Wednesday, 26 May 2021

Bayi perempuan mati lemas ketika dalam jagaan pengasuh


 Kredit Malaysia Gazette 

𝗣𝗨𝗟𝗔𝗨 𝗣𝗜𝗡𝗔𝗡𝗚

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi perempuan dalam jagaannya di Taman Seri Juru di sini semalam.

Suspek berusia 52 tahun ditahan di kediamannya pada jam 10 malam selepas pihak polis menerima laporan berhubung kematian bayi malang berusia 18 bulan itu dari Hospital Seberang Jaya pada jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kematian bayi perempuan itu sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.

Jelas beliau, hasil bedah siasat ke atas mangsa pada jam 4 petang mendapati punca kematian disebabkan lemas dalam air.

“Susulan itu, kita menjalankan siasatan ke atas pengasuh wanita berusia 52 tahun itu dan dia mendakwa bayi berkenaan berada dalam keadaan tidak sihat selain muntah sebelum anaknya menghubungi ambulans untuk bantuan lanjut.

“Manakala saksi berusia 16 tahun itu pula mendakwa melihat ibunya memegang bayi tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ambulans pada jam 11.37 pagi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Shafee, hasil siasatan lanjut mendapati suspek menjaga mangsa sejak sebulan lalu dan dia juga merupakan ibu saudara kepada ibu bayi tersebut.

Kata Shafee, mangsa akan dihantar oleh keluarganya setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 10 pagi sebelum dibawa pulang pada jam 6 petang.

“Sementara itu, pemeriksaan di rumah suspek, pihak polis merampas satu besen mandian plastik yang dipercayai digunakan untuk memandikan mangsa, kesan swab pada besen tersebut, sampel air mandian dan bangku plastik.

“Sehelai seluar dalam mangsa serta sehelai sapu tangan turut dirampas untuk membantu siasatan,

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujar beliau.

Kredit Sumber ⏩𝑴𝒂𝒍𝒂𝒚𝒔𝒊𝒂 𝑮𝒂𝒛𝒆𝒕𝒕𝒆 - 26 May 2021

No comments:

Post a Comment