Friday, 16 October 2020

Kedah belanja RM1.1 juta bantu penduduk terlibat Covid-19

HALIMATON Saadiah Saad (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan untuk pelajar yang menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Kolej Kediaman Bukit Kachi, UUM, Sintok, Kubang Pasu hari ini.


KUBANG PASU: Kerajaan Kedah membelanjakan RM1.1 juta bagi menyediakan bantuan bekalan makanan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran dan PKPD Bersyarat di negeri ini sejak Mac lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan negeri, Halimaton Saadiah Saad berkata, jumlah perbelanjaan tersebut tidak termasuk sumbangan bekalan makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu.

 

Menurutnya, bantuan tersebut juga melibatkan wang tunai sebanyak RM200 bagi setiap keluarga di Zon Melor, Ambangan Heights, Amanjaya, Sungai Petani dan Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak, Alor Setar yang terlibat dengan penguatkuasaan tersebut.

 

“Kerajaan negeri tidak mengabaikan kebajikan penduduk-penduduk yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan berikutan dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada pelajar yang menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Kolej Kediaman Bukit Kachi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini hari ini.

 


Pada masa ini, seramai 246 pelajar UUM menerima rawatan di pusat kuarantin dan rawatan itu sejak 9 Oktober lalu.


Dalam tempoh tersebut, seramai 26 pelajar disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Bah Sintok.


Halimaton memberitahu, penghantaran bekalan barangan makanan kepada penduduk terlibat Covid-19 itu pula diuruskan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 

Dalam pada itu, tambahnya, penduduk di negeri disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

 

“Saya dapati penduduk di negeri ini mempunyai kesedaran yang semakin tinggi terhadap kepentingan mematuhi SOP dalam memastikan abak tersebut berakhir dengan cepat,” katanya.

 

 -UTUSAN

No comments:

Post a comment