Sunday, 9 August 2020

COVID-19: Seberang Perai Selatan kini zon kuning, MBSP giat perketat kawalan.

 COVID-19: Seberang Perai Selatan kini zon kuning, MBSP giat perketat kawalan

Bernama | Diterbitkan pada Ogos 09, 2020 18:21 +08 | Durasi: 1 minit, 51 saat


MBSP mengambil langkah pencegahan dengan memperketatkan kawalan bagi tiga pasar awam di daerah itu. - Bernama

BUTTERWORTH: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini giat meningkatkan operasi kawalan dan penguatkuasaan di 12 pasar awam yang dikenal pasti sibuk dan perlu diberi tumpuan berikutan berulangnya penularan pandemik COVID-19 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).


Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata apabila terdapat satu kes positif COVID-19 di daerah SPS, MBSP mengambil langkah pencegahan dengan memperketatkan kawalan bagi tiga pasar awam di daerah itu iaitu Pasar Awam Sungai Bakap, Pasar Awam Taman Berjaya dan Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara.


"MBSP juga telah meningkatkan kekerapan sanitasi di tiga pasar awam di SPS daripada kadar dua hari satu kali kepada setiap hari bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin manakala semua kerja-kerja sanitasi di lain-lain lokasi pasar awam berjalan mengikut jadual seperti biasa.


"Bermula hari ini, MBSP membahagikan anggota kepada tiga kumpulan bagi setiap daerah di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan juga di SPS bagi tujuan pemantauan premis perniagaan," katanya pada sidang media menerusi siaran langsung Facebook MBSP, di sini hari ini.


Dalam pada itu, Rozali berkata terdapat beberapa pasar malam berada di kawasan zon kuning dan berhampiran SPS mengambil langkah menutup operasi kerana penganjur tidak dapat melakukan kawalan prosedur operasi standard (SOP) dengan baik.


Beliau berkata tiga penganjur pasar malam yang bertindak menutup operasi sementara waktu sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak ialah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Merak (Pasar Malam Taman Merak dan Pasar Malam Simpang Ampat), MPKK Sungai Bakap Selatan (Pasar Malam Seruling Emas dan Pasar Malam Jalan Sentosa) dan MPKK Nibong Tebal (Pasar Malam Nibong Tebal).


Tambahnya, MBSP juga telah menambah kekuatan anggota sebanyak 40 peratus bagi operasi kawalan dan penguatkuasaan di sembilan pasar awam lagi yang dikenal pasti sibuk dan perlu diberikan tumpuan dalam usaha mengekang sebarang penularan jangkitan COVID-19.


Sembilan lokasi pasar awam berkenaan ialah Pasar Awam Taman Chai Leng, Pasar Awam Seberang Jaya, Pasar Awam Sri Bandar, Pasar Awam Apollo, Pasar Awam Bagan Ajam, Pasar Awam Sri Rambai, Pasar Awam Bukit Mertajam, Pasar Awam Kampung Baru dan Pasar Awam Tambun Indah.


-- BERNAMA 

No comments:

Post a comment