Showing posts with label Dato' zaidi. Show all posts
Showing posts with label Dato' zaidi. Show all posts

Wednesday, 11 May 2016

Pakatan Antara Tun M & Pembangkang Amat Pelik - Dato' Zaidi



Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menyifatkan pakatan antara Tun Mahathir dan Dap, PKR serta parti Amanah merupakan satu pakatan yang amat pelik memandangkan matlamat perjuangan yang dibawa oleh mantan Perdana Menteri itu amat berbeza sekali dengan matlamat yang diperjuangkan oleh ketiga-tiga parti pembangkang tersebut.

Menurut beliau, Tun Mahathir sebelum ini berkali-kali menegaskan bahawa pakatan bersama Dap, PKR dan parti Amanah ini bukan sebuah pakatan politik untuk mengambil alih kerajaan, tetapi ia hanyalah satu pakatan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri Malaysia hari ini.

Tun Mahathir seperti yang kita tahu telah membuat kenyataan bahawa beliau berpakat dengan Dap, PKR dan parti Amanah bukanlah bertujuan untuk mengambil alih atau menjatuhkan kerajaan sedia ada, tetapi pakatan beliau itu adalah khusus untuk menumbangkan dan menjatuhkan Perdana Menteri yang sedia ada, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 “Bagi saya, berdasarkan kenyataan itu, pakatan antara Tun Mahathir dan pembangkang ini merupakan satu pakatan yang amat pelik kerana jelas matlamat Dap , PKR dan parti Amanah adalah untuk menumbangkan BN serta mahu mengambil alih kerajaan dan bukan sekadar untuk menggantikan Datuk Seri Najib sahaja sebagai Perdana Menteri dan mengekalkan kerajaan yang sedia ada.

 “Ini bermakna, apa yang diimpikan di dalam perjuangan Tun Mahathir ini sangat berbeza sama sekali dengan perjuangan dalam pakatan rakyat. Jadi bagaimana dua perjuangan yang berbeza dan bercanggah antara satu sama lain ini boleh dipercayai oleh kita sebagai rakyat Malaysia,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau seterusnya menjangkakan pakatan antara Tun Mahathir dan ketiga-tiga parti pembangkang itu tidak akan kekal dan bertahan lama memandangkan matlamat dan perjuangan yang dibawa oleh Tun Mahathir dan juga parti pembangkang itu amat berbeza sama sekali.

 “Saya yakin rakyat sudah sedia maklum bahawa asas perjuangan dalam gabungan parti pembangkang amat rapuh dan mereka ini tidak pernah senada dan sekata dalam segala tindakan dan perbuatan mereka.

 “Dan yang terkini kita lihat apa yang berlaku di pilihanraya negeri Sarawak di mana kesepakatan parti pembangkang terutamanya antara Dap dan PKR hancur apabila mereka akhirnya bersaingan sesama sendiri untuk berebut kerusi.

Perbuatan mereka ini jelas sekali bahawa pakatan mereka ini penuh dengan kekeliruan amat sukar untuk mereka bersatu,” jelasnya. Justeru itu beliau meminta rakyat agar sedar hakikat ini di mana berdasarkan sejarah panjang politik negara telah membuktikan bahawa hanya ada satu parti atau pakatan sahaja yang mampu bertahan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara iaitu BN.

 “Saya harap seluruh rakyat di negara ini sedar, bahawa kedua-dua pihak ini mempunyai agenda peribadi yang tersendiri. Kita akui bahawa UMNO dan BN juga tidak lepas daripada sebarang masalah, tetapi masalah kita tidaklah begitu serius sepertimana yang berlaku terhadap blok parti pembangkang.

 “Dan kita juga yakin, sebagai sebuah parti dan pakatan yang sudah berpengalaman memerintah, UMNO dan BN mampu untuk menangani sebarang masalah dengan penuh toleransi demi kepentingan bersama untuk membangun dan memakmurkan negara ini,” ujarnya.