Monday, 22 March 2021

Fasa pertama projek Gurney Wharf dijangka siap 2022

 


 Fasa pertama projek taman rekreasi awam di atas laut, Gurney Wharf di Persiaran Gurney di sini yang bernilai RM176 juta dijangka siap suku pertama tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan

Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja fizikal projek Gurney Wharf itu dijangka bermula suku ketiga tahun ini memandangkan Covid-19 yang melanda negara.

“Fasa pertama projek ini dijangka siap dan dibuka kepada orang awam tahun depan.




“Saya juga ingin memaklumkan fasa pertama projek Gurney Wharf juga berkonsepkan hijau sejajar dengan matlamat serta visi kerajaan negeri menjadikan negeri ini sebagai negeri hijau,” katanya di sini hari ini.

Projek Gurney Wharf adalah taman awam di pinggir laut yang terletak di sebahagian tanah seluas 131.09 ekar yang ditambak di luar Persiaran Gurney yang diserahkan kepada kerajaan negeri secara berperingkat sejak tahun lalu.

Kerja-kerja penambakan di sepanjang pantai Persiaran Gurney bermula pada 2016 dan penambakan seluas 131.09 ekar selesai September 2019.

Kerja-kerja penambakan dilakukan berdasarkan perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD), anak syarikat Eastern & Oriental Berhad.

Menurut beliau hampir 50 ekar daripada 131 ekar akan dijadikan taman awam yang lengkap dengan kemudahan dan kemudahan awam untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Fasa pertama projek taman ini akan merangkumi landskap, taman persiaran, taman permainan kanak-kanak dan kios yang menjual makanan ringan dan cenderamata,” katanya.

Tambah beliau, taman berkenaan juga akan dilengkapi dengan kemudahan untuk OKU untuk memastikan akses kepada semua orang.

“Kemudahan teksi air juga akan disediakan di sini namun masih di peringkat perancangan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tujuan utama projek Gurney Wharf tersebut adalah untuk meningkatkan lagi status mercu tanda kawasan Persiaran Gurney. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a comment