Showing posts with label MCA. Show all posts
Showing posts with label MCA. Show all posts

Thursday, 3 October 2019

#PRKTanjungPiai MCA tangguh AGM elak tembung penamaan calon Tg Piai


MCA membuat keputusan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu, yang dijadualkan pada 2 dan 3 Nov ini bagi mengelakkan bertembung dengan hari pencalonan pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon berkata, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat Majlis Presiden MCA hari ini, di mana tarikh baru untuk AGM itu akan diumumkan kelak.

“Berikutan logistik parti yang menyeluruh dalam mengatur tempat, pengangkutan, tempat penginapan dan makanan, terdapat keperluan untuk pengubahsuaian dan perancangan semula. MCA akan mengumumkan tarikh baru bagi AGM tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong berkata, susulan AGM dan pilihan raya kecil itu jatuh pada tarikh yang sama ia menimbulkan kesulitan besar kepada MCA kerana menanggung kerugian wang dan masa serta terpaksa menyediakan peruntukan tambahan bagi perancangan semula.



Pilihan raya kecil Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ia diadakan berikutan kematian Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-PPBM pada 21 Sept lepas.

Tuesday, 10 April 2018

MCA umum aku janji 10 perkara pastikan manifesto BN berkesan


KUALA LUMPUR: MCA hari ini menzahirkan 10 aku janji dan 10 inisiatif dalam manifestonya bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), dengan inisiatif memperkasakan golongan belia sebagai tonggak utama.

Manifesto itu dilancarkan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Wisma MCA hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

“Manifesto MCA untuk PRU14 adalah inisiatif parti untuk memastikan manifesto Barisan Nasional (BN) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tiada seorang pun, tanpa mengira kaum, akan diketepikan.


“Oleh itu, kami akan melakukan yang terbaik dan kami memberi jaminan kepada masyarakat Cina dan semua rakyat di negara ini, kami akan melaksanakan manifesto ini,” kata Liow pada sidang akhbar selepas pelancaran itu.

Sepuluh aku janji itu termasuk janji untuk memperkasakan golongan belia dan wanita dengan menawarkan peluang perniagaan baharu dan latihan kerja untuk membangunkan kemahiran keusahawanan sejajar Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan memanfaatkan hubungan dengan China dengan membuka peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan di negara itu serta usahawan China.

Dalam manifesto itu, MCA berjanji melakukan transformasi perniagaan tradisional, terutama perusahaan kecil dan sederhana, termasuk industri kotej dan entiti perniagaan rumah, untuk mengambil peluang gelombang e-dagang dalam memperbaiki kehidupan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, MCA juga berjanji mentransformasikan kampung baru kepada pusat bandar baharu dengan mempromosikan e-dagang, pertanian moden dan pelancongan ekobudaya.

Selain menzahirkan 10 aku janji itu, MCA juga menggariskan 10 inisiatif untuk dilaksanakan jika parti itu diberi mandat pada PRU14.

Sepuluh inisiatif itu termasuk usaha untuk menubuhkan Unit Pemantauan Pusat atau Biro yang terdiri daripada ahli akademik, profesional, usahawan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau dasar kerajaan, rancangan serta program kerajaan untuk memastikan pelaksanaan adil dan berkesan.

Parti itu juga akan mengambil inisiatif untuk menubuhkan majlis ekonomi digital dan inovasi untuk menggalakkan perniagaan tradisional, terutama industri kecil dan sederhana merebut peluang serta menerapkan budaya e-dagang dan revolusi digital.

Bagi pendidikan tinggi bertaraf dunia, Universiti Tunku Abdul Rahman akan menubuhkan hospital pengajar di Kampar, Perak untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan, selain meningkatkan keupayaan universiti bagi pengajian pasca siswazah.

Wednesday, 14 March 2018

Liow Minta Guan Eng Jawab Isu Terowong

Foto fail: BernamaFoto fail: Bernama
















SEPANG: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhenti melarikan diri dan sebaliknya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Timbalannya Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu kontroversi terowong dasar laut Pulau Pinang.
Katanya Lim tidak harus mengelak daripada berdepan dengan soalan Wee memandangkan amat penting segala keraguan berhubung projek tersebut diperjelas.
“Semua orang boleh lihat beliau mengelak daripada perbahasan ini. Beliau sebenarnya sedang mencari alasan memandangkan beliau tidak dapat memberi jawapan berhubung isu terowong tersebut,” kata Menteri Pengangkutan itu pada sidang media selepas memperkenalkan tren KLIA Ekspres baharu, di sini hari ini.
Minggu lepas, Wee dilaporkan mencabar Lim yang juga Setiausaha Agung DAP untuk berbahas dengannya mengenai projek terowong dasar laut itu.
Lim bagaimanapun menolak dengan alasan beliau hanya akan membahaskan isu tersebut dengan presiden MCA yang setaraf dengannya dari segi protokol politik.
Mengulas isu berbeza, Liow berkata perpaduan MCA Johor tidak harus dipertikaikan kerana ketika ini parti itu dan juga rakyat di Johor kekal bersatu bagi memastikan Barisan Nasional meraih kemenangan majoriti dua pertiga.
“MCA dalam keadaan baik di sana dan bersama-sama rakyat. Kami bersedia berdepan cabaran pada pilihan raya umum akan datang untuk membantu BN,” katanya.
-BERNAMA

Sunday, 5 November 2017

Najib berjanji BN menang, Cina senang

 Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berjanji akan memberi kesenangan dan kelebihan kepada masyarakat Cina, jika parti itu dapat meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perdana menteri berkata, untuk mendapat lebih banyak bantuan daripada kerajaan, MCA perlu memainkan peranan untuk meraih sokongan pengundi Cina bagi membantu BN mencapai kemenangan lebih besar.

“Sebab itulah kalau masyarakat Cina nak lebih lagi, tolong sokong BN lebih. Sekarang MCA ada 7 ahli Parlimen sahaja, kalau 15 ahli Parlimen lebih kuat.

“Dalam kerajaan kita tanya pada suara kaum Cina, apa mereka mahu, wakil Cina yang kuat atau lemah? Pilihan di tangan anda. Beritahu komuniti Cina, DAP tidak akan boleh tubuh kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA di ibu pejabat parti itu hari ini.
Najib berkata, beliau tetap memperuntukkan 3 jawatan Kabinet kepada MCA, walaupun parti itu hanya menyumbang 7 kerusi Parlimen pada PRU13.

“Saya perlu timbang kerusi tambahan MCA dalam Kabinet. Kalau 7 kerusi tak boleh ada 3 menteri, mungkin hanya 1 menteri. Tapi kita buat kerana nak tunjuk kita dengar suara komuniti Cina.
“Tapi tolong sokong, tak boleh kamu nak semua, tapi undi tak bagi, mana masuk akal? Kemudian merungut asyik bagi pada orang Melayu dan orang lain, orang lain sokong kita.”

Beliau berkata, perniagaan dan kemewahan hidup dinikmati kaum Cina kesan “payung” kerajaan BN yang mentadbir negara ini sejak 60 tahun lalu.
“Beritahu komuniti Cina, benar memang kamu bijak buat duit, kamu bijak dalam semua hal, tapi jangan lupa kalau tiada kestabilan politik dan keamanan, kamu ingat boleh buat duit?
“Kamu rasa kamu bijak, benar…tapi kamu memerlukan payung kestabilan, BN yang memberikan payung kestabilan itu.”

Katanya, peluang yang diberikan kerajaan pimpinannya membolehkan komuniti Cina di negara ini berjaya dalam perniagaan mereka.
“Kerana apa? Kerana kerajaan BN kami berikan peluang…projek MRT segalanya siapa dapat? Kamu dapat bahagian yang adil. Melayu pun tidak dapat semua. Kita kena berkongsi bersama-sama.”

Sunday, 3 September 2017


SEREMBAN, 2 Sept – Sokongan pengundi Cina di negara ini kepada Barisan Nasional (BN) khususnya MCA semakin positif dan ia diterjemahkan melalui kehadiran beramai-ramai di setiap program anjuran parti itu seperti Jalinan Rakyat (JR) Plus.

Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon berkata sentimen masyarakat Cina hari ini adalah lebih baik dan mesra BN, berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dilihat seakan menolak kehadiran pemimpin BN di kawasan mereka.

“Hari ini kalau kita boleh lihat, apabila calon-calon kita turun padang mereka ini telah disambut dengan baik malah ada dikalangan masyarakat Cina juga sudah boleh meminta untuk bergambar bersama. Bagi saya ini satu petunjuk yang baik.

“Kalau sebelum ini, kadang-kadang mereka ini tidak hendak berjabat tangan pun dengan kita dan tidak mahu mengambil risalah yang kita edarkan kerana lebih terpengaruh dengan dakyah pembangkang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidiladha bersama jemaah Masjid Kariah Kampung Dacing dan Masjid Kariah Taman Panchor Jaya di Masjid Kariah Taman Panchor Jaya di sini.

JR Plus yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 April lepas merupakan satu langkah agresif parti untuk memantap lagi jentera BN khususnya dalam menghadapi waktu-waktu kecederaan sebelum tiba PRU14 tidak lama lagi.

Sementara itu, Chong berkata jentera MCA sudah siap sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan berazam untuk menebus kekecewaan yang dialami pada PRU13.

“Kita ada perpaduan yang kuat di kalangan MCA pada hari ini termasuk di Negeri Sembilan dan kita akur bahawa kita ada isu pada PRU yang lepas tetapi telah pun diselesaikan dan kita juga telah mengenal pasti calon yang berpotensi lebih awal.

Pada PRU13, MCA menang tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandinginya.

Sunday, 15 January 2017

MCA sedia tukar kerusi untuk tebus kekalahan di Pulau Pinang

MCA Pulau Pinang tidak akan membantah jika berlaku pertukaran atau pinjaman kerusi melibatkan parti berkenaan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain demi memastikan kemenangannya di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (RU14).
Setiausaha agung parti Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata MCA sangat terbuka dan menerima hakikat parti itu tidak boleh bertanding atas kekuatan sendiri dan memerlukan kerjasama parti komponen lain.
“Kita sudah 2 penggal kalah (di Pulau Pinang). Kita kena menerima hakikat kalau ada kerusi kita dan calon parti komponen lain yang lebih kuat, kita harus iktiraf dan sokong calon itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya perkara serupa juga akan dilakukan MCA sekiranya berasakan calon mereka lebih kuat untuk bertanding di satu-satu kawasan yang sebelum ini ditandingi parti komponen lain.

“…mungkin kita juga nak pujuk mereka (parti komponen) supaya beri peluang kepada (calon) kita (untuk bertanding),” kata Ong yang ditemui selepas merasmikan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota.
Ong yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri ke-2 bagaimanapun berkata setakat ini belum ada keputusan berhubung perkara itu pada peringkat pusat.
Dalam pada itu, beliau berkata MCA negeri sudah menghantar beberapa senarai calon untuk dipertimbangkan oleh pemimpin tertinggi parti dan 50% daripada mereka adalah muka baharu.
“Kami mengenal pasti calon berpotensi dan menyerahkan senarai pertama calon. Kami perlu selidik latar belakang mereka, sama ada mereka bangkrap atau tidak, berkelakuan baik atau tidak, bebas skandal dan sebagainya.
“Selepas itu kami akan umumkan inilah calon-calon kami,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2013, MCA Pulau Pinang dibadai kekalahan teruk apabila tewas di semua 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 4 kerusi Parlimen yang ditandinginya di negeri itu.