Friday, 2 April 2021

#BandarBaruAirPutih Penduduk tuntut pemaju segera serah tapak masjid

 


Kerajaan negeri diminta berperanan untuk mewujudkan penyelesaian antara pemaju dan penduduk terhadap tuntutan tapak bagi pembinaan masjid di Bandar Baru Air Putih, di sini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berharap penyerahan tapak kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dapat dibuat segera bagi tujuan pembangunan berkenaan.

“Kita nak supaya isu ini selesai dengan sebaik-baiknya tanpa ada apa-apa provokasi yang berlaku kerana penduduk Bandar Baru Air Putih ini yang sudah berbelas tahun diabaikan hak mereka. 

“Perkara yang sudah terkandung dalam pelan itu ternyata jelas. Sepatutnya pihak pemaju kena menyerahkan tapak ini. Tidak sepatutnya pembangunan masjid untuk penduduk-penduduk Islam di sini diabaikan.




“Saya difahamkan oleh persatuan penduduk bahawa dewan orang ramai ini diberikan sementara untuk digunakan sebagai surau. Sedangkan dewan orang ramai ini bukan hak orang Islam sahaja, melibatkan maknanya penduduk yang bukan-Islam. 

“Jadi ini satu perkara yang tak patut berlaku. Sepatutnya dewan orang ramai ini dikongsikan oleh semua berbagai pihak berbagai kaum yang sedia menduduk di kawasan ini,” ujarnya.

Ustaz Fauzi menerima serahan memorandum penduduk yang disampaikan sempena himpunan aman dipimpin Persatuan Penduduk Bandar Baru Air Putih (PERMUDAH) di tapak masjid ini, pagi tadi.

Tegas beliau, pembinaan masjid tersebut penting bagi aktiviti penduduk, namun berlarutan sekian lama, malah tapak sekolah juga telah bertukar kepada pembangunan komersial.

Malah dikhuatirinya, tanah seluas 2.7 ekar yang dipelankan bagi pembinaan masjid itu dahulu sekiranya tidak diserah kepada pihak Majlis Agama Islam dan diwartakan, akan bertukar status kepada pembangunan lain.

Bahkan Ustaz Fauzi tidak menolak, jika perubahan status sedemikian boleh terjadi terhadap kawasan perumahan ini, maka tidak mustahil perkara sama akan berlaku di seluruh kawasan pembangunan perumahan seluruh negara.

Penasihat PERMUDAH, Muhammad Fadzli Ismail berkata, pihak penduduk telah berjuang dari tahun 2012 ke pejabat pentadbiran kerajaan negeri di KOMTAR termasuk berjumpa Menteri dan Timbalan Menteri.

Tegas beliau, tuntutan penduduk bukan secara sewenangnya, tetapi sebagaimana terkandung dalam master plan asal dan ketetapan untuk diberikan kepada Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang tara.

Bidasnya, perkara itu bermaksud hak yang berkenaan telah dinafikan, sedangkan populasi penduduk di kawasan tersebut kian bertambah dan amat memerlukan masjid. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

No comments:

Post a comment