Wednesday, 22 July 2020

#Juru Tanah rizab Kerajaan, Sungai Juru diceroboh


Pihak tidak bertanggungjawab bukan sahaja menceroboh tanah rizab kerajaan, malah membuat tambak haram di sepanjang Sungai Juru berhampiran Auto City di sini.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel berkata, sisa- sisa dipercayai daripada projek pelebaran Jalan Tok Kangar di sini juga didapati dibuang di sepanjang sungai.

"Pokok bakau dan pokok nipah yang menjadi tadahan sungai secara semula jadi telah dimusnahkan. Perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Tanah juga perlu melakukan pemantauan di kawasan yang diceroboh itu bagi mengelak masalah banjir di hilir sungai.

"Sungai Juru adalah antara sungai terpenting di sini yang menyambung anak sungai dan parit monsun sebelum mengalir keluar ke laut.








"Sepatutnya JPS perlu mendalamkan sungai tersebut bukan sempitkan sungai dengan membiarkan tambak haram sepanjang sungai tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, David berkata, setiap kali banjir berlaku, MBSP sering dipersalahkan dan kini sudah tiba masa untuk JPS bertindak tegas selain ambil langkah bagi memastikan rizab sungai dijaga dan mendalamkan sungai yang penting di Seberang Perai.

Beliau berharap pihak pengurusan projek pelebaran Jalan Tok Kangar iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan sisa dan tanah kotor projek berkenaan tidak dibuang di sepanjang Sungai Juru.

SINAR HARIAN

No comments:

Post a comment