Tuesday, 24 November 2020

'Tak sangka gurauan terakhir'

 


Oleh M Hifzuddin Ikhsan

November 24, 2020 @ 6:32pm

hifzuddin@bh.com.my

Anggota PGA, Koperal Judin Awi meninjau lokasi mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang maut ditembak  berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar. - Foto NSTP/Amran Hamid

Anggota PGA, Koperal Judin Awi meninjau lokasi mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang maut ditembak berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar. - Foto NSTP/Amran Hamid

PADANG BESAR: "Dia sempat menegur dan bergurau bersama saya sebelum keluar meronda, saya tak sangka itu gurauan terakhir kami," kata Koperal Alang Angah, 55, yang juga rakan karib mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54.


Alang berkata, pasukannya, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor baharu memulakan penugasan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan FELDA Mata Ayer di sini, pada 1 November lalu.


Katanya, dia sempat berjumpa mendiang kira-kira jam 9 malam di Pos Taman Radzi sebelum rakannya itu bersama Koperal Norihan A/L Tari, 39, keluar melakukan rondaan menaiki motosikal di sepanjang Jalan Kesban.


"Dia tidak tunjuk apa-apa perubahan, gurauannya juga seperti biasa kerana dia memang sering bergurau dan ceria ketika bersama kami.


"Bagaimanapun malam tadi saya tidak dapat tidur dan mula terasa tidak sedap hati... kira-kira jam 3 pagi kami dimaklumkan mengenai kejadian dan segera bergerak ke lokasi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Sementara itu, seorang lagi rakan, Koperal Judin Awi, 43, berkata beliau antara anggota terawal tiba di lokasi kejadian dan melihat mayat mendiang Baharuddin terbaring sambil memegang erat pistolnya.


"Dia memang rajin dan berani, pada bila-bila masa dia boleh keluar meronda serta meninjau kawasan sempadan selain tidak pernah mengeluh.


"Dia juga sering menasihatkan anggota lain supaya jangan gentar dan takut dengan sesiapa demi menjaga kedaulatan negara," katanya.


Judin berkata, mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan, juga merancang untuk bersara pada awal pada tahun hadapan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.


Kredit Berita Harian

No comments:

Post a comment