Showing posts with label PPBM. Show all posts
Showing posts with label PPBM. Show all posts

Friday, 30 March 2018

Ceramah dipenuhi tuduhan liar, pembohongan

Seperti biasa, ceramah politik oleh kepemimpinan kanan Pakatan Harapan diketuai DAP di Guar Chempedak dekat sini malam tadi, dipenuhi dengan pelbagai pembohongan dan cerita-cerita rekaan bagi meraih simpati rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

Malah Pengerusi pakatan tersebut yang sepatutnya sudah cukup matang dalam berpolitik, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat tuduhan yang tidak masuk akal seolah-olah cuba menanam rasa tidak percaya rakyat terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mendakwa peti undi pos akan disorok dengan undi palsu bagi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

“Sekarang ini ada undi pos dan ini adalah peluang sekali lagi hendak tipu. Peti undi itu akan disorok dengan undi palsu supaya Najib menang.

“Sebab itu kita nak pengundi keluar mengundi beramai-ramai supaya apabila kami menang dengan banyak, dia tak boleh sumbat undi palsu,” katanya.

Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng cuba menipu hadirin dengan mendakwa kerajaan Pusat sebagai melakukan pembohongan menerusi pemberian insentif sebanyak RM200 melalui Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

“Kerajaan Pusat tiru kerajaan Pulau Pinang apabila beri bayi lahir sebanyak RM200. Bezanya kerajaan pemberian yang kerajaan Pusat beri itu hanya boleh diambil ketika bayi berkenaan berusia 21 tahun sedangkan kerajaan Pulau Pinang beri secara serta-merta.

“Kalau kena tunggu 21 tahun baru boleh ambil RM200, tak payahlah. Biar kami jadi kerajaan, RM200 itu kami bayar sekarang juga,” katanya.

Apa yang diperkatakan Guan Eng itu jelas satu pembohongan kerana unit insentif dan agihan pendapatan ADAM50 boleh dikeluarkan ketika bayi tersebut mencapai usia 18 tahun dan bukannya 21 tahun.

Berbanding pemberian wang tunai yang akan habis pada bila-bila masa, pemberian unit amanah percuma menerusi ADAM50 sudah tentu lebih menarik kerana wang itu akan bertambah berdasarkan andaian kadar agihan pendapatan enam peratus setahun. - UTUSAN

Saturday, 13 January 2018

400 Aduan AGM PPBM Diterima


Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sedang menyiasat lebih 400 adu­an yang diterima oleh jabatan itu berkaitan isu perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim berkata, siasatan itu dijalankan dengan terperinci dan akan mengambil masa yang agak panjang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli-ahli parti tersebut agar tidak emosional dalam isu berkenaan dan memberi kepercayaan penuh kepada ROS untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan ini melibatkan aduan yang banyak dan tidak mungkin dapat diselesaikan sehari, seming­gu atau sebulan. Jadi, tidak perlulah untuk mengadakan perhimpunan aman kerana saya khuatir akan berlaku pula perkara-perkara tidak diingini.

“Sebaliknya, jika mereka mempunyai bukti sokongan atau tambahan, kita minta mereka menghantarnya ke pihak ROS. Kita boleh lengkapkan siasatan melalui data-data baharu ini kelak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Exco Latihan dan Pengkaderan Pemuda PPBM, Muhd. Syazwan Ahmad Zainal hari ini bahawa ahli-ahli parti itu akan mengadakan perhimpunan aman di ROS, Putrajaya.

Perhimpunan aman tersebut akan dibuat jika masih tiada tindakan diambil terhadap ke­pemimpinan parti itu berhubung isu perhimpunan agung tahunan pertamanya didakwa yang melanggar ketetapan perlembagaan parti.

Muhd. Syazwan berkata, tempoh seminggu diberikan mulai hari ini kepada ROS untuk mengambil tindakan terhadap kepemimpinan PPBM yang jelas me­langgar perlembagaan parti itu.

Sementara itu, Surayati berkata, ahli-ahli PPBM perlu rasional dalam tindakan mereka berhubung isu berkenaan.

“Apa-apa pun, saya berharap ahli-ahli PPBM ini memastikan tindakan mereka berdasarkan Perlembangaan dan undang-undang,” katanya.

Utusan

Thursday, 6 July 2017

PPBM : Asal Bergaduh Sahaja Salahkan UMNO



Sampai bila mereka mampu berbohong dan mengalih perhatian? Asal bergaduh dan bertekak sahaja, UMNO yang dipersalahkan. Tidak pernah akui bahawa pergaduhan itu berpunca dari PPBM sendiri.

Masa Cikgu Kamarul keluar parti bunga, UMNO dipersalahkan. Bila ada ahli PPBM di Baling, Sik, Rembau, Perak, Pandan, Kerteh, Teluk Kemang keluar parti, UMNO juga disalahkan. Inilah sesatunya alasan yang PPBM mampu beri untuk tutup kelemahan parti mereka sendiri.

Namun sampai bila mereka mampu berbohong pada diri sendiri dan ahli ahli? Lama lama, orang akan tahu juga. Samalah hal dalaman yang berlaku dalam Armada PPBM. Tiga orang Exco PPBM tidak puashati dan tanya dua soalan mudah sahaja.

Mereka tanya mengenai harta anak anak Mahathir dan skandal Nika Gee. Itu pun masih belum dijawab. Bagaimana pergaduhan besar yang berlaku antara Daim dan Syed Saddiq bila bocornya maklumat, Daim membayar USD$5 billion kepada Clinton Foundation untuk menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia.

Syed Saddiq kena "bloody fool" dengan Daim sebab membocorkan hal itu pada tiga exco Armada PPBM. Ini salah UMNO juga? Salah Syed Saddiq lah. Siapa yang suruh dia bermulut macam radio.

Khairuddin memang dengki dengan Saddiq sebab apa yang sahaja yang Saddiq minta Daim beri. Khairuddin minta ke Barbados pun Daim tidak mahu taja. Panaslah Khairuddin.

Patutlah dulu Khairuddin Abu Hassan pernah gelar Syed Saddiq seperti budak hingusan. Ya, memang hingusan pun, tiga orang Exco PPBM itu masih lagi tidak dikenakan sebarang tindakan oleh PPBM.

Mana Syed Saddiq berani. Syed Saddiq bukan anak jantan. Syed Saddiq hanya berani bergaduh dengan perempuan sahaja. Terbaru, Syed Saddiq bergaduh macam budak budak dengan Hamidah.

Midah tuduh Saddiq sebagai "spy UMNO", Saddiq tuduh Midah ejen UMNO. Muhyiddin dan Mahathir tidak mampu buat apa apa lagi. Tidak mampu lagi mengawal pergaduhan yang bergaduh dalam parti mereka. Berita pergaduhan ini tiada dalam Malaysiakini.

Ainina pun bergaduh pada mulanya. Keluar habis cerita klimaks dan video, sehingga akhirnya tersingkir dari parti bunga. Bergaduh bukan sebab UMNO atau ada ejen UMNO tetapi sebab mereka merebut jawatan dan kedudukan.

Berebut dan masing masing gila hendak menjadi calon PRU14. Inilah punca sebenar mereka bergaduh dan bergasak sakan dalam PPBM. Mulanya, mereka ingat dengan menjadi Ketua Bahagian PPBM atau AJK PPBM maka banyaklah habuan yang Daim, Mahathir dan Muhyiddin akan tabur.

Dedak yang ditagih tidak kesampaian pun. Mahathir tidak perbetulkan pun pergaduhan yang berlaku. Mahathir halau lagi mana mana ahli yang tidak puas hati keluar dari PPBM. Pada Mahathir, yang penting adalah cita citanya mahu menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri sahaja.

Apa hendak jadi pada ahli dan parti bunga, lantaklah. Buat apa perabis beras pada mereka. Lebih baik jaga panglima panglima seperti Zam Maidin dan Zaid Ibrahim yang boleh bertukar menjadi apa sahaja. Memaafkan DAP dan masuk DAP pun boleh demi Mahathir.

Mereka berdua ini lebih bernilai bagi Mahathir dari Saddiq dan Midah. "Berkelai lah hampa dua orang", Mahathir tak peduli pun. Bukan salah UMNO, salahkan Mahathir tu.

Kenapa dia lari beraya di London, sebab terlalu kecewa dan tidak mampu lagi kawal pergaduhan yang berlaku dalam PPBM. Mana dia Muhyiddin? Baik dia sibuk dengan hal Nika Gee dari fikir hal Midah dan Saddiq.

Syed Saddiq lupa dia hanya berdebat sahaja sebelum ini, bukan pentas sebenar politik pun. Sekarang bila sudah jadi ketua sayap politik barulah dia tahu langit tinggi rendah. Dalam PPBM semua ada, yang skandal, yang kaki disko, yang putar alam dan yang "weekly politician". Sebab itulah mereka bergaduh. Bukan salah UMNO, salah PPBM sendiri.


Tulisan :
Beruang Biru
BB489, Rabu
5 Julai 2017

Wednesday, 31 May 2017

Sejarah menarik mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Sejarah Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pakatan Harapan yang baharu.
Pada satu ketika dahulu, ada tiga pemimpin Umno. Seorang mahu menjadi penasihat kepada parti manakala satu lagi mahu menjadi Presiden dan seorang mahu menjadi Naib Presiden.
Dengan menyalahkan politik wang, kronisme dan kononnya tiada demokrasi, ketiga-tiga mereka tidak mendapat apa yang mereka kehendaki lantas meninggalkan Umno.
Mereka kemudian menubuhkan sebuah parti yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi).
Tanpa pemilihan mahupun demokrasi, mereka melantik diri sendiri sebagai pengerusi, presiden dan timbalan presiden,
Wujud juga kumpulan dari Umno yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan paling rendah sebagaimana diidamkan, dengan mendakwa wujudnya kronisme dan politik wang dalam Umno.
Mereka juga meninggalkan Umno dan menyertai Pribumi.
Tidak lama kemudian, ramai di kalangan mereka ini turut meninggalkan Pribumi kerana tidak memperolehi jawatan yang mereka kehendaki, dengan mendakwa wujud kronisme dan politik wang dalam Pribumi.
Memandangkan masih kecil, Pribumi yang nama dan halatuju mereka adalah untuk memperjuangkan hak bumiputera dan pribumi kemudiannya menyertai Pakatan Harapan yang diterajui DAP, sebuah parti yang kewujudannya adalah untuk menghapuskan keistimewaan bumiputera dan pribumi dengan meneriak konsep Malaysian Malaysia.
Pada ketika ini, mereka masih lagi tidak dapat bersetuju akan calon Perdana Menteri kerana terlalu sibuk bertelagah sesama sendiri sama ada untuk mengumumkan calon Perdana Menteri jika kesemua mereka sudah bersetuju dengan satu nama.
Bagaimanapun, mereka sudah bersetuju terhadap satu polisi ekonomi iaitu untuk membawa Malaysia mengundur dengan menghapuskan GST, melaksanakan subsidi menyeluruh dan meningkatkan cukai pendapatan dan korporat bagi menjadikan negara ini kurang menarik kepada pelaburan, sedangkan negara lain di dunia bergerak ke arah bertentangan dengan melaksanakan GST, menghapuskan subsidi secara menyeluruh dan mengurangkan cukai pendapatan dan korporat bagi berdaya saing.
Secara bersama-sama, Pribumi dan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan kini komited untuk mencari jalan menyelamatkan Malaysia dari dimusnahkan oleh diri mereka sendiri.
Itu dia sejarah untuk anda, sejarah Parti Pribumi Bersatu Malaysia setakat ini.
Oleh Lim Sian See

Wednesday, 19 April 2017

Pengasas PPBM Umum Keluar Parti


BERLANGSUNG di sebuah hotel di ibu kota sebentar tadi, pengumuman keluar parti oleh antara pengasas parti milik Mahathir, PPBM.  Kalau sebelum ini Khairudin dan Ezam, kali ini giliran Kamarulazman Habibur Rahman yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pulak untuk meninggalkan parti yang belum pun setahun umurnya tu..

Muka Kamarul ini, yang popular dengan panggilan Cikgu Kamarul dikalangan siapa yang mengenalinya, memang dah macam muka tetap PPBM.  Ada PPBM, ada dia, jangan lepas ni, dah takde dia, PPBM pun takde sama sudahlah.  Kadang-kadang penulis terfikir, adakah dia ni maskot PPBM?

Tapi, ada PPBM ke takde bukan penting sangat.  Malah tindakan Kamarulazman keluar parti ini pun taklah begitu besar impaknya melihat kepada saiz PPBM ini yang macam reban ayam, terselit diantara kandang khinzir dan lembu dalam Pakatan – ibarat macam itulah.

Yang penting ialah untuk rakyat menilai parti yang ditubuhkan Mahathir ini.  Nak tarik sokongan rakyat macam mana kalau nak pertahan sokongan dari dalam pun tak berdaya?  Bukan taraf anak yang keluar parti ni tapi antara pengasas tu.

Apapun, sudah tentu, pengumuman keluar parti oleh antara pengasas PPBM ini akan dipandang sepi oleh Mahathir dan mereka yang masih tinggal di dalam parti bercapkan bunga itu. Tapi jangan ahli biasa UMNO keluar parti kang, 4 hari cerita tak habis seolah-olah dek kerana itu UMNO boleh melungkup.  Politik Mahathir macam itulah.

Dahlah, malas pulak nak tulis panjang-panjang.  Yang penting, hari ini memang sangat menceriakan!!

Tuesday, 21 March 2017

PAS Enggan Kongsi Pentas Dengan PPBM



PAS tidak akan membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkongsi pentas dalam ceramah mereka, jika parti itu menjalin kerjasama secara rasmi dengan pakatan pembangkang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sekiranya PPBM menyertai pakatan berkenaan yang turut dianggotai Parti Amanah Negara dan DAP, ia sekali gus menutup terus pintu kerjasama dengan mereka.

“Kalau itu pendirian rasmi dia (PPBM), maka putuslah… tidak perlulah ada perbincangan lagi. Kita jalan ‘sendiri-sendiri’ saja.

“Kita juga tidak akan kongsi pentas dengan PPBM lagi sebab itu memang syarat yang kita letak selama ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan partinya mencapai persetujuan untuk membentuk gabungan secara rasmi dengan pakatan pembangkang.

Katanya, PPBM secara prinsip bersetuju untuk menggunakan hanya satu logo, satu simbol dan manifesto yang sama, selain memutuskan hanya satu calon saja diletak untuk mewakili gabungan yang dibentuk itu.-BH.

Wednesday, 1 February 2017

Mana Satu Pilihan PPBM, Bersama PAS Atau Pakatan Harapan?

Melihat kepada perbincangan ini, timbul persoalan, pasukan manakah yang dipilih oleh PPBM pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak? Adakah mereka masih kekal setia dengan Pakatan Harapan atau terpaksa akur dengan kehendak PAS yang ingin terus kekal sebagai blok ketiga pembangkang bersama-sama Parti Ikatan Malaysia (Ikatan)?

PAS sebelum ini menyatakan pendirian untuk kekal berdiri atas kapasiti blok ketiga pembangkang dan enggan berkompromi terhadap mana-mana rundingan pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan. Ini kerana, hubungan tegang PAS dengan DAP selaku parti utama Pakatan Harapan telah menyebabkan PAS enggan lagi berkompromi dalam apa jua bentuk rundingan.

Andai ini berlaku, sudah tentu PPBM berada dalam dilema. Manakan tidak, setelah usaha PKR memujuk PAS untuk akur kepada pembahagian kerusi yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan, satu-satunya harapan menyaksikan pertandingan satu lawan sari antara pakatan pembangkang dengan BN adalah melalui rundingan yang dilakukan oleh PPBM.

Andai ini gagal dilakukan dengan baik oleh PPBM, kemana hala tuju Pakatan Harapan? Paling utama, adakah PPBM akhirnya terpaksa menjadi lalang dengan menyebelahi kedua-dua belah blok pembangkang asalkan mereka mempunyai keuntungan politik?



Jika dilihat kepada keadaan semasa, PPBM sebenarnya masih tercari-cari formula terbaik untuk bertapak kukuh dalam arus politik Malaysia. Sebagai parti baru, diterima masuk sebagai salah sebuah parti sekutu Pakatan Harapan pastinya menjadi batu lojakan buat PPBM. Namun, PPBM harus akur kepada faktor senioriti selain daripada kuasa besar yang dimiliki DAP.

Oleh yang demikian, sebagai langkah selamat, ada kemungkinan PPBM bakal mengadakan rundingan sulit bagi memastikan survivor PPBM kekal relevan andai “diusir” keluar oleh DAP, PKR ataupun PPBM. Maka disinilah letaknya kepentingan utama PPBM mengadakan rundingan dengan PAS selain daripada memujuk PAS mengorbankan beberapa kerusi milik PAS kepada PPBM dan Pakatan Harapan.

Tuesday, 24 January 2017

Punca Sebenar Mahathir Serang Sultan Johor

KUALA LUMPUR: Punca sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang Sultan Johor adalah untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, menurut penganalisis politik.
Mengkritik pelaburan China di Johor, terutamanya projek Forest City, Dr Mahathir berharap dapat menaikkan kemarahan Melayu luar bandar untuk mengundi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan merampas Johor, sekurang-kurangnya, daripada Umno.

Dua sebab lain adalah keinginan Dr Mahathir menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan dan persengketaan dengan keluarga diraja.
Ini adalah pandangan Dr Mustafa Izzuddin, felo Institut Yusof Ishak di bawah Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas), dan pensyarah University Scholars Programme of the National University of Singapore.

Menulis dalam South China Morning Post, Mustafa berkata Dr Mahathir dan mereka yang ingin mengusir Umno melihat projek Forest City sebagai satu rahmat politik.
Forest City adalah projek pembangunan hartanah bercampur bernilai RM443 bilion yang dijangka siap dalam tempoh 30 tahun.

Syarikat Country Garden dari China bekerjasama Esplanade Danga 88, sebuah syarikat bersekutu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, yang merupakan sayap pelaburan negeri selatan.
Pemegang saham terbesar Esplanade Danga 88 adalah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.
Projek ini dijangka menempatkan kira-kira 700,000 orang di 4 pulau buatan.
Mustafa melihat 3 sebab bagi kesediaan Dr Mahathir menyerang Sultan Ibrahim.


Yang pertama, beliau berkata “kebencian” Dr Mahathir terhadap Najib dan usahanya menarik pelaburan dari China, yang didakwa bekas perdana menteri itu sebagai “menjual Malaysia kepada China”.

Ke-2, pembangunan Forest City sedang berlaku di Johor, yang dipilih PPBM sebagai pangkalannya.
Ia berharap memenangi Johor pada pilihan raya umum akan datang dan menjatuhkan Umno dari tempat kelahirannya.

“Permainan PPBM terdiri daripada 2 peringkat. Tahap pertama adalah mengusir Umno dari mengawal Dewan Undangan Negeri Johor dengan masuk ke dalam pakatan longgar dengan pembangkang untuk menggugat Umno.

“Tahap ke-2 adalah mengusir Najib daripada kerajaan sama ada dengan memenangi pilihan raya, atau mengecilkan margin dimenangi Najib dalam sebarang cara agar kedudukan politiknya tidak dapat dipertahankan sama ada di dalam parti atau kerajaan.”

Mustafa menambah: “Dr Mahathir berharap dengan memainkan kebimbangan Najib menjual kedaulatan Malaysia (atau hanya tanah Melayu kepada China), dan merancang menjadi negara satelit Beijing, beliau boleh mendapat sokongan sebahagian besar konservatif luar bandar yang menjadi asas sokongan Melayu di Johor dan seterusnya.”

Beliau menyatakan Dr Mahathir juga menyebabkan kegelisahan yang Malaysia akan hancur dengan kemasukan pekerja China dan penduduk yang menyebabkan “ketidakseimbangan kuota etnik seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.”
Mustafa berkata sebahagian besar konservatif Melayu kekal bimbang terhadap orang Cina dan sifat kecinaan yang berlandaskan China.

Oleh itu, beliau melihat isu “Malaysia menjual jiwa ekonominya kepada China” berpotensi menjadi isu panas semasa pilihan raya.
Mustafa berpendapat ahli politik pembangkang bukan Melayu juga cenderung menjadikan ia satu isu pilihan raya, tetapi dengan berhujah kebimbangan sebenar ke atas pembiayaan daripada Beijing ialah sama ada ia memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, atau sama ada hanya kepada golongan elit.

Sebab ke-3, Dr Mahathir lantang bersuara menentang Sultan Johor, kata Mustafa, adalah sejarah permusuhan antara beliau dan kerabat diraja.
“Dr Mahathir yang melancarkan kempen terbuka untuk membendung kuasa keterlaluan keluarga diraja dan menghapuskan imuniti sultan ‘daripada pendakwaan jenayah selepas 2 kes serangan melibatkan keluarga diraja Johor pada 1990-an.”

Baru-baru ini, Mustafa menyedari teguran Sultan Ibrahim terhadap Dr Mahathir kerana kritikannya terhadap konsep Bangsa Johor, yang asas pembangunannya kepada memupuk perpaduan dengan menghormati bangsa, agama dan budaya.

“Mengenai persengketaan terbaru mereka, tumpuan Dr Mahathir berdasarkan campuran sentimen anti-Najib dan kebencian lama terhadap keluarga diraja. Bagi pemerintah Johor, ia lebih mengenai melindungi negerinya daripada politik sempit dan perkauman Dr Mahathir, untuk melindungi dan menggalakkan cara hidup ‘Bangsa Johor’.”

Mustafa berkata punca sebenar persengketaan adalah politik perkauman yang sudah lama berakar umbi di Malaysia.

“Dengan pilihan raya bakal tiba, semua pihak nampaknya meningkatkan kempen bersifat perkauman dan agama untuk memancing undi. Seterusnya mencadangkan peningkatan besar dalam aktivisme monarki sebagai barisan hadapan terhadap polarisasi bangsa ataupun agama di kalangan rakyat.

Monday, 23 January 2017

Dr M angkuh, diktator, kata PAS

Selepas dibidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak mahu bekerjsama dengan pembangkang lain, PAS menyerang balas bekas perdana menteri itu dengan berkata beliau seorang yang angkuh yang masih meneruskan “gaya kepimpinan diktator”.

“Kini beliau mahu menguasai PH,” kata Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, merujuk Pakatan Harapan yang mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Memang beliau boleh menguasai PH dan PH dilihat sangat perlukan orang seperti Tun Mahathir untuk kekalkan survival politik mereka. Tetapi tidak PAS.

“PAS tidak perlukan pemimpin angkuh seperti Tun Mahathir. Tun Mahathir sebenarnya bukan merendahkan PAS tetapi gerun dengan keupayaan PAS,” katanya.
PAS bertindak tidak menyertai gabungan antara PKR, Amanah dan DAP itu, yang turut menyaksikan kerjasama dengan PPBM. Sebaliknya, parti Islam itu mengadakan kerjasama dengan sebuah parti kecil pimpinan bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.


Dua hari lalu, Dr Mahathir membayangkan partinya PPBM akan menamatkan sebarang usaha meyakinkan PAS mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru yang dilihat akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Nasruddin bagaimanapun berkata Dr Mahathir menyasarkan serangannya kepada PAS kerana “berdendam” selepas “gagal menundukkan PAS agar menurut kemahuannya”.

“Serangan beliau sering dihala kepada PAS. Namun mereka cuba bersembunyi di sebalik tohmahan yang mereka cipta kononnya PAS akan bergabung dengan Umno dan memenangkan Umno melalui pertandingan 3 atau 4 penjuru.”
Menurutnya, parti yang menyebabkan pertandingan 3 penjuru adalah Amanah, parti yang ditubuhkan beberapa bekas pemimpin PAS.

“Malangnya sehingga kini beberapa parti lain seperti PAN membuat pengisytiharan bahawa mereka akan bertanding di kerusi yang ditandingi oleh PAS,” katanya menggunakan singkatan yang digunakan pimpinan PAS terhadap Amanah.
“Maka inilah yang akan membuatkan berlakunya 3/4 penjuru. Kenapa mereka nak salahkan PAS?” soal ahli Parlimen Temerloh itu.

“Selayaknya nafsu besar ingin bertanding di satu-satu kerusi mestilah diselarikan dengan kekuatan dan jentera parti bagi menghadapi parti lawan. Baru nampak kejujuran berjuang. Ini tidak, hanya tahu dan mahu menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri,” tambahnya.

Sunday, 1 January 2017

Khairuddin Serang Presiden PPBM Cuti ke Luar Negara

Selepas menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan skandal seks, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terus mengasak Presiden PPBM itu berkaitan dengan isu cuti yang terlalu lama di Eropah.

Khairuddin berkata tindakan presiden Muhyiddin tidak sepatutnya bercuti ketika parti itu masih baharu kerana ia akan merencatkan gerak kerja ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi.
“Semua orang kelam kabut berjuang di peringkat akar umbi, tidak kira hujung tahun atau awal tahun. Tun Dr Mahatahir Mohamad sendiri tidak bercuti.

“Pilihan raya umum (PRU) boleh diadakan pada bila-bila masa, April, Ogos. Segala kemungkinan boleh berlaku. Muhyiddin sepatutnya berada dalam negara, dia presiden parti,” katanya kepada FMT.
Muhyddin kini dilaporkan masih berada di Eropah. Sepanjang beliau bercuti, pelbagai kemelut dalaman berlaku dalam PPBM dan antaranya ialah Anina Saadudin tersingkir daripada jawatan ketua sayap wanita parti, Srikandi.

Bahkan, bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor turut memutuskan untuk keluar PPBM, kurang 3 bulan selepas penyertaannya.

Pada 27 Oktober lalu, Khairuddin turut mengumumkan keluar PPBM berkuat kuasa serta merta dengan alasan untuk memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang sedang berlangsung.
“Kalau PPBM sudah mantap tidak mengapa, tetapi PPBM baru ditubuhkan. Tindakan Muhyiddin bercuti tidak wajar dan tidak bijak sama sekali.

“Lepas PRU kalau dia hendak bercuti, bercutilah. Tetapi ini masa untuk kita kumpul tenaga, turun habis-habisan. Ini tidak, keluar negara berminggu-minggu,” bidas Khairuddin.
Bagaimanapun, katanya kemelut dalaman yang berlaku dalam PPBM tidak akan merencatkan gerak kerja yang dilakukan parti komponen dalam Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan (PH) amat kuat kali ini, kerana saya lihat gerak kerja Amanah, DAP, PKR dan NGO yang menyokong, mereka bergerak amat kuat di peringkat akar umbi.
“Soal sama ada PPBM boleh ‘perform’ atau tidak dan menjejaskan prestasi PH, saya rasa tidak relevan kerana apa yang saya lihat mereka masih lagi teruskan perjuangan walaupun bersama PPBM atau tidak,” katanya. - AIDCNEWS

Monday, 26 December 2016

Giliran Muhyiddin, Presiden PPBM bersihkan nama skandal seks

Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu tampil membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan skandal kerana memastikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu kelihatan adil bersih dan saksama, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bekas ahli PPBM itu berkata selaku presiden parti, Muhyiddin juga tidak seharusnya dikecualikan daripada membersihkan namanya daripada isu yang sedang membelenggu imejnya.
“Semua pihak jangan pandang remeh isu ini. PPBM mesti mengambil tindakan proaktif secara bernas untuk mematikan serangan Umno terhadap isu ini pada musim pilihan raya umum kelak. Ini pasti berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu Anina Saadudin yang disingkirkan daripada jawatan ketua wanita PPBM, semalam.

Anina berkata dirinya dipecat daripada jawatan itu, namun dakwaan itu dipertikaikan Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamarudin Md Nor.

Anina berkata beliau sudah tanya Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan setiausaha agung, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang mengesahkan keputusan menyingkirkan beliau daripada jawatan itu.


“Jika Anina tidak dilantik ke jawatan ketua Srikandi PPBM disebabkan viral kes skandal seks beliau; ramai rakyat di peringkat akar umbi turut bertanya tentang kedudukan tuduhan kes skandal Muhyiddin dengan isteri orang pada suatu masa dulu,” kata Khairuddin.

Khairuddin yang juga bekas naib ketua Bahagian Umno Batu Kawan berkata demi kebaikan kelangsungan hala tuju PPBM, presidennya perlu membersihkan nama serta imej beliau.
Malah, katanya NGO Jaringan Melayu Malaysia membuat laporan rasmi mengenai kes presiden parti PPBM pada Jabatan Agama Islam Johor.

“Kalau PPBM ingin cemerlang ia bukan saja mesti bersih tetapi juga harus kelihatan bersih.
“Majlis tertinggi parti mesti mengambil pendekatan tegas ke arah membersihkan imej parti yang semakin tercalar kebelakangan ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Pakatan Harapan harus pertimbangkan untuk menonjolkan calon muka baharu daripada kalangan tokoh pemimpin muda seperti Datuk Seri Azmin Ali sebagai kemungkinan calon untuk jawatan perdana menteri jika barisan pembangkang memenangi pilihan raya umum kelak.

Sementara itu, Datuk Hamidah Osman menolak dakwaan beliau mahu menjadi ketua Srikandi PPBM atau meletakkan adiknya memegang jawatan itu.
Dalam satu kenyataan, Hamidah yang juga naib presiden PPBM berkata mustahil baginya untuk memegang 2 jawatan dalam parti dan adiknya, Hamizura terlalu mentah untuk memegang jawatan dalam PPBM.

“Politik perjuangan dalam PPBM ini sangat besar maknanya kepada negara dan kehidupan kita. Gunakan pentas ini sebaik mungkin dan berjuang kerana agama bangsa dan negara. Jangan diikut perasaan dan nafsu bimbang ia akan menyebabkan kita tergelincir dari landasan perjuangan sebenar,” katanya.

Sunday, 11 December 2016

Apa sebenarnya PPBM Mahukan?


Sebenarnya apa yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahukan?
Jikalau difikirkan dari sudut kerusi, majoriti kerusi yang bakal ditandingi PPBM adalah kawasan majoriti Melayu, yang lazimnya ditandingi PAS bertembung dengan Umno.Jika PPBM sebagai parti serpihan Umno, inginkan pertandingan satu lawan satu dengan Umno, mereka perlu berunding dengan PAS dan bukannya DAP mahupun PKR.

Semua kerusi majoriti Cina dan campuran sudah pastinya dibolot DAP dan PKR. Kedua-dua parti ini sudah pasti akan menggenggam kerusinya secara kuku besi kerana impian ke Putrajaya sudah malap.
Oleh itu, jika PPBM sebagai parti serpihan Umno, inginkan pertandingan satu lawan satu dengan Umno, mereka perlu berunding dengan PAS dan bukannya DAP mahupun PKR.

Jika hasrat utama PPBM ialah untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno, maka BN perlu ditumbangkan di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi Umno dan bukannya kawasan kerusi campuran yang ditandingi MCA, MIC mahupun Gerakan.

Musuh tradisi Umno di kerusi Melayu ini untuk berdekad lamanya ialah PAS. Malah, kegagalan Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya disebabkan kekalahan di kerusi Melayu ini yang majoritinya ditandingi PAS.

Jika PPBM ingin menumbangkan Umno, maka secara logiknya mereka lebih memerlukan PAS berbanding DAP.Jadi apakah tujuannya PPBM melebih-lebihkan kerjasama dengan Pakatan Harapan berbanding PAS?

Keputusan pertandingan 3 penjuru antara PAS, BN dan Pakatan Harapan yang disertai Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili PPBM sebelum kelahirannya di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah membuktikan Pakatan Harapan tidak akan membawa nilai tambah kepada Bersatu jika berlawan dengan Umno sambil bermusuh dengan PAS.

Yang akan membawa nilai tambah pada Bersatu hanyalah dengan bekerjasama dengan PAS sambil memastikan DAP dan PKR memberikan kerusi mereka kepada Amanah tanpa sebarang gangguan pada kerusi PAS.

Sebenarnya itulah tugas PPBM sekiranya ia ingin menjadi penyatu kepada parti pembangkang.
Jika tujuan PPBM mendampingi Pakatan Harapan adalah untuk membolehkan partinya mendapat beberapa kerusi selamat pembangkang daripada tangan DAP dan PKR supaya PPBM boleh terus hidup di bawah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sehingga PRU15, maka apa yang dilakukan Dr Mahathir boleh difahami.

Jika hasrat Tun Dr Mahathir masih tidak berubah iaitu untuk menggunakan PRU14 untuk menurunkan Najib, maka apa yang dilakukan beliau iaitu menyerang PAS dari pentas DAP dan Amanah boleh disifatkan sebagai langkah menyediakan kubur awal untuk PPBM.
Di sinilah, barangkali berlaku perbezaan pendapat terbesar antara Tun Dr Mahathir dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di sini jugalah Bersatu keliru dan nampak keliru.
Apa pun, keputusan Bersatu akan menentukan nasib mereka sendiri dan Umno-BN, tapi bukan PAS.
Tapi jika mereka tersilap pilih, Bersatu bakal menjadi parti yang pendek hayatnya.
Buat Dr Mahathir, barangkali Tun pun sudah sedar Tun tersilap memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, tersilap menaikkan Tun Abdullah Badawi dan juga Datuk Seri Najib Razak. Tun kali ini memilih DAP dan Pakatan Harapan.

Percayalah kali ini, barangkali Tun tersilap memilih lagi terlalu tinggi.
Barangkali, Tun boleh menghindari diri daripada mengulangi kesilapan yang sama ini dengan memilih apa yang Tun tidak mahu pilih.

Friday, 23 September 2016

PPBM di bawah Muhyiddin semakin Lesu

Dua minggu selepas permohonannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat masih lesu, walaupun ia kini perlu berusaha bersungguh-sungguh bertapak di kalangan parti pembangkang lain yang lebih berpengalaman.

PPBM masih belum menggariskan secara jelas program politiknya.
Kesunyian yang menyambut parti baharu ini berbeza dengan publisiti yang menyelubungi parti itu sebelum penubuhannya, dengan serangan daripada peringkat tertinggi kerajaan diketuai setiausaha akhbar perdana menteri.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat tidak banyak menonjol lagi, seorang pemerhati politik veteran memberitahu FMT, tidak seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terus mengeluarkan pelbagai kenyataannya mengulangi serangan ke atas pentadbiran Najib.

“Seolah-olah parti itu tidak ada apa-apa jentera,” menurutnya.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan beberapa individu yang sebelum ini lantang dalam Deklarasi Rakyat, gerakan naungan Dr Mahathir, di dalam PPBM.
Mereka termasuk bekas naib ketua Umno Batu Kawan, DatuK Seri Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat rapat dengan Dr Mahathir.

Ketika dihubungi mengapa kelibat beliau tidak kelihatan dengan pimpinan PPBM, Khairuddin enggan memberi sebarang komen.
“PPBM amat bergantung pada populariti Tun Mahathir dan tidak dapat berdiri di atas kaki sendiri,” kata sumber yang sama itu.

Sumber itu turut mempersoalkan kebolehan Muhyiddin dalam memimpin.
Menurutnya, Muhyiddin kerap dilihat sebagai seorang yang tidak bekerja dalam pasukan.
Malah, anggapan sedemikian ditambah dengan ketiadaan sebarang pengumuman mengenai barisan pemimpin parti baharu itu.

Kaitan Muhyiddin dalam sebuah kes perceraian, yang sudah diselesaikan di mahkamah, juga sedikit sebanyak menambahkan masalah imej yang dihadapinya, di samping menjadi fokus musuh politiknya dari Umno.

Banyak lagi kelemahan di pihak Muhyiddin, yang menurut pemerhati itu, membawa kepada persoalan sama ada PPBM boleh terus bertahan.
“Bukan sahaja Muhyiddin banyak mewarisi perkara lampau, jelas beliau juga tidak sangat selesa dengan DAP,” tambahnya.

Ramai yang menganggap Muhyiddin masih berfikiran seperti Umno dan belum berubah.
Berdampingan dengan pembangkang, khususnya DAP, sudah tentu bukan sesuatu yang mudah bagi Muhyiddin.

Menurut sumber itu, ini antara sebab PPBM di bawah kepimpinannya mungkin tidak mampu mengadakan persefahaman dengan parti pembangkang lain menjelang pilihan raya umum ke-14.