Tuesday, 17 November 2020

Polis siasat insiden pesakit Covid-19 lari hospital


GEORGETOWN: Polis menjalankan siasatan berhubung kes seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang petang semalam.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan merekodkan keterangan pesakit lelaki berusia 23 tahun itu sejurus selepas dia selesai menjalani rawatan di hospital.

 

“Sebaik sahaja siasatan lengkap dijalankan, kita akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

 

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang semalam, lelaki yang beralamat di Kepala Batas dekat sini itu dikesan tiada di katilnya selain turut menanggalkan gelang merah jambu dan meninggalkannya di atas katil wadnya di HPP.

 

Bagaimanapun, pesakit itu ditemukan orang awam berada di kaki lima kedai di Bayan Lepas kira-kira pukul 9 malam tadi yang bertindak menghubungi polis sebelum dibawa semula ke HPP.

 

Difahamkan, lelaki berkenaan yang memakai baju dan seluar putih berjalan kaki ke Bayan Lepas sejauh kira-kira 25 kilometer selepas bertindak melarikan diri dari HPP.

 

– UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a comment