Friday, 16 October 2020

Kerajaan Pulau Pinang keluarkan RFP Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bulan depan



GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mengeluarkan tawaran Permohonan Cadangan (RFP) untuk pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera pada bulan depan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

 

Beliau berkata keputusan itu diambil selepas Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 3 April, memaklumkan peruntukan untuk projek tersebut tidak dapat diteruskan sekalipun projek berkenaan diluluskan dalam Belanjawan 2020.

 

Kerajaan Pulau Pinang telah mengemukakan rayuan pada 10 Jun lepas supaya Kementerian Kewangan meneliti dan menimbang semula keputusan itu, namun hingga kini tiada sebarang maklum balas diterima, katanya.

 

“Jadi, kerajaan negeri akan meneruskan projek ini dengan memanggil RFP melalui Perbadanan Bukit Bendera pada November nanti," katanya semasa menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

 


Katanya pelaksanaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera dijangka mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk siap sepenuhnya, sebelum boleh beroperasi.

 

Ditanya mengenai status projek-projek kerajaan persekutuan, Chow berkata terdapat 167 projek diluluskan untuk negeri itu dalam Belanjawan 2020  setakat 2 Ogos lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM14.9 bilion.

 

Daripada jumlah itu, 126 adalah projek baharu dengan kos RM10.52 bilion, manakala 41 projek adalah projek sambungan berkos RM4.38 bilion, katanya.

 

Jelas beliau, bagi projek-projek yang diluluskan itu, sebanyak 25 sudah disiapkan, 122 mengikut jadual, 13 dalam perancangan, enam lewat dari jadual dan satu projek sakit.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a comment