Friday, 16 October 2020

10 Rumah Rosak Akibat Ribut Di Bagan Serai



BAGAN SERAI: Sebanyak 10 rumah di beberapa kampung di daerah Kerian di sini rosak apabila bumbung rumah diterbangkan angin ribut dalam kejadian awal pagi tadi.

 

Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan kawasan Alor Pongsu, Kampung Parit Haji Taib 1, Kampung Parit Gabis, Kampung Parit Husin Sungai Dungun, Parit Jawa dan Kampung Tanah Kebun.

 

Seorang penduduk yang juga pesara guru Jaafar Saad, 57, berkata beliau sekeluarga tersedar dari tidur apabila mendengar angin ribut diikuti hujan lebat pada pukul 5 pagi sebelum mendapati bumbung pada bahagian dapur rumahnya diterbangkan angin sehingga air hujan memasuki dalam rumah.

 

"Bagaimanapun kami amat bersyukur kerana tiada anggota keluarga yang tercedera dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Haji Taib 1 di sini hari ini.

 


Sementara itu, seorang penduduk dari Parit Husin, Abdul Rahim Awang, 64, berkata hujan lebat dan angin kuat turut menyebabkan atap dapur rumahnya diterbangkan angin ketika beliau sedang mengambil wuduk untuk mengerjakan solat sunat pada pukul 4 pagi.

 

“Atap itu diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter. Nasib baik ia tidak terkena kereta Proton Wira milik saya yang diparkir di tepi rumah,” katanya yang tinggal bersama empat ahli keluarganya di rumah berkenaan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat yang ditemui ketika melawat lokasi kejadian di Kampung Parit Husin berkata pihaknya akan memohon bantuan Tabung Bencana Daerah untuk membantu mangsa terlibat.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a comment