rubiconproject.com, 9655, RESELLER, 0bfd66d529a55807)

Wednesday, 15 September 2021

#NibongTebal PDRM bongkar makmal proses dadah, 7 lelaki ditahan


Polis membongkar makmal memproses dadah di sebuah kondominium mewah di Bukit Tambun, Simpang Ampat dan menahan tujuh lelaki bersama dadah pelbagai jenis bernilai RM184,335 dalam siri serbuan di sekitar Nibong Tebal, di sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya menyerbu kondominium itu pada 7.30 malam sebelum menahan dua lelaki berusia 39 dan 51 tahun, hasil maklumat dan risikan polis sejak dua minggu lepas.

“Semasa serbuan itu, dua lelaki tersebut sedang leka memproses dadah dan tidak sempat melarikan diri. Polis kemudian merampas 13.6kg heroin serta 7kg serbuk kafein yang semuanya bernilai RM184,335. Turut dirampas peralatan memproses dadah serta cecair kimia,” katanya pada sidang akhbar di sini.






Susulan penahanan dua lelaki itu, katanya, polis menyerbu tiga lagi lokasi di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) dan menahan lima lagi lelaki berusia 21 hingga 50 tahun yang dipercayai ahli sindiket memproses dan mengedar dadah tersebut.

Mustafa berkata, polis turut menahan ketua sindiket, iaitu lelaki berusia 34 tahun di sebuah kedai menjual gas memasak/gas petroleum cecair (LPG) dan dipercayai berselindung di sebalik perniagaan itu bagi mengaburi pihak berkuasa daripada kehidupan mewahnya hasil kegiatan memproses dan mengedar dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak tiga bulan lepas dengan menyewa kondominium mewah tersebut pada kadar RM1,800 sebulan hanya untuk dijadikan makmal memproses heroin.

“Sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka, sebelum memprosesnya menjadikan heroin dan dipasarkan sekitar negeri di utara. Dadah yang dirampas itu boleh digunakan 67,900 penagih,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita enam kereta mewah, antaranya dua BMW, sebuah Mercedes Benz dan Nissan Sentra serta barang kemas dan wang dalam akaun mereka yang semuanya bernilai RM266,000.

Menurutnya, semua yang ditahan itu positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. Mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

FMT

No comments:

Post a Comment