Friday, 8 January 2021

Semua sektor berkaitan ekonomi perlu siap sedia hadapi kemungkinan PKP


SEBERANG JAYA – Semua sektor berkaitan ekonomi di negeri ini diseru supaya bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan upacara angkat sumpah penerimaan jawatan 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

“Saya difahamkan, Kerajaan Persekutuan akan mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil sektor ekonomi dan industri untuk menerima maklum balas berhubung kesan dihadapi sekiranya PKP diisytiharkan semula.

“Kita sedang menunggu hasil daripada rundingan serta sesi libat urus ini, dan bagi negeri Pulau Pinang adalah tertakluk kepada berapa ketat syarat-syarat PKP atau kelonggaran diberikan kepada sektor-sektor tertentu.

“Jadi, pengalaman lalu telah mengajar kita bahawa setiap sektor akan menerima impak yang berlainan bergantung kepada jenis perniagaan, operasi dan sebagainya.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua persatuan berhubung dengan sektor ekonomi juga perlu bersiap sedia untuk merangka langkah-langkah bagi menghadapi kemungkinan ini,” katanya

Menurut Kon Yeow, kerajaan Negeri Pulau Pinang kini memberikan tumpuan kepada persiapan untuk menyediakan pusat kuarantin bagi menghadapi peningkatan kes COVID-19 memandangkan saringan ke atas pekerja-pekerja asing sedang giat dijalankan.

“Selain itu, saringan pekerja-pekerja di kilang, tapak-tapak pembinaan serta lain-lain dijangka menghasilkan kes-kes positif dan perlu ditempatkan di pusat kuarantin berdasarkan keseriusan setiap pesakit.

“Bagi mereka yang serius (bergejala) akan dimasukkan ke hospital manakala bagi yang berada pada tahap satu serta dua (akan ditempatkan) di pusat kuarantin berisiko rendah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menjelaskan bahawa Pulau Pinang masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan pusat kuarantin yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Kita difahamkan ada dua atau tiga pusat kuarantin dicadangkan tertakluk kepada kesesuaian kerana apa yang kita kemukakan adalah tertakluk kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) juga membuat permohonan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk kita mengendalikan pusat-pusat kuarantin sekiranya diluluskan kelak,” ulasnya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar PKP bersasar dilaksanakan bagi mengatasi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan ekoran peningkatan mendadak jumlah kes COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata bahawa negara kini berdepan dengan situasi yang kritikal dan memerlukan penyelesaian untuk menurunkan jumlah kes aktif dan perancangan tersebut perlu dilaksanakan mengikut keadaan serta situasi di sesetengah kawasan.

Sumber : Buletin Mutiara

Oleh : SUNARTI YUSOFF

No comments:

Post a comment