga kini, beliau masih berpegang kepada prinsip politik pelbagai kaum dan menolak politik kelompok.

“Tetapi menjadi … saya boleh katakan minoriti dalam parti (PKR), tak ramai pemimpin yang berani ke depan, berjiwa besar untuk cakap pasal ini - meletakkan ketepi perbezaan.

“Saya lihat itu antara sebab bila mesej saya tu mungkin tidak disenangi oleh sesetengah mereka yang memegang kepimpinan dalam parti selepas pemilihan 2018, (mereka) merasakan saya ini satu ancaman atau satu suara sumbang untuk mereka kerana saya mengajak mereka untuk bersatu padu. Sebab itu saya rasa saya diambil tindakan,” katanya.

Langkah Sheraton tercetus apabila kumpulan yang berpihak kepada bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertemu dengan ahli parlimen Umno dan PAS di sebuah hotel di Petaling Jaya pada malam 23 Februari.

Susulan pertemuan di hotel itu, berlaku rantaian peristiwa yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan dan sekaligus perubahan pemerintahan yang membentuk kepada Perikatan Nasional.

Mkini

No comments:

Post a comment