rubiconproject.com, 9655, RESELLER, 0bfd66d529a55807)

Monday, 21 June 2021

#Alma Janda ditipu kekasih maya, kerugian hampir RM 1 Juta

 


Seorang janda tidak sangka cinta hatinya dari Amerika Syarikat (AS) rupanya anggota sindiket Love Scam sehingga duit  simpanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir RM1 juta miliknya lesap begitu sahaja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, mangsa yang  bekerja di sebuah syarikat swasta berusia 58 tahun terjerat dengan penipuan tersebut selepas mengenali lelaki itu di Instagram.

Menurut beliau,  lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘William Schang’ mendakwa terlibat dalam urusan perniagaan gali minyak.

“Dalam tempoh perkenalan itu suspek  meminta pinjaman wang daripada mangsa selepas mendakwa berdepan masalah kewangan.

“Dalam tempoh setahun 10 bulan, mangsa diminta membuat bayaran ke dalam lima akaun pemilik warga tempatan yang semuanya berjumlah RM927, 400 kononnya bagi membiayai urusan perniagaan cari gali minyak di AS,” kata beliau di sini hari ini.

Kata beliau, traksaksi wang itu melibatkan 50 kali  sejak 9 April 2019 hingga Februari lalu sebelum wanita itu menyedari dirinya ditipu.

Jelas beliau, mangsa yang gagal menghubungi suspek  tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan keldai akaun untuk setiap transaksi malah semakan mendapati empat daripada lima nombor akaun itu mempunyai laporan bersangkut di beberapa negeri lain.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” kata beliau.

Mohd Rosni menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan hubungan percintaan di platform media sosial.

“Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis serta pujuk rayu orang yang tidak dikenali dan seterusnya memberikan bantuan kewangan tanpa usul periksa,” kata beliau. 

– UTUSAN

No comments:

Post a Comment