Showing posts with label BR1M. Show all posts
Showing posts with label BR1M. Show all posts

Thursday, 16 November 2017

BR1M tambahan dipertimbang jika pendapatan minyak meningkat

Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tambahan sekiranya peningkatan harga minyak memberikan pendapatan tambahan kepada kerajaan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Katanya, pemberian BR1M tambahan itu bagi meringankan beban masyarakat berpendapatan rendah berikutan peningkatan harga minyak.

“Kerajaan ambil maklum peningkatan harga minyak ini dan kalau peningkatan ini menyebabkan kerajaan dapat lebihan pendapatan yang boleh disumbangkan kepada masyarakat berpendapatan rendah seperti penerima BR1M, kemungkinan besar kita boleh mempertimbangkan BR1M tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri itu menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berkenaan pertambahan hasil kerajaan berikutan peningkatan harga minyak.

Bagaimanapun, katanya, pemberian BR1M tambahan berkenaan bersifat tidak kekal.
Menurutnya, bagi peningkatan setiap dolar AS bagi satu tong harga minyak mentah dunia, kerajaan akan mendapat pendapatan tambahan kira-kira RM300 juta.

Menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) berkaitan impak sistem apungan harga minyak, Johari berkata, sejak diperkenalkan, impak sistem berkenaan kepada pengguna hanya berjumlah satu sen.
“Sejak kita apungkan, ada 12 kali turun dengan jumlah 74 sen dan 19 kali naik berjumlah 75 sen. Jumlah impak keseluruhan satu sen,” katanya.

Menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) dan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) berkaitan wang tidak dituntut, Johari berkata, sejak 1977 sehingga September lepas, jumlah wang tidak dituntut yang direkodkan ialah RM9.06 bilion.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, RM1.64 bilion telah dibayar balik kepada pemilik dan RM1.46 bilion dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan.

Monday, 13 March 2017

Jangan Percaya Fitnah Pembangkang Terhadap BR1M - Nancy




SADONG JAYA: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sepatutnya dilihat sebagai usaha murni kerajaan untuk membantu meringankan bebanan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Sehubungan itu menurutnya, rakyat terutama penerima BR1M tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang melemparkan pelbagi tuduhan terhadap pemberian bantuan tersebut.

“Rakyat khasnya penerima BR1M tidak harus mempercayai fitnah dan dakwaan pihak pembangkang mengenai pemberian bantuan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan BR1M 2017 Daerah Kecil Sadong Jaya di Dewan Baharu Pekan Sadong Jaya di sini semalam.

Beliau berkata, pembangkang sengaja mahu menimbulkan keraguan di kalangan penerima biarpyn niat ikhlas dan usaha murni kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa ini.

“Justeru, kita tidak harus mempercayai kata-kata pihak yang memburuk-burukkan bantuan BR1M kerana ada kalangan mereka yang berkata demikian telah membuat pusingan U dalam kenyataan mereka, di mana mereka pula menyatakan bahawa jika mereka memerintah negara ini, bantuan BR1M akan tetap diteruskan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berharap penerima BR1M menggunakan bantuan tersebut dengan sebaik mungkin. 

“Oleh itu, buanglah andaian-andaian negatif ini sekiranya ada di kotak fikiran anda kerana bantuan ini adalah hak anda semua untuk membantu meringankan kos sara hidup,” jelasnya.– Sarawakiana

Tuesday, 7 March 2017

Siapa kata pendaftar SSM tak layak dapat BR1M

Semua individu bujang yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 dan isi rumah dengan pendapatan RM4,000 ke bawah layak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan yang kini viral di laman sosial kononnya pemohon yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak layak mendapat bantuan itu.
“Sesiapa yang mendaftar BR1M, tak kira ada SMM ke tiada SSM, sepatutnya dapat bantuan ini kalau pendapatan di bawah RM4,000.
“Saya beri jaminan isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,000 dan individu bujang yang bergaji RM2,000 ke bawah akan dapat BR1M… kalau siapa tak dapat, saya nak tahu,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Johari berkata kebanyakan permohonan yang ditolak disebabkan kegagalan pemohon menyertakan salinan slip bayaran gaji atau penyata bank kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya beliau memaklumkan kepada LHDN supaya tidak menyukarkan urusan permohonan bantuan itu.
“Mereka yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 perlu dibantu. SSM memang untuk menggalakkan masyarakat berniaga, cuma pemohon BR1M perlu sertakan sekali slip bayaran gaji dan atau penyata bank.
“Kalau dua-dua itu tak ada, mereka perlu beri salinan buku akaun simpanan,” katanya.
Johari berkata dokumen itu perlu disertakan bagi mengelak permohonan bantuan itu dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Sebelum ini saya difahamkan oleh LHDN, setelah diperiksa didapati ramai penerima BR1M sebenarnya memperoleh pendapatan hasil perniagaan yang banyak, ada yang berpendapatan sehingga RM9,000 sebulan,” katanya.
LHDN turut mengedar risalah kepada pemohon supaya menyertakan bersama slip bayaran gaji, penyata bank atau salinan buku akaun simpanan ketika membuat permohonan itu.

FMT

Sunday, 15 January 2017

Henti perang mulut mengenai BR1M, kata Khairy

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) terbukti satu polisi kerajaan yang baik bagi rakyat, justeru “perang mulut” mengenainya tidak perlu lagi berpanjangan, kata Ketua Pemuda Umno Khairy
Jamaluddin.
Katanya, beliau bersyukur fakta berkenaan akhirnya turut diakui bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini pernah dilapor melabelkannya sebagai rasuah.
“Akhirnya kita nampak BR1M dasar yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Kewangan anjuran Bank Negara yang turut dihadiri Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, di sini, hari ini.
Khairi yang juga Menteri Belia dan Sukan mengulas ucapan Dr Mahathir semalam yang dilapor memberi bayangan BR1M akan diteruskan jika pembangkang memenangi PRU-14.
Ditanya sekiranya Dr Mahathir boleh dilabelkan sebagai melakukan pusingan “U” dengan kenyataan terbaharunya, Khairy enggan menjawab kerana ini menurutnya hanya akan menjadi satu polemik yang akhirnya mencemarkan BR1M sebagai satu dasar yang baik.
“Pendekatan (BRIM) ini sebenarnya diamalkan di banyak negara, malah ini adalah satu pendekatan yang dicadang Bank Negara sendiri.
“Bagi saya mewakili kerajaan, ini adalah satu polisi yang akan kita teruskan, kerana ini adalah polisi yang terbukti berjaya meringankan beban dan bantu rakyat untuk tampung kehidupan mereka,” katanya.

Friday, 30 December 2016

Pendaftaran Baharu BR1M dilanjutkan sehingga 13 Jan


KUALA LUMPUR:  Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa tempoh pendaftaran baharu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 akan dilanjutkan sehingga 13 Januari 2017.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Kementerian Kewangan mengingatkan semua penerima yang layak membuat permohonan secara atas talian di https://ebr1m.hasil.gov.my.

Permohonan juga boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara percuma.

Tuesday, 27 December 2016

BR1M diterima dasar seantero dunia - Khairy Jamaluddin

"Ini tak masuk akal, tetapi orang masih percaya cakap beliau."

Kritikan terbaru bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah tidak masuk akal kerana program ekonomi tersebut diterima secara meluas, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Mahathir semalam mengulangi dakwaannya BR1M adalah rasuah dan oleh itu, haram untuk menerimanya.

"Ini mengarut. Pemindahan tunai diterima sebagai program ekonomi di seluruh dunia. Namun, masih ada orang yang percaya cakap beliau.

"Dan ada beberapa pihak daripada Gen Y sesat yang belum hidup di zamannya akan berkata: 'Apa yang kamu tahu? Kamu tidak bina menara berkembar," ujar beliau di Twitter.

Tahun depan, keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan akan menerima bantuan tunai RM1,200 manakala keluarga yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 akan menerima RM900.

Semalam, Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).