Thursday, 1 April 2021

#PulauTikus Tanam Pokok ganja dalam tandas rumah


 Tindakan seorang penganggur menanam pokok ganja dengan cara menyemai benih di dalam rumah sewa memakan diri apabila dia ditahan polis semasa serbuan di sebuah rumah teres di Pulau Tikus, di sini minggu lalu.


Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan bersama tiga pasu pokok ganja oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira pukul 12.10 tengah hari.


Ketua Polis Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga pokok ganja berusia lima bulan itu ditemui ditanam di dalam pasu plastik dan diletakkan di tandas rumah yang disewa suspek tersebut.




Menurut beliau, siasatan mendapati lelaki berkenaan mengaku sekadar mencuba menanam pokok itu selepas terjumpa biji benihnya di dalam paket ganja kering yang dibelinya sebelum ini.


“Dia cuba menanam empat pasu pokok, namun hanya tiga yang subur, manakala sebatang lagi mati.


“Ketiga-tiga pokok ganja itu masing-masing setinggi 48, 39 dan 46 sentimeter (cm) dan dianggarkan bernilai RM2,660,” katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut di sini hari ini.


Menurut Soffian, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sejumlah dadah iaitu 28.5 gram (g) disyaki heroin, (30.38 g) syabu dan (13.63 g) ganja di atas meja makan.


“Kita turut menyita sebuah motosikal dengan jumlah keseluruhan sitaan termasuk dadah dianggarkan bernilai RM10,290.


“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif methamphetamine, namun dia tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya lagi.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6B, Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 6 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE


 

No comments:

Post a comment