Sunday, 11 April 2021

Isteri meninggal ditolak suami dari tingkat 18


Tukang masak ditahan, tolak isteri dari tingkat 18 kondominium

Georgetown: Tukang masak berusia 34 tahun ditahan polis kerana disyaki menolak isterinya jatuh dari tingkat 18 di Kondomium Bukit Awana, Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam, di sini, semalam.

Suspek dipercayai menolak mangsa yang juga ejen insurans berusia 35 tahun menerusi tingkap di ruang tamu rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek mengaku berlaku pertengkaran sebelum menolak mangsa.

Katanya, punca pertengkaran disebabkan suspek mendakwa isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

"Mereka sudah lebih setahun berkahwin dan belum dikurniakan anak, malah suspek mengaku menolak mangsa selepas pertengkaran itu.

"Suspek ditahan dan polis turut merampas botol yang mengandungi ketulan kristal dan plastik lut sinar mengandungi daun kering dipercayai dadah selain dua telefon bimbit," katanya di sini, hari ini.

Soffian berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang berasal dari Masai, Johor itu mendapati positif ganja tetra hydrocannibol (THC) dan tiada rekod lampau.

Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat impak jatuh dari tempat tinggi dan pengecaman mayat dilakukan oleh anak saudara mangsa," katanya.

Semalam, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 18 bangunan itu sebelum terdampar di atas bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 12.43 tengah malam.

Bomba menggunakan tangga menurunkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.

Kosmo Online

No comments:

Post a comment