rubiconproject.com, 9655, RESELLER, 0bfd66d529a55807)

Tuesday, 22 June 2021

#TelukBahang Polis tahan lelaki beri bayi minuman keras


Polis Pulau Pinang telah menahan seorang lelaki yang bertindak memberi minuman keras kepada bayi berusia lima bulan selepas rakaman video tersebut tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki yang juga bapa bayi berkenaan ditahan sepasukan polis di Teluk Bahang pada pukul 1.30 tengah hari Selasa.

Beliau berkata, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan berkenaan rakaman tersebut.

Siasatan polis mendapati lelaki itu mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan juga orang pengawasan polis (OPP) di kawasan Teluk Bahang.

Katanya, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.

Kamarul Rizal berkata, permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Balik Pulau untuk siasatan lanjut.

Bayi berkenaan juga telah dirujuk ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut.

Kamarul Rizal berkata demikian dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu Ketua Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel membuat laporan polis selepas melihat rakaman video seorang lelaki memberi minuman tin dipercayai arak kepada seorang bayi.

Rakaman berkenaan tular di media sosial hari ini sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan seorang lelaki yang sedang memangku bayi dan memberinya minuman keras itu dari tin yang tertera jenama arak tersebut

Insiden itu didakwa berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang, di sini.


AWANI

No comments:

Post a Comment