Saturday, 17 October 2020

COVID-19: Kes pertama lokap polis dicatat di Pulau Pinang..

 


Dewi Nur Harasha Alias

Oktober 17, 2020 14:14 MYT

COVID-19: Kes pertama lokap polis dicatat di Pulau Pinang

Sehingga kini, keseluruhan kes COVID-19 di Pulau Pinang di rekod sebanyak 402 kes dengan tiga kematian. - Astro AWANI

GEORGE TOWN: Selepas Penjara Reman Pulau Pinang dan penjara Seberang Perai di Jawi, polis hari ini mengesahkan terdapat satu kes positif COVID-19 melibatkan tahanan reman di lokap polis di negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kes itu yang pertama dikesan di lokap polis, seperti yang dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

Justeru, Sahabudin berkata, pihaknya telah mengambil langkah segera dengan membuat pengasingan tahanan lain yang mempunyai kontak rapat dengan lelaki berusia 23 tahun tersebut.

Jelasnya, lelaki itu didapati positif ketika dimasukkan ke lokap transit di Balai Polis Nibong Tebal di Daerah Seberang Perai Selatan.


Susulan kes tersebut, kata Sahabudin, semua tahanan baru juga akan diasingkan di lokap transit di setiap daerah sementara menunggu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat ujian saringan COVID-19.

"Sekiranya ada di antara tahanan baru yang positif COVID-19, mereka akan dipindahkan dan dirujuk ke hospital.

"Manakala bagi yang negatif, barulah mereka akan dibawa ke lokap polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Sahabudin, tahanan itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 sebaik sahaja dia dibawa ke lokap transit tersebut dan pihaknya dimaklumkan mengenai keputusan ujian pada hari berikutnya.

"Kontak rapat lelaki itu juga telah disaring dan pihak kita sedang menunggu keputusan dari KKM," tambahnya.

Beliau turut menjelaskan, semua lokap disanitasi setiap masa dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Pulau Pinang sebelum ini merekodkan dua kluster, iaitu Kluster Reman Pulau Pinang dan Kluster Penjara Seberang Perai di Jawi.

Sehingga kini, keseluruhan kes COVID-19 yang direkodkan di Pulau Pinang adalah sebanyak 402, dengan tiga kematian.

Pada Jumaat, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 33 kes positif COVID-19 baharu di negeri ini, termasuk satu kes melibatkan tahanan lokap polis.

Astro Awani

No comments:

Post a comment