Friday, 24 July 2020

Kertas siasatan SPRM berhubung terowong Pulau Pinang diserah kepada peguam negara segera

Siasatan berkaitan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion dijangka dapat diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau berkata, ketika ini siasatan kes berkenaan berada pada fasa terakhir dan tidak ramai saksi yang dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyiapkan siasatan kes berkenaan.

“Sepatutnya hari ini, kami memanggil (bekas Menteri Kewangan) Lim Guan Eng untuk memberi keterangan kali kedua, tetapi beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat

“Esok (Jumaat) juga beliau tidak dapat hadir kerana ada hal. Oleh yang demikian, SPRM akan meneruskan rakaman percakapannya sekali lagi Sabtu ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku “Modul Integriti dan Rasuah”, di sini, hari ini.

Semalam, Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk dirakam keterangan.



Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek terowong itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan beberapa exco dan bekas exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega itu.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai siasatan melibatkan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Azam berkata, pihaknya sedang dalam peringkat terakhir menyiapkan siasatan.

“Siasatan melibatkan Syed Saddiq masih lagi dijalankan dan kes ini tidak ramai lagi saksi untuk dipanggil dan saya percaya pegawai penyiasat dalam peringkat akhir untuk selesaikan kes ini dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, SPRM menafikan menahan Syed Saddiq selepas beliau dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan kehilangan wang lebih RM200,000 dari kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya, Mac lepas.

Dalam pada itu, mengulas mengenai siasatan berhubung urus niaga pertukaran tanah melibatkan Kementerian Pertahanan, Azam berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan kes berkenaan.

“Siasatan memang SPRM buat dan ada beberapa lagi siasatan yang masih belum selesai. Buat masa ini, saya tidak dapat mengumumkan keputusan kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pegawainya sedang memanggil beberapa lagi saksi lain untuk membantu siasatan, selain membuka beberapa lagi kertas siasatan kes itu.

Pada November tahun lepas, Kementerian Pertahanan mengemukakan laporan siasa tan 16 projek “land swap” kepada SPRM.

Bernama

No comments:

Post a comment