Sunday, 22 November 2020

[VIDEO] #Sedenak Pesawat ringgan mendarat kecemasan di lebuhraya PLUS

 


 Sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza F35 mendarat cemas di laluan kecemasan di Km47.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di Sedenak, dekat Kulai, pagi tadi, selepas mengalami kerosakan enjin.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kejadian berlaku pada 11.05 pagi ketika pesawat dikendalikan juruterbang Dr Yang Kuang Ying, 52, dan pembantu juruterbang Saleehullah Abdul Majid, 41, kedua-duanya rakyat Singapura, sedang melakukan penerbangan bagi melengkapkan rekod penerbangan rutin.


“Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura pada 10.50 pagi ke Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.

“Kejadian kegagalan enjin pesawat kemudian berlaku pada 11.05 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang, iaitu ketika di kawasan Simpang Renggam, pada ketinggian 5,000 kaki,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini hari ini.


Tok berkata kejadian menyebabkan juruterbang berpengalaman 12 tahun dengan rekod penerbangan 480 jam dan pembantunya itu membuat keputusan mendarat cemas sebelum berjaya mendaratkan pesawat terbabit tanpa menyebabkan kerosakan pada pesawat mahupun kecederaan ke atas mereka.


Beliau berkata berdasarkan keterangan juruterbang itu, pesawat tersebut dimilikinya dan mereka mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk melakukan penerbangan rutin berkenaan tanpa memerlukan surat rentas negara.

“Mereka sebenarnya telah berjaya melakukan penerbangan pusingan pertama pada awal pagi tadi ke lokasi sama, dan kejadian kegagalan enjin pesawat itu berlaku ketika pusingan kedua penerbangan, iaitu dalam penerbangan balik dari Lapangan Terbang Batu Berendam ke Lapangan Terbang Seletar,” katanya.

Menurut Tok, kes berkenaan diserahkan kepada DCA untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Plus Ronda dan polis trafik Kulai berhubung perkara tersebut sebelum 10 anggota dan sebuah jentera digegaskan ke lokasi.

Asyraf Nur berkata ketika tiba di lokasi pada 11.32 pagi, terdapat sebuah pesawat ringan telah membuat pendaratan cemas di laluan kecemasan di sebelah kiri lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya.

“Hasil pemeriksaan mendapati pesawat tersebut tidak mengalami kebakaran manakala dua juruterbang tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tindakan awal yang kita ambil bersama anggota polis ialah membantu menolak pesawat ringan tersebut yang menghalang laluan sebelah kiri lebuh raya berkenaan dari laluan kecemasan tempat mendarat ke kawasan lapang atas rumput (kira-kira 100 meter) di tepi lebuh raya bagi memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya. — Bernama









No comments:

Post a comment