Monday, 10 May 2021

Empat premis di Pulau Pinang disenarai HIDE dibuka semula esok.


SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 10 Mei 2021



Pasar raya dan pusat membeli-belah yang ditutup selepas disenaraikan di bawah HIDE boleh dibuka semula pada 11 Mei. Gambar kecil: Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Empat pusat membeli-belah dan pasar raya yang diarahkan tutup selepas tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebelum ini boleh dibuka semula dengan syarat proses sanitasi telah dilaksanakan sepenuhnya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Isnin.

Menurutnya, menerusi keputusan itu, kerajaan menekankan bahawa HIDE merupakan sistem amaran awal dan bukannya membabitkan kejadian kluster di lokasi-lokasi berkenaan.

"Apabila sistem HIDE yang dibangunkan oleh Bank Negara tersebut menyenaraikan lokasi-lokasi berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian risiko sebelum ia diarahkan tutup.

"Oleh demikian, keempat-empat premis membeli-belah dan pasar raya yang ditutup sejak Ahad akan dibuka semula esok (11 Mei).

"Ia adalah atas persetujuan hasil perbincangan saya bersama-sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang selepas mesyuarat sebentar tadi," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment