Monday, 11 January 2021

Rakyat Pulau Pinang diminta terima keputusan PKP - Chow Kon Yeow

 


Kerajaan Pulau Pinang meminta semua rakyat di negeri ini menerima keputusan dan memberi kerjasama demi menjayakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua minggu bermula 13 hingga 26 Januari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua sektor ekonomi perlu membuat penyesuaian untuk mengurangkan impak negatif terhadap pembangunan sosio-ekonomi negeri.

"Kita perlu faham bahawa PKP amat diperlukan apabila terdapat penambahan kes Covid-19 yang mendadak sehingga hampir melumpuhkan sistem perubatan awam negara ketika ini.

"Jadi semua sektor ekonomi perlu membuat penyesuaian kerana jika kita tidak dapat memerangi pandemik Covid-19, kesejahteraan ekonomi juga tidak akan terjamin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, susulan pengumuman pelaksanaan PKP itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Covid-19 Pulau Pinang akan diadakan esok bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) PKP.

"Mesyuarat itu akan membincangkan dengan lebih lanjut SOP berhubung pelaksanaan PKP dalam tempoh dua minggu di negeri ini.

"Saya mengharapkan semua rakyat untuk terus bertenang, patuhi SOP dan terus amalkan amalan 4P dalam bersama-sama memutuskan rantai perebakan pandemik Covid-19," katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a comment