Wednesday, 12 May 2021

Penggunaan katil ICU di Pulau Pinang capai 100 peratus..


Semua katil ICU penuh, lebih 1,000 kes aktif di Pulau Pinang

FMT Reporters -May 11, 2021 10:43 PM

GEORGE TOWN: Penduduk Pulau Pinang digesa lebih berwaspada kerana kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) kini mencecah 100% dan kes aktif Covid-19 mencapai rekod tertinggi 1,648 kes hari ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata penyumbang utama kes baharu itu ialah tempat kerja, sektor pendidikan, sosial dan ekonomi.

Katanya, keadaan sangat “membimbangkan” dan mereka yang mempunyai gejala diminta segera menjalani ujian saringan supaya rawatan awal boleh diberikan kerana ada kes berakhir dengan kematian akibat lewat melakukan ujian.

Beliau turut menggesa orang ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksin. Data rasmi kerajaan menunjukkan 48.6% daripada 1.3 juta penduduk yang disasarkan di Pulau Pinang sudah mendaftar sehingga kini, manakala 71,521 daripadanya sudah divaksin.

“Janganlah kita berlengah kerana terdapat beberapa kes yang lewat mendapatkan rawatan awal, berakhir dengan sesak nafas dan seterusnya kematian.

“Kita tidak ingin perkara sedemikian berlaku kepada rakyat negeri ini.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan jumlah kes aktif di negeri ini menjangkaui 1,000 kes yang memerlukan pemantauan serta pengurusan aktif pihak hospital dan pejabat kesihatan daerah.

“Keadaan ini membimbangkan dan kita tidak mahu situasi sebagaimana di India berlaku di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan data yang dikeluarkan JKNPP hari ini, 187 kes baharu dilaporkan hari ini, dengan 166 daripadanya ialah warganegara dan 21 warga asing.

Majoriti jangkitan baharu itu berpunca daripada kontak rapat membabitkan 59 kes, bergejala dan baru diuji (51) serta tempat kerja (24).

Seberang Perai Selatan terus mencatatkan kadar jangkitan tertinggi bagi setiap 100,000 orang dengan 316 kes sehari, disusuli Seberang Perai Tengah pada kadar 178.

Pulau Pinang secara purata mencatatkan 166 kes setiap hari. Data itu dikira dari 28 April hingga 11 Mei, dan tidak termasuk kes import serta pusat tahanan.

Sebanyak 3,009 kes baharu Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 14 hari lalu, dengan daerah timur laut merekodkan jangkitan tertinggi iaitu 866 kes dalam dua minggu lalu.

Seberang Perai Tengah menyusul dengan 783 kes, Seberang Perai Selatan (626), Seberang Perai Utara (463) dan Barat Daya (271).

Sebanyak 34 kematian direkodkan di Pulau Pinang sehingga kini. 

#FMT #PulauPinang

#IUCNorthernNews

https://t.co/JE90XlzsXj

FMT

No comments:

Post a Comment