Saturday, 4 July 2020

Khalis Jamlus lelong Kasut Emas RM10,500 demi survival



Bekas penyerang skuad kebangsaan, Khalid Jamlus melakukan lelongan kasut emas yang dimenanginya pada musim 2002 dengan harga RM10,500 semalam melalui bidaan di Live Facebook miliknya.

Kasut emas sebagai penjaring terbanyak saingan Liga Perdana 1 musim 2002 itu dianugerahkan kepada Khalid selepas berjaya membawa Perak muncul sebagai juara apabila dia merekodkan 17 gol liga pada musim itu.


Acara lelongan itu menarik perhatian 1,000 orang yang menyertai sesi secara langsung itu dan pelbagai barangan peribadi Khalid seperti poster, jersi serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya juga dibuka untuk bidaan.


Beberapa lagi barangan lain seperti jersi Eintrach Frankfurt juga berjaya dibida oleh peminat selain medal kejuaraan yang pernah diraih ketika berada dalam zaman kegemilangannya.


Namun tindakan bekas pemain Perak dan Selangor yang menjual barang itu menjadi perbualan pengikutnya yang menyifatkan barangan tersebut mempunyai nilai sentimental yang tinggi bagi seorang pemain.

Bagaimanapun Khalid, 43,  menjelaskan dia tidak mempunyai pekerjaan selama tiga tahun dan faktor kewangan serta survival menjadi punca utama beliau membuat lelongan itu.

Selain itu Khalid juga ada berkongsi bagaimana dia menolak tawaran dari pasukan Kedah dengan gaji sekitar RM12,000 sebulan hampir 20 tahun yang lalu untuk terus setia bersama pasukan Perak.

Bagaimanapun, dia tidak mahu dikecam atas tindakan ini kerana baginya keadaan semasa mungkin amat sukar untuknya dan ini adalah haknya untuk meneruskan survival dalam situasi dunia yang tidak menentu. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a comment