Friday, 2 April 2021

Pemandu Swift dipercayai pukul seorang lelaki sebelum maut dalam kemalangan


Seorang pelajar lelaki parah selepas dipukul individu tidak dikenali menggunakan topi keledar dalam satu kejadian di sebuah kedai di Sungai Tiram, dekat sini semalam.

MalaysiaGazette difahamkan mangsa dikenali sebagai Iznur Hakim Mohd Nor, dipukul oleh lelaki yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Baru semalam.

Mangsa dikenali sebagai Iznur Hakim Mohd Nor
Difahamkan, mangsa didatangi lelaki berusia 30 tahun yang tidak dikenalinya sebelum tiba-tiba dipukul menggunakan topi keledar.

Lelaki tersebut kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift sebelum dilaporkan terlibat dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA. Anbalagan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.




“Kita masih jalankan siasatan berhubung kejadian tersebut termasuk dakwaan lelaki yang terlibat dalam kemalangan merupakan suspek dalam kes terbabit.

“Kita minta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil bagi membantu siasatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, seorang wanita memuat naik satu status di Facebooknya mendakwa adiknya mengalami kecederaan pada muka akibat dipukul pemandu kereta tersebut.



Status yang dimuat naik kakak mangsa menerusi Facebook.
“Kesian Hakim baru nak tidur selepas pulang dari sekolah. Depa kata, dia (pemandu Swift) ada masalah mental. Hakim kena pukul dengan helmet di bahagian muka. Memang teruk kena, bengkak semua,” tulisnya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Baru.

Mangsa berusia 30 tahun itu dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette


No comments:

Post a comment