Tuesday, 15 September 2020

Banjir surut, Tiga pusat pemindahan sementara di Kuala Kangsar ditutup


IPOH: Seramai 62 mangsa banjir di daerah Kuala Kangsar yang ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing susulan banjir di kawasan terbabit sejak Sabtu lepas, surut sepenuhnya petang ini.

 

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Kangsar Ahmad Munir Ishak berkata, tinjauan yang dilakukan Pasukan Operasi Pengurusan Bencana Daerah di lokasi terjejas mendapati, air telah surut dan kediaman mangsa selamat untuk diduduki semula.

 

“Oleh itu, PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Setor, Asrama Kolej Risda dan Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid, ditutup mulai pukul 5 petang ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih, kepada semua pihak yang membantu menyelaras dan mengurus selia PPS tersebut dengan baik sepanjang ia beroperasi.

 

Sementara itu, menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman yang menempatkan mangsa banjir di daerah Kerian pula, masih dibuka sejak berlaku banjir kilat pada malam Sabtu lepas.

 

Setakat pukul 5.30 petang ini, seramai 75 orang mangsa daripada 34 keluarga termasuk seorang bayi lelaki, masih ditempatkan di PPS berkenaan.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a comment