Sunday, 6 September 2020

3 wanita lumba haram di Bagan dicekup..


 


Butterworth: Tiga wanita ditahan selepas didapati berlumba haram dengan menunggang motosikal sambil melakukan pelbagai aksi berbahaya di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), di sini, hari ini.


Polis mengadakan operasi selama tujuh jam yang berakhir 6 pagi, tadi bagi membanteras kegiatan mat rempit yang sering menjadikan LLB sebagai 'port' untuk kegiatan terbabit.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika operasi didapati tiga wanita berusia 21 hingga 32 menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di lebuh raya berkenaan.


"Mereka disyaki berlumba dari Plaza Tol Bagan Ajam ke arah jejambat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum berpatah balik ke plaza tol arah Sungai Dua.


"Oleh itu, polis menahan mereka dan mereka dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapat perintah reman," katanya di dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Jelasnya, dua daripada wanita itu bekerja sebagai operator kilang manakala seorang lagi berniaga.


"Hasil ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati kesemua suspek negatif," katanya kepada pemberita hari ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kredit Harian Metro

No comments:

Post a comment