Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Thursday, 7 June 2018

PKR arah ahli parlimen, wakil negeri taat kepada Mahathir


PKR menggesa semua wakil rakyatnya memberi taat setia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. ― Foto oleh Ahmad Zamzahuri
PKR menggesa semua wakil rakyatnya memberi taat setia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. ― Foto oleh Ahmad Zamzahuri
KUALA LUMPUR, 7 Jun ― Semua pemimpin PKR perlu taat setia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amanat itu dimaklumkan oleh setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail selepas pertemuan Anwar dengan wakil rakyat PKR, lapor Sinar Harian.
“Semua pemimpin PKR sama ada peringkat negeri dan persekutuan digesa agar memberi sokongan teguh kepada Mahathir kerana tanggungjawab yang digalasnya sebagai perdana menteri sangat berat,” katanya kepada media.
Anwar selaku ketua umum PKR dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah sebagai presiden PKR memberi sokongan penuh kepada Mahathir, katanya lagi.
Saifuddin juga berkata wakil-wakil rakyat PKR peringkat negeri juga perlu mengambil pendirian sama bagi membolehkan pentadbiran Mahathir lancar.
“Perkara ini penting bagi membolehkan Mahathir menjalankan tanggungjawab dengan lebih tenang dan efektif,” katanya.

“Kita tidak mahu timbul sebarang perkara yang boleh menganggu perjalanan kerajaan.”

Tuesday, 5 June 2018

Shahrizat tak pertahan jawatan ketua Wanita Umno

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno pada pemilihan parti akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baharu mengetuai sayap itu.

“Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga.



“Saya yakin jika mereka diberi peluang untuk memimpin Wanita Umno, mereka akan menjalankan tugas dengan baik, terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusannya itu sudah dimaklumkan pada mesyuarat exco sayap itu hari ini.

Shahrizat turut menyeru semua ahli Wanita Umno, terutama di peringkat akar umbi supaya mengekalkan semangat perjuangan selaku tulang belakang dalam parti.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada lebih 1.3 juta ahli Wanita Umno kerana memberinya peluang, kepercayaan dan kesetiaan untuk memimpin pergerakan itu.

“Sokongan dan perpaduan ahli Wanita Umno yang memungkinkan saya menjalankan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf jika dalam saya menjalankan tugas selaku ketua Wanita Umno, saya terkasar bahasa atau tersilap langkah,” katanya.

Wednesday, 30 May 2018

Kerajaan Pakatan Harapan Gagal Tunai Janji Hapus Tol



1. Harapan rakyat untuk menikmati janji Kerajaan Pakatan Harapan bagi menghapuskan semua tol lebuh raya di Semenanjung tidak kesampaian apabila Kerajaan PH hari ini mengumumkan hanya 50 peratus potongan kadar tol untuk tempoh dua hari sebelum Aidilfitri.

2. Ini ternyata bercanggah dengan manifesto PH yang berjanji untuk menghapuskan tol di seluruh negara andainya menjadi kerajaan demi meringankan beban rakyat.

3. Pastinya harapan berjuta-juta pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bukan saja hampa kerana tidak dapat tol percuma, malah masih perlu keluar duit belanja untuk bayaran tol. Ia pasti membebankan mereka khususnya yang berpendapatan rendah dan menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jauh.

4. Pengumuman hari ini menyerlahkan Kerajaan PH mungkin telah menyedari realiti bahawa penghapusan tol tidak realistik dan sukar dilaksanakan. Sekaligus menunjukkan janji manifesto itu hanya sebagai janji atau 'gula-gula' politik bagi meraih undi.

5. Menurut agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion. Ini bermakna ia adalah kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh yang singkat.

6. Oleh itu, bagaimana kerajaan mampu menanggung perbelanjaan bagi melunaskan hutang dengan syarikat konsesi ini, yang ada antaranya baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka?

7. Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuh Raya bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE Highway) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol? Projek berharga RM48 bilion itu memerlukan suntikan modal yang besar untuk pembinaannya. Apakah kerajaan sanggup menanggung kosnya, dan bagaimana?

8. Sebenarnya rakyat sudah menerima cara sistem bertol ini sejak PLUS mengutipnya pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4.

9. Seperti di negara lain, sebahagian besar rakyat Malaysia memahami tujuan kutipan tol oleh syarikat konsesinya. Biarpun jalan raya alternatif masih ada, mereka selesa menggunakan lebuh raya bertol untuk ke destinasi, serta faham ia dibina untuk kemudahan mereka.

10. Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan alih tanah serta pampasan.

11. Oleh itu, Kerajaan PH tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi. Apa jua janji kepada rakyat, mestilah ditunaikan sebaik mungkin, tanpa alasan dan helah politik.

12. Susulan pengurangan hanya 50 peratus dan dua hari saja menjelang Aidilfitri, rakyat mula tertanya-tanya dan kecewa terhadap Kerajaan PH yang hanya pandai retorik. Tindak tanduk Kerajaan PH mula tidak ketentuan malahan sanggup menjadikan isu 1MDB sebagai agenda politik dan menjanjikan rakyat dengan angan-angan yang besar seperti pemansuhan tol kononnya.

13. Mungkin PH kini tercari-cari jawapan sebenar dari segi implikasi kewangan kepada kerajaan dan pemegang konsensi tol sekiranya tol dihapuskan. Tambahan pula, dalam keadaan pasaran saham yang merundum, penurunan berterusan ringgit dan penarikan keluar modal asing, pastinya merungsingkan kerajaan sekarang.

14. Ini bukan salah rakyat dan rakyat tidak sepatutnya dipermainkan. Akibat pentadbiran Kerajaan PH yang cacamarba, pelabur luar mula menampakkan kesangsian untuk menanam modal dan pelaburan di negara ini.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
30 Mei 2018

Guan Eng menteri atau pejuang jalanan?- Puad Zarkashi

Anggota Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi menyelar Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang didakwanya cuba menjadikan media sebagai mahkamah.

“Berbagai isu didedahkan di media dan objektifnya adalah untuk mencari kesalahan dan menjatuhkan hukuman,” kata bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dibubarkan kerajaan baru.

“Satu lagi objektifnya ialah untuk mengalih perhatian rakyat supaya tidak mempersoalkan pelantikan kontroversi beliau sebagai menteri kewangan kerana terpalit dengan kes rasuah yang dalam proses perbicaraan di mahkamah.”

Katanya, bermula dari isu hutang negara, Lim menuduh kononnya kerajaan BN terdahulu membelanjakan hampir RM7 Bilion untuk menyelamatkan 1MDB.

“Soal dasar dan soal janji kerajaan HARAPAN langsung tidak dihuraikan.

“Lim Guan Eng tidak dapat membezakan lagak seorang street fighter (pejuang jalanan) dan seorang menteri.

“Apakah dia tidak sabar untuk membalas dendam?” soalnya.

Thursday, 24 May 2018

Perlantikan KP SPRM Langgar Janji Manifesto - Chegu Bard

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa telah melanggar beberapa janji yang dibuat dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika berjaya merampas Putrajaya.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin bekata, manifesto PH berjanji bahawa jawatan penting seperti Hakim, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan disahkan secara demokratik di Parlimen, bukannya melantik individu tertentu ‘sesuka hati’ bagi mengisi jawatan tersebut.

Beliau berkata, sebaliknya berlaku apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak melantik Ketua Persuruhjaya SPRM yang baharu sebelum Parlimen bersidang.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana PH telah berjanji pengisian jawatan penting perlu dilakukan secara demokratik,” katanya kepada Watan Online, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, semasa PRU-14 lalu, manifesto PH turut menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain terutama Menteri Kewangan.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri konon tidak akan pegang jawatan atau portfolio lain, namun telah melanggarnya,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salehuddin Ayub berkata, kepemimpinan PH akan berbincang berhubung keputusan Dr Mahathir Mohamad yang menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran walaupun bertentangan dengan manifesto gabungan itu.

Salehuddin berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pimpinan tertinggi PH dalam tempoh terdekat.

Dr Mahathir menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sebelum ini dinamakan Timbalan Perdana Menteri, diberikan portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.



Wartawan Watan-Online

Lagi Gesaan Hapuskan Institusi Agama Islam Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Seorang wanita menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan institusi agama Islam di negara ini seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan sebagainya.

Kavitha Aruljothi melalui laman Twitter sebentr tadi berkata isu berkaitan agama adalah merupakan hak perbadi dan adalah tidak wajar kerajaan mengunakan dana awam untuk membiayai institusi berkenaan.

“Kepada @chedetofficial (Tun Mahathir) dan rakan-rakan, langkah membubarkan SPAD & JASA merupakan satu pembaharuan yang baik. Mohon pertimbangkan untuk turut mengambil langkah sama terhadap Jakim, Jais dan lain-lain.

“Agama adalah merupakan hak peribadi. Membelanjakan berbilion-bilion dana awam ke atas penguatkuasaan agama dalam masyarakat sekular adalah tidak wajar,” tegasnya.

Kavitha kemudianya menjelaskan pihaknya bukan berniat untuk mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan hanya mempersoalkan tindakan mengunakan dana awam hanya untuk membiayai penguatkuasa agama.

“Saya tidak mempersoalkan Islam sebagai agama rasmi. (Namun) hany merujuk kepada penguatkuasaan agama yang boleh dilakukan tanpa mengunakan dana awam,” jelasnya ketika dibidas berhubung kenyataan tersebut.

Tun Dr Mahathir Mohamad awal tahun lalu pernah menyatakan, PH bersedia untuk mengkaji semula kedudukan Jakim, sama ada perlu dikekalkan ataupun dihapuskan.

Ia ekoran daripada desakan yang dibuat oleh segelintir pihak yang mempersoalkan kewujudan Jakim. – SuaraTV

GST hanya 6% Manakala SST 10%, Adakah Anda Telah Buat Pilihan Bijak Dengan Memilih SST 10%?? Baca Fakta Yang Menarik Diantara GST dan SST.

Sekiranya, kita membaca versi panjang manifesto tersebut di bawah Janji 1, muka surat 16, mereka sebenarnya akan memansuhkan GST, tetapi akan mengembalikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lapuk.

Jadi, ini bermakna cukai kepenggunaan masih dikekalkan. Adakah ia langkah yang bijak? Apakah perbezaan antara GST dan SST? Bukankah dalam kedua-dua senario, kita perlu membayar cukai juga?

Gerakan memansuhkan GST datangnya daripada persepsi ia menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Kita terpaksa membayar lebihan 6% daripada harga yang dibeli.

Walau bagaimanapun, tanpa kita sedari, sebelum GST kita telah membayar cukai kepenggunaan di bawah rejim SST. SST ini tersembunyi, manakala GST tidak.

Penukaran SST kepada GST pada 2015 sebenarnya hanyalah perubahan dari segi sistem percukaian, bukannya pengenalan cukai tambahan.

Persoalannya kini, adakah rakyat masih perlu membayar cukai sekiranya kita memansuhkan GST? Jawapannya adalah ya. Malahan, harga barang mungkin meningkat lagi di bawah SST.

Lihat contoh gambar di bawah..


SST telah dikenakan ke atas RM yang pertama (iaitu bekalan koko). Kemudian, dalam rantaian bekalan, sistem SST mengenakan cukai ke atas kos kumulatif RM2 (semasa coklat dihasilkan di kilang).

Ini bermakna, SST mengenakan cukai pada RM yang pertama (di peringkat bekalan koko) sebanyak 2 kali! Apabila coklat itu dijual di kedai, SST dikenakan ke atas RM pertama sebanyak 3 kali dan RM ke-2 (peringkat pengilang) sebanyak 2 kali!

Inilah yang kita gelar “cascading effect” atau cukai bertindih, membuktikan SST ini bermasalah.

Pada waktu sama, GST memastikan kita tidak dikenakan cukai berganda. Di bawah sistem GST, cukai 6% dikenakan di setiap aras pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ianya sama rata sepanjang nilai tambah rantaian bekalan – kepada pembekal, pengilang dan peruncit.

Perlukah kita kembali kepada SST?

Langkah untuk kembali kepada sistem SST merupakan langkah keterbelakang, terutamanya ketika lebih 160 negara di seluruh dunia sudah beralih kepada sistem GST.

Hal ini kerana, hasil daripada persetujuan antara pakar-pakar dan pertubuhan ekonomi antarabangsa merumuskan GST tiada cukai bertindih (cascading effect), lebih telus dan mempunyai sistem kawal selia menyeluruh bagi mengelakkan penyelewengan.

Cadangan menggantikan GST kepada SST seperti berbalik kepada roda petak daripada roda bulat. Penguatkuasaan cukai sebanyak 6% akan dikenakan pada setiap peringkat pengilang, pengedaran sehinggalah ke peringkat pengguna.

Di bawah sistem SST, harga produk sering diubah suai sesuka hati oleh orang tengah kerana mereka tidak perlu menyatakan jumlah cukai sebenar.

Terdapat banyak kes di mana pengilang tidak mendedahkan kadar SST mereka dan menyimpan kutipan cukai ini yang dikenakan ke atas pengguna.

Apabila kita melihatnya secara objektif, GST merupakan langkah ke depan. Sekarang, ramai menentang GST kerana ia muncul secara jelas di dalam bil mereka, mengingatkan mereka sedang membayar cukai. Manakala di bawah sistem SST pula, peniaga tidak perlu menyatakan cukai. Jadi, kita tidak terasa seperti membayar cukai kerana tidak sedar kewujudannya.

Ada yang akan bertanya, jika SST menjadikan barangan lebih mahal, mengapa harga barangan lebih murah sebelum kedatangan GST, iaitu di bawah SST?

Terdapat 2 jawapan bagi persoalan ini. Pertama sekali dan yang paling popular adalah kegiatan pencatutan. Orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga dan menuduh GST penyebabnya.

Sebab ke-2 adalah GST lebih cekap dan menyeluruh dalam pengutipan cukai kerana ianya dikawal selia sistem kukuh, menyebabkan tiada sesiapa dapat lari daripada dikenakan GST.

Isu pokoknya, tiada sesiapa yang suka membayar cukai. Namun, penghapusan GST tidak bermakna cukai akan dihapuskan. Sebaliknya, SST akan dikembalikan.

Jika ada pihak ikhlas mahu menghapuskan cukai kepenggunaan, mereka akan menurunkan kadar GST ke sifar, bukannya memperdaya orang dengan menukarnya kepada SST.

Jadi, pembangkang perlu bersikap jujur terhadap rakyat, sudah tentu mereka tahu kelemahan sistem SST ini kerana ramai di antara mereka terdiri daripada golongan yang arif dalam ilmu kewangan.

Jadi, adakah mereka benar-benar percaya kepada sistem ini atau mereka hanya mahu memansuhkan GST (untuk digantikan dengan SST) semata-mata untuk memancing undi?

Kesimpulannya, terdapat 2 perkara utama yang perlu difahami. Pertama, sekiranya GST dihapuskan, ia akan disusuli SST. Kedua, SST adalah sistem lapuk dan tindakan mengembalikannya adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Dasar yang diguna pakai untuk negara kita perlulah bersesuaian buat jangka panjang (#Forwardlooking), bukannya yang lapuk. Oleh itu, penting untuk kita menerapkan pemikiran #ForwardTogether demi merealisasikan masa depan cerah.

Sufiyan Abas
timbalan presiden Organisation for National Empowerment (ONE).

Kenyataan Akhbar Arul Kanda

Kenyataan akhbar oleh Arul Kanda
24 Mei 2018
Kuala Lumpur
(Untuk siaran segera)

Tanpa prejudis

Kenyataan ini dikeluarkan dalam kapasiti peribadi saya dan bukan dalam kapasiti saya sebagai Presiden 1MDB atau berhubung dengan jawatan saya di 1MDB.

Saya merujuk kepada kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 23 Mei 2018 oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng dan yang berikut adalah jawapan saya.

Tidak boleh dipertikaikan bahawa saya menyertai 1MDB hanya pada bulan Januari 2015, iaitu, selepas tindakan pengurusan dan lembaga sebelumnya yang mengakibatkan 1MDB mengumpul beban hutangnya, dan selepas banyak projek 1MDB berada dalam keadaan bermasalah.

Pendek kata, saya hanya menyertainya selepas berlakunya apa yang dikatakan sebagai salah laku yang disebut dalam Laporan PAC 1MDB, Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan saman sivil DOJ.

Beberapa pihak berkuasa domestik telah menjalankan dan masih menjalankan siasatan terhadap 1MDB. Isu-isu tertentu yang berkaitan dengan dana pelaburan 1MDB (termasuk yang bertanggungjawab untuk pelaburan asal dan pengurusannya yang berterusan) telah ditegaskan dari tahun 2015, dan kemudiannya dikemaskini, bukan hanya kepada pihak berkuasa yang menyiasat, tetapi juga kepada Lembaga dan Pemegang Saham. Fokus saya adalah sentiasa pada rasionalisasi perniagaan syarikat itu.

Semasa mesyuarat yang disebut dalam kenyataan oleh YB Menteri Kewangan, saya ditanya banyak soalan, yang mana dari apa yang saya ingat, saya telah jawab dengan jujur dan dengan paling baik sekali, tetapi tanpa mempunyai dokumen sokongan dengan saya pada masa itu. Oleh itu, saya menjawab semua soalan sebaik mungkin, dengan benar dan pada pengetahuan saya yang terbaik, berdasarkan apa yang saya ingat dari rekod syarikat, pengetahuan peribadi saya (atau kekurangan pengetahuan tentangnya), dan apa yang saya ingat tentang maklumat yang diberikan oleh pegawai di syarikat.

Pada pendapat saya, adalah tidak adil bagi Menteri untuk mengeluarkan kenyataan awam, yang tidak sepenuhnya dan dengan tepat mewakili bagaimana soalan-soalan itu telah ditanya dan dijawab. Keadaan saya dan konteks jawapan saya dengan mudah tidak dimasukkan sehinggakan ia menghasilkan gambaran yang tidak benar dan memberikan gambaran negatif tentang saya.

Lebih penting lagi, saya menafikan sekeras-kerasnya serangan yang berpotensi memfitnah dan bersifat peribadi terhadap saya oleh Menteri Kewangan. Oleh itu, dalam kapasiti peribadi saya, dan tidak berkaitan dengan jawatan saya dan khususnya hanya berhubung dengan kenyataan beliau, saya telah mendapatkan nasihat undang-undang dari peguam saya untuk menasihati saya mengenai pilihan saya.

Sementara itu, seperti yang telah saya lakukan pada masa lalu, saya komited untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan berdasarkan pengetahuan terbaik saya, kepada sebarang siasatan yang berterusan atau baru mengenai perkara berkaitan 1MDB.

Arul Kanda

Kerajaan DAP Pulau Pinang Had jawatan KM dua penggal

Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan janji pertamanya iaitu mengehadkan jawatan ketua menteri kepada dua penggal seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (Harapan) dalam PRU14.

Pelaksanaan janji tersebut dijangka akan dibuat dalam tempoh tahun ini.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pertama, tadi.

Menurutnya, penasihat undang-undang negeri diarahkan untuk mengkaji dan meneliti bagaimana ia dapat meminda Perlembagaan Pulau Pinang bagi melaksanakan janji tersebut.

“Klausa itu perlu dimasukkan ke perlembagaan negeri agar menjadi undang-undang tertinggi Pulau Pinang bagi tujuan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan ketua menteri.

“Butirannya akan diteliti apabila penasihat undang-undang negeri siap buat kajian tentang perkara itu. Exco akan berbincang apabila perkara itu siap diteliti,” katanya.

Mana sumber kerajaan tanpa GST?

Mana sumber kerajaan tanpa GST?
KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan mahu memansuhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh yang amat singkat dikhuatiri memberi kesan yang tidak baik kepada negara.
Kebimbangan itu disuarakan oleh pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam, yang pada pandangannya sepatutnya kajian mendalam dilakukan terlebih dahulu.
Ini kerana, keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa akan memberi kesan kepada semua pihak – rakyat dan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, pelaksanaan GST terbukti memberi kesan yang baik kepada pendapatan negara, lantaran itu ia dilaksanakan di sebahagian besar oleh negara-negara di dunia ini.
Dengan peningkatan pendapatan, lebih banyak golongan berpendapatan rendah dan miskin dapat dibantu serta dapat meningkatkan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.
“Tetapi GST menjadi mangsa politik sehingga ramai pihak tidak nampak kelebihan dan kebaikannya. Jika sistem cukai itu tidak bagus, sudah tentu ia tidak dilaksanakan di negara-negara lain,” jelasnya yang khuatir langkah kerajaan menetapkan sifat GST akan menjejaskan pendapatan negara.
Seandai itu berlaku, tidak mustahil kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan operasi dan pembangunan negara terutama membabitkan projek-projek yang menjadi keperluan rakyat.
Kalau pun, tidak melaksanakan langkah-langkah tersebut, beliau bimbang kerajaan akan berhutang lagi atau menaikkan cukai-cukai tertentu yang dikhuatiri menyukarkan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap Majlis Penasihat kerajaan dapat menjelaskan kepada rakyat dengan terperinci langkah-langkah yang sedang dibuat supaya tidak menimbulkan rasa panik dan ketidaktentuan.
“Apabila GST sifar peratus, subsidi minyak diteruskan dan menghapuskan tol, saya tertanya-tanya dari manakah sumber pendapatan negara akan diperoleh? Rakyat mungkin gembira tetapi apakah kesannya kepada negara.
“Apatah lagi jumlah populasi negara bertambah, bagaimana kemudahan-kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan kesihatan,” ujar beliau yang menyifatkan kebimbangannya berasas kerana tidak mahu Kerajaan Pakatan Harapan melakukan kesilapan.
Katanya, Malaysia sepatutnya mencontohi model ekonomi Scandinavia yang menggunakan kutipan hasil cukai yang diperoleh daripada golongan kaya untuk membantu penduduk miskin.

Shukri diminta kurangkan bercakap, lebihkan kerja!

KUALA LUMPUR – Datuk Shukri Abdull yang dipanggil kembali memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihatkan tidak banyak bercakap sebaliknya memulakan tugasnya dengan segera.

Jelas bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, pendedahan Shukri semalam mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berisiko mengganggu siasatan yang sedang dijalankan kerana kenyataan-kenyataan bersifat prejudis yang dikeluarkannya.

“Pendapat peribadi saya ialah lebih baik tiada kenyataan umum kerana ia boleh memprejudiskan siasatan dan jejaskan prosiding mahkamah.

“Saya tak tahu, saya tak mahu komen tapi jika tanya saya lebih baik lebihkan kerja dan kurangkan bercakap,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan Menara Ilham sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Shukri semalam ketika sidang media khasnya seepas kembali memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Selain itu tambahnya, Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang ditubuhkan Isnin lalu akan memberikan laporan kepada Jawatankuasa Siasatan yang diketuainya sejak seminggu lalu.

Justeru itu beliau menegaskan tidak akan ada pertindihan tugas yang akan berlaku di antara kedua-dua pihak itu.

“Tidak akan pertindihan kuasa sebab kami mengkordinasi mereka report kepada saya,” tambahnya

Shukri hantar Whatsapp minta maaf pada saya – Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM

Shukri hantar Whatsapp minta maaf pada saya – Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM
KUALA LUMPUR- Tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Shukri Abdull yang menuduh Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai pengkhianat negara disifatkan sebagai satu tuduhan berat.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, beliau memandang serius kenyataan tersebut namun telah menerima permohonan maaf daripada Shukri.
“Sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia,  saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi dan saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai ‘Pengkhianat Negara’,” katanya.
Dzulkifli yang meletakkan jawatan minggu lepas bagaimanapun memberitahu beliau berlapang dada apabila Shukri ada menghubunginya menerusi aplikasi Whatsapp untuk memohon maaf.
“Saya amat terharu dan ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Shukri telah menghubungi saya pada pagi ini melalui whatsapp dan sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau telah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sesi sidang media tersebut semalam.
“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” katanya lagi.
Shukri dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM semalam melabelkan Dzulkifli sebagai pengkhianat negara kerana melindungi pesalah sambil merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Janji 100 hari kerajaan akan dipantau

Wednesday, 23 May 2018

Tuduhan Shukri terhadap saya teramat berat namun menerima permohonan maafnya - TS Dzulkefli

Tan Sri Dzulkifli Ahmad memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull yang melabelkan dirinya sebagai ‘pengkhianat negara.

Bekas Pesuruhjaya SPRM itu turut menyifatkan kenyataan Shukri itu sebagai satu tuduhan yang teramat berat ke atas dirinya sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat di dalam perkhidmatan awam Malaysia.

“Saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi dan saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai pengkhianat negara.

“Walau bagaimanapun, saya amat terharu dan ingin memaklumkan bahawa beliau (Shukri) telah menghubungi saya pada pagi ini melalui aplikasi Whatsapp,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Dzulkefli, sebagai seorang yang berjiwa besar, Shukri telah memohon maaf kepada beliau di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap dirinya dalam sesi sidang media tersebut semalam.

“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” katanya.

Semalam, Shukri dalam sidang akhbarnya yang dihadiri lebih 100 petugas media mendedahkan beliau menerima ancaman bunuh ketika menyiasat kes anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn. Bhd. dan terpaksa melarikan diri ekoran daripada ancaman tersebut.

Shukri turut menyifatkan Dzulkefli sebagai pengkianat negara kerana tidak meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak SPRM dan turut menerima pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga mendorong beliau bersara awal.-UTUSAN ONLINE

Tuesday, 22 May 2018

Ahli Akar Umbi Tak Patah Semangat, Tekad Bangkit Perkukuh Semula UMNO

TANJUNG MALIM, 21 Mei – Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang tidak berpihak kepada Barisan Nasional (BN) tidak mematahkan semangat ahli-ahli UMNO di akar umbi dalam membina semula keyakinan agar parti terus mengorak langkah jauh ke depan selepas ini.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Abdul Talib yakin dengan pelbagai pendekatan dan juga langkah yang akan diambil oleh pucuk pimpinan dalam usaha membina semula UMNO.

“Kekalahan lalu bukan pengakhiran kerana kita yakin majoriti pengundi khususnya orang Melayu masih bersama dengan kita dan pada masa yang sama kita akan terus berusaha untuk memenangi semula hati pengundi muda khususnya yang dianggap telah meninggalkan UMNO.

“Saya yakin dengan strategi yang diatur oleh kepimpinan pusat serta negeri, kita akan terus mengorak langkah ke depan.

“Kita juga yakin usaha-usaha pemulihan parti dapat dilaksanakan sebaik mungkin khususnya apa yang telah pun dinyatakan oleh Datuk Seri Dr Zahid bahawa setiap pemimpin perlu memastikan mereka tidak meninggalkan perjuangan parti dan pada masa yang sama memperkukuhkan iltizam untuk terus bergerak ke depan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan semangat ahli parti di akar umbi dapat dilihat apabila masing-masing cukup bersemangat untuk sama-sama membina semula parti berdasarkan kehadiran dan sokongan yang dipamerkan semasa perasmian persidangan berkelompok UMNO bahagian terbabit Ahad lalu.

“Lihat semangat mereka berkobar-kobar untuk terus melangkah jauh ke depan dan walaupun tempoh yang diberikan begitu singkat sekali untuk mereka adakan mesyuarat di peringkat cawangan, tetapi daripada maklum balas yang kita perolehi dan daripada taklimat-taklimat diberikan mereka menyatakan kesediaan dalam tempoh yang diberikan.

“Dan kita akan memastikan mesyuarat cawangan bergerak lancar dan dalam mesyuarat berkenaan sudah pasti banyak idea yang akan diberikan oleh akar umbi dan kita akan lihat dengan serius segala saranan yang dibuat akar umbi khususnya dalam soal membina UMNO agar parti terus mendapat sokongan bukan sahajala di kalangan kita semata-mata malah di kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap UMNO cawangan Kampung Kelawar Tanjung Malim, Mohammad Yadzan Mohamad berpandangan parti diyakini akan terus mengorak langkah ke depan dan bukannya melihat ke belakang.

Hal itu katanya lagi amat penting agar seluruh ahli dapat terus istiqamah dan terus kekal di dalam perjuangan supaya apa yang diperjuangkan selama ini terus berpanjangan dan berterusan berkhidmat untuk rakyat.

“Kalah bukan kalah selamanya dan insya-Allah kita akan terus bangkit dalam usaha membina semula parti ke depan dan inilah yang kita sama-sama perlu tanam di dalam setiap diri. Insya Allah apa yang terjadi hari ini akan kita jadikan semangat untuk sama-sama membina semula parti,” katanya.

Katanya lagi apa yang penting adalah azam dan semangat yang perlu dikekalkan malah akar umbi tentunya memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan parti dapat dibina semula untuk kepentingan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafei Mat Shuib Ketua UMNO Cawangan Bandar Behrang 2020 berpandangan apa yang berlaku hari ini tidak mematahkan semangatnya malah akan terus lebih bersemangat bersama-sama dengan pucuk pimpinan dalam membina semula parti.

Katanya setiap yang berlaku ada hikmahnya dan apa yang penting hari ini semangat dan tekad perlu disematkan di dalam diri dalam usaha membantu parti ke depan. – MediaUMNO

Kerajaan PH warisi ekonomi kukuh

KUALA LUMPUR 14 Mei - Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mewarisi ekonomi yang kukuh, de­ngan purata pertumbuhan 5.5 pe­ratus sejak lapan tahun lepas, kata Moody’s Investors Service.

Namun beban hutang negara yang tinggi masih menjadi cabaran utama kredit dan Moody’s me­nganggarkan nisbah keluaran da­lam negara kasar/hutang (KDNK) pada 50.8 peratus pada akhir 2017, melepasi median 40.1 peratus bagi negara yang diberikan penarafan A/.


“Walaupun kerajaan sebelum ini mencapai pengurangan defisit fiskal kepada 2.8 peratus untuk lapan tahun berturut-turut mengikut Bajet 2018, perbelanjaan yang lebih rendah merupakan pemacu penyepa­duan, dengan bahagian hasil kepada KKDNK susut sejak 2012.

“Memandangkan keupayaan kerajaan yang terhad untuk me­ngurangkan lagi perbelanjaan, beban defisit dan hutang dijangka berlegar pada paras semasa,” kata Naib Presiden Kumpulan dan Peng­analisis Kanan Risiko Moody’s, Anushka Shah dalam kenyataan hari ini.

Pemansuhan beberapa pembaharuan tanpa sebarang pelarasan lain, akan meluaskan defisit, dan jika kerajaan memilih untuk me­laksanakan janji kempennya tanpa melakukan pelarasan atau menyeimbanginya, ia akan menjadi negatif (penarafan) bagi Malaysia.

Ini termasuk cadangan pemansuhan Cukai Barang dan Per­khidmatan (GST) dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), seperti yang dicada­ngkan oleh Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anushka berkata, SST secara bersendirian, ia tidak akan dapat menyamai kutipan hasil berjumlah RM44.3 bilion pada 2017 atau 3.3 peratus daripada KDNK.

“Memansuhkan GST juga akan memperkenalkan risiko mengurangkan pendapatan dan meningkatkan pergantungan kepada pendapatan berkaitan minyak, yang berkurangan sejak pengenalan GST pada 2014.

“Satu lagi cadangan ialah memperkenalkan semula subsidi bahan api, suatu janji kredit negatif kerana ia akan mengganggu mekanisme harga berasaskan pasaran, yang akan menjejaskan kedudukan fiskal Malaysia melalui subsidi yang lebih tinggi, serta imbangan pembayaran melalui keanjalan yang lebih rendah bagi import minyak ke atas pergerakan harga,” katanya.

Menurut Anushka, disiplin fis­kal penting untuk meningkatkan keyakinan pasaran, terutama memandangkan bukan pemastautin memegang 28 peratus daripada sekuriti kerajaan pada akhir 2017 dan 28.5 peratus ekuiti di Bursa Malaysia pada April 2018, yang meletakkan kedudukan negara terdedah kepada perubahan aliran modal dan sentimen pelabur.

“Kami mengunjurkan penunjuk pendedahan luar Malaysia, yang kami gunakan untuk mengukur pendedahan negara kepada aliran modal yang berhenti secara tiba-tiba, pada kedudukan 145.6 peratus pada 2018, paras yang tinggi di peringkat global, terutama jika dibandingkan dengan kerajaan lain yang diberi nilai A,’’ ujarnya.

Ini mengambil kira rizab asing yang terus meningkat lebih tinggi sepanjang tahun lalu kepada AS$ 102.9 bilion pada akhir April 2018.

Penampan lain, termasuk institusi domestik yang besar yang menyediakan dana pembiayaan untuk hutang mata wang tempatan dan lebihan akaun semasa bertindak sebagai mitigasi,” katanya. –BERNAMA

Sunday, 20 May 2018

Datin Seri Rosmah Mansor Menjawab Fitnah Ke Atasnya


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG SESUNGGUHNYA FITNAH ITU LEBIH DAHSYAT DARIPADA MEMBUNUH. GEJALANYA AMAT MENAKUTKAN, LAGI MEROSAKKAN.
Pembaca yang amat dikasihi; Tibalah masanya saya sebagai seorang insan, dengan rendah hati ingin menjawab segala fitnah dan tohmahan yang telah dihamburkan kepada saya selama ini.
Adalah wajar untuk saya membersihkan nama saya, maruah suami tercinta dan seterusnya kepimpinan negara agar fitnah ini tidak terus terpalit hingga menyebabkan saudara saudari tersalah anggap.
Alhamdulillah, anak-anak boleh terima walaupun ada ketikanya mereka sedih dengan fitnah yang keterlaluan. Anak-anak saya cuba melihat kebaikan dan kemurniaan majoriti masyarakat, bukan minoriti yang sentiasa ada tanggapan negatif.
Apabila saya bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dan bersoal-jawab tentang fitnah-fitnah tersebut, mereka boleh menerima penjelasan daripada saya.
Penjelasan secara ‘face to face’ itu sangat berkesan. Cuma, mereka hairan, terkejut dan bertanya mengapa tidak ada orang jawab bagi pihak saya. Saya mana ada pegawai, saya isteri Perdana Menteri bukan Perdana Menteri.
Justeru, saya akan memberikan sendiri jawapan setiap persoalan yang timbul supaya masyarakat dapat menilai kebenarannya. Sikap mendiamkan diri dalam hal ini umpama ‘membunuh diri sendiri’
Pertama:
Isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu,
19 Oktober 2006
Saya difitnah telah bersama membunuh mendiang pada tarikh kejadian. Nauzubillah. Bagaimana saya mahu membunuh orang sedangkan cicak jatuh di depan mata pun saya melompat lari. Saya juga takut gelap. Apa lagi saya nak mendaki bukit di tempat yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan itu.
Tidak ada daya upaya saya berbuat begitu Pada tarikh itu juga saya dan Leftenan Kolonel Norhayati Hassan berada di dalam Majlis Berbuka Puasa Dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Kepada Anak-Anak Yatim Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Apabila saya difitnah dan media menyiarkannya, saya tidak diberikan kekebalan. Mungkin ramai orang yang tidak tahu bahawa saya disoal siasat di Bukit Aman selama enam jam gara-gara fitnah itu.
Kedua:
Cincin berlian berharga RM24 Juta
Saya berani bersumpah, cincin itu tidak ada di tangan saya. Memang cincin itu masuk (melalui kastam) untuk dilihat oleh Maira Nazarbayev yang pada ketika itu berada di rumah saya bagi persiapan majlis pertunangan anaknya dengan anak saya. Beliau adalah ‘regular customer’ kepada jewelry Jacob & Co.
Perkara ini telah diterangkan secara lebih lanjut oleh Director of Fine Jewelry Jacob & Co., Philip Nassimi. Berlian berwarna biru kelabu seberat 30.11 karat itu telah dihantar pada 15 April 2011 melalui syarikat penghantaran Malca Amit, New York menggunakan penerbangan House Airway, no bil: 1488134 dari ibu pejabat Jacob & Co. di New York ke Kuala Lumpur, Malaysia. Ia sampai pada 16 April 2011.
Setelah dilihat oleh Maira, cincin tersebut dipulangkan dan keluar dari Malaysia melalui pelabuhan Singapura pada 20 April 2011. Ia diuruskan oleh Malca Amit Malaysia dan Singapura. Ia telah dikembalikan ke ibu pejabat Jacob & Co. di New York pada 13 Mei 2011
(Rafizi sewaktu disaman dimahkamah mengaku dia hanya bergurau isu cincin tersebut)
Ketiga:
Berjoli di luar negara
Kebanyakan lawatan saya ke luar negara kerana mengiringi suami menjalankan tugas. Selain itu, saya juga menerima jemputan untuk menyampaikan ucapan oleh negara yang berminat untuk berkongsi apa yang Malaysia lakukan.Memang kebanyakan negara yang saya dekati ialah negara Dunia Ketiga dan Timur Tengah. Ini kerana negara-negara inilah yang memerlukan pendekatan yang saya katakan tadi. Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan Korea sudah maju dan kaya. Jika mahu berbakti, sudah tentu kita mendekati masyarakat atau negara yang memerlukan idea kita. Kita mahu buat kerja, bukan glamour.Saya pernah dijemput memberi ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan Ke12 di Riyadh tahun 2011. Saya juga menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Saudi Arabian Islamic Foundation for Giftedness and Creativity (Mawhiba). Bagi saya ini adalah pengiktirafan terhadap wanita Islam yang mempunyai pandangan sederhana tetapi moden dan pada masa yang sama tidak melanggar adab kesopanan wanita Timur. Untuk seorang wanita diterima di kalangan pemimpin-pemimpin dunia lelaki terutamnya di Timur Tengah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi mereka sering memandang rendah kepada wanita. Apabila wanita Islam mempunyai buah fikiran yang boleh dikongsi bersama dan buah fikiran itu sememangnya untuk manfaat rakyat maka mereka memberi penghargaan dengan cara menjemput kita ke negara mereka untuk menyampaikan ucapan. Masakan saya sempat untuk berjoli?
Lagipun, saya tidak minat berjoli.
Keempat:
Pembaziran Projek Permata
Sejarah membuktikan bangsa yang tiada pendidikan akan terus ditindas. Saya percaya orang yang mempunyai pendidikan akan lebih berjaya. Sebagai anak bekas guru, saya faham tentang bagaimana pendidikan berfungsi untuk membentuk keperibadian manusia. Pendidikan harus bermula daripada awal. Justeru, saya mencadangkan penubuhan Permata.Ini idea baru. Tidak apalah, kalau idea baru memang agak sukar diterima oleh semua orang kerana mereka tidak memahami apa sebernarnya yang ingin kita sampaikan.Satu lagi masalah ialah sikap penyokong politik yang taksub, kita yang tidak dapat membezakan kerja kemasyarakatan dengan politik. Semuanya mereka satukan. Agak malang apabila kerja-kerja kemasyarakatan seperti Permata dijadikan motif politik.Saya tidak faham mengapa orang mempertikaikan tentang Permata sedangkan program tersebut adalah untuk kebaikan generasi akan datang. Ada yang marah-marah apabila kerajaan mengumumkan bajet yang besar untuk Permata sedangkan tidak ada satu sen pun duit itu masuk ke poket saya.
Kelima:
Bergaya dengan perhiasan mewah
Seperti kebanyakan isteri pemimpin, saya juga mengiringi suami ke beberapa negara kerana urusan negara. Ada juga yang menjemput saya atas kapasiti sebagai isteri Perdana Menteri. Mereka mahu saya memberi ucaptama tentang pengalaman masyarakat Malaysia terutama yang berkaitan wanita dan pendidikan awal kanak-kanak. Apabila saya ke negara tersebut, mereka menyambut kami dengan mesra sebagaimana kita melayan mereka apabila mereka ke negara kita. Itulah adab sopan melayan tetamu. Sebagai meraikan kehadiran tetamu, kebiasaannya mereka memberikan cenderamata sebagai kenang-kenangan. Antara cenderamata tersebut termasuklah cincin, jam, perhiasan diri dan sebagainya. Ada yang diberi itu mahal harganya dan ditempah khas. Apabila orang memberi kita sesuatu, sudah tentu tidak manis untuk menolaknya. Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain?
Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan merasa kecil hati. Dan, apabila telah diberi, saya pun memakainya. Tak kan nak simpan saja dalam peti besi sedangkan barang-barang yang diberikan itu dengan ikhlas, cantik dan sesuai untuk digunakan. Adalah satu pembaziran jika ia di simpan ‘kaku’ dalam kotak simpanan. Saya sedar ramai mata yang memerhati setiap apa yang saya lakukan dan setiap apa yang saya pakai. Itu hak mereka. Saya tidak boleh menghalang. Tetapi, malangnya mereka ini bukan saja memerhati malah memfitnah saya dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal. Pendek kata, saya tidak mampu memuaskan hati setiap orang. Yang penting, saya percaya pada apa yang saya lakukan
Keenam:
Isu ‘First Lady’
Bagi saya gelaran First Lady tidak menimbulkan sebarang masalah. Misalnya dalam penganjuran Sidang Kemuncak Wanita Pertama, peserta yang dijemput adalah isteri-isteri kepada Presiden, Perdana Menteri atau apa saja gelaran yang diberi kepada pemimpin tertinggi (yang menguruskan pentadbiran negara). Mereka adalah First Lady atau Wanita Pertama dalam konteks suami yang diberi tanggungjawab serta dipilih rakyat untuk mentadbir Negara. Saya tidak fikir ia sesuatu yang perlu dipertikaikan. Kita di Malaysia ada institusi Diraja sebagai ketua negara iaitu yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Mirip British yang mana Queen adalah ketua negara manakala Perdana Menteri adalah ketua kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya. Bagi sesetengah negara seperti Amerika dan Perancis, ketua kerajaan dan negara adalah Presiden, maka isteri Presiden adalah Wanita Pertama. Sekiranya kita menggelar Permaisuri Agong sebagai First Lady atau Wanita Pertama bererti kita telah ‘downgrade’ status baginda. Kedudukan baginda permaisuri adalah yang kedua selepas Yang Dipertuan Agong. Ini satu kedudukan khas yang diiktiraf dalam perlembagaan kita. Saya rasa dalam soal ini ramai yang faham. Cuma mungkin ada sesetengah yang sengaja mempertikaikan dan cuba menjadikan ia sebagai isu.
Ketujuh:
Isu menjadi Perdana Menteri Keenam.
Mana mungkin?
Saya hanya mahu menjadi isteri kepada Najib Tun Razak. Kalau dia orang biasa pun, saya akan bersama dia. Kalau dia jadi Perdana Menteri itu adalah tanggungjawab dan rezeki yang telah tertulis di Loh Mahfuz.
Saya tetap akan berada di sisi dia selagi Allah memanjangkan jodoh antara kami. Saya rasa pandangan salah ini muncul disebabkan serangan politik. Sudah pasti mereka mempunyai agenda politik tersendiri. Oleh kerana saya paling dekat kepada Datuk Seri Najib, maka saya menjadi sasaran. Oleh kerana saya sentiasa bersama Datuk Seri Najib di mana saja, maka saya dianggap sebagai orang yang menentukan semua polisi negara sama seperti kuasa Perdana Menteri. Datuk Seri Najib kata, sebenarnya mereka itu mahu mengenakan beliau tetapi sasaran yang paling tepat adalah mengenakan saya dulu. Mereka tak dapat suami, mereka pergi kepada isteri sebab saya tak boleh nak mempertahankan diri. Orang yang memfitnah saya dan Datuk Seri Najib ada agenda. Mereka mahu tempat Datuk Seri Najib. Bagi saya senang, tak salah setiap orang ada cita-cita. Tapi, caranya kena betul. Jangan sampai menganiaya dan memfitnah orang. Itu salah dan tidak ada etika. Agama juga membenci perbuatan itu.
Pembaca yang amat dikasihi; Saya tidak pandai menyusun ayat indah untuk menjawab semua fitnah ini. Apa yang lahir, adalah terlintas dari rasa sanubari seorang insan yang dianiaya oleh pihak tertentu. Saya serahkan kepada Allah. Kalau mereka insaf, syukur Alhamdulillah. Saya sentiasa memaafkan.
Tak apalah mereka memfitnah saya, Tuhan akan beri yang baik kepada saya. Ingat zaman nabi dulu, bila orang kutuk baginda, baginda beri pisang kepada orang itu. Semoga Allah memberkati para pembaca semua.Sekian daripada saya,
Rosmah Mansor
Jumaat, 18 Mei 2018

Saturday, 19 May 2018

Rampasan di dua unit kediaman tiada kaitan dengan 1MDB


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa rampasan yang dilakukan baru-baru ini di dua unit kediaman keluarganya di Jalan Raja Chulan di sini awal Jumaat adalah barangan peribadi dan tidak ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam beliau, Datuk Harpal Singh Grewal berkata Najib menyatakan kecewa dengan tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu kondominium yang didiami anaknya, Mohd Norashman atau Ashman dan Nooryana Najwa atau Gina, dengan mendakwa serbuan itu tidak mengikut prosedur operasi standard.

Harpal mendakwa serbuan di kondominium Gina dilakukan semasa ketiadaan anak perempuannya itu, sebaliknya hanya pembantu rumah yang ada.

“Ini merupakan kejutan besar kepada keluarga apabila barangan yang disita dari bilik nombor satu adalah pakaian dan kasut yang dimilikinya secara peribadi dan telah dibeli atau dihadiahkan kepadanya sejak bertahun-tahun.

“Lebih mengecewakan, hadiah perkahwinan pasangan ini dirampas dan dikeluarkan oleh pihak yang membuat serbuan tanpa sebarang usaha untuk mengenal pasti ciri-ciri barangan yang disita. Selain itu, polis turut merampas beberapa pasang kasut bayi dan pakaian yang dibeli untuk anak kecil pasangan ini,” kata Harpal pada sidang media di hadapan kediaman Najib di Langgak Duta, di sini, hari ini.

Beliau berkata di kondominium Ashman, barangan peribadinya seperti telefon bimbit lama, lpad dan komputer riba telah disita.

“Kesemua barangan ini adalah peralatan kerja Ashman yang merupakan seorang pekerja bergaji. Di samping itu, barangan kepunyaan pembantunya seperti jam tangan, dan komputer riba juga dirampas.

Menurut Harpal, Gina bekerja dengan sebuah syarikat dana ekuiti swasta antarabangsa yang kukuh dan merupakan seorang wanita yang berjaya dengan caranya sendiri manakala suaminya juga merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan caranya sendiri serta berasal daripada keluarga yang berada.

“Rampasan ini boleh digambarkan dengan cara anggota polis mengambil sendiri makanan dan coklat di dalam peti sejuk selain mendesak agar makanan disediakan untuk mereka,” katanya.

Di samping itu, Harpal berkata publisiti meluas berhubung rampasan yang pada dasarnya barangan peribadi milik anak-anak Najib mengakibatkan penghinaan dan amat memalukan keluarga beliau.

“Kedua-dua penghuni kondominium tersebut merayu kepada JSJK supaya segera mengembalikan semua barangan peribadi dan mengelakkan daripada terus memalukan dan memberi tekanan kepada keluarga ini. Tidak ada kaitan dan tidak ada bukti prima facie untuk rampasan ini dilakukan,” kata Harpal.

Tuntutan LGBT Pasca PRU14



1. Salah satu fenomena yang muncul setelah pembentukan kerajaan yang baharu adalah tuntutan secara terbuka hak-hak LGBT di Malaysia. Kewujudan ini amat membimbangkan. Selain daripada bercanggah dengan fitrah manusia, amalan seperti ini amat bertentangan dengan al-Quran dan hadith.

2. Allah SWT mengingatkan kita tentang ancaman ini melalui kisah Nabi Lut yang dinyatakan didalam al-Quran. Perbuatan terkutuk ini disifatkan oleh Allah SWT sebagai “orang yang melampaui batas”. Firman Allah:

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاء بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

3. Dalam menangani isu ini, Rasulullah ﷺ juga memberi amaran yang keras berhubung perbuatan ini. Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa amalan ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah. Sabda Baginda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ

Maksudnya: Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. (HR Ahmad)

Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini. Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda ﷺ dalam menangani permasalahan ini.

4. Malah, Rasulullah meletakkan hukuman yang amat keras terhadap pelaku LGBT. Sabda Baginda Nabi:

مَنْ وَجَدْتُمُوه يَعمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ والمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, maka bunuhlah si pelaku dan yang diperlakukan. (HR al-Tirmizi dan Abu Daud)

Dalam merelisasikan saranan ini, al-Imam al-Syaukani menjelaskan bahawa Khulafa al-Rasyidin pernah menjatuhkan hukuman mati terhadap pelaku homoseksual. (al-Shawkani, Sayl al-Jirar, 1/840)

5. Menurut al-Imam al-Bayhaqi, Khalid al-Walid pernah bertanya kepada Abu Bakar berhubung hukuman yang wajar dikenakan terhadap pelaku homoseksual ini. Abu Bakar memanggil beberapa sahabat berbincang. Saidina Ali antara sahabat yang memberikan respon yang amat keras. Beliau mencadangkan supaya pelaku tersebut dibakar! (al-Safiri, al-Majalis al-Wa’ziyyah, 2/155)

5. Menurut al-Qardawi, tindakan tegas yang dikenakan oleh Syariat Islam ini adalah bagi membersihkan masyarakat dari budaya yang tidak sihat. Malah perlakuan ini membawa kepada penyebaran penyakit yang tidak diingini. (al-Qardawi, al-Halal wa al-Haram.)

6. Dengan itu, adalah diharapkan agar pihak berkuasa memantau serta mengambil tindakan terhadap kewujudan kumpulan yang membantu ke arah perlakuan yang terkutuk ini.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Dipersilakan keluar, jika tak mahu bersama BN - Bung Moktar

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu bersama gabungan itu supaya meninggalkan mereka secepat mungkin bagi mengelakkan wujud musuh dalam selimut.

“Umno masih kukuh di akar umbi yang menjadi tulang belakang BN. Kita boleh lihat parti lain tidak menyumbang apa-apa, jadi apa ‘point’ mereka kekal dengan kita?

“Lagi baik mereka tinggalkan BN seawal mungkin supaya kita tidak ada musuh dalam selimut,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Tanpa memetik nama parti komponen BN, beliau mengulas kebimbangannya perpecahan bakal berlaku dalam BN ekoran kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tiada paksaan dalam perkara itu.



“Kita tidak minta sesiapa keluar, tapi siapa yang mahu bersama kita akan teruskan, siapa yang mempunyai hasrat nak keluar, dipersilakan.

“Walaupun kita akan jadi kumpulan yang kecil, sekurang-kurangnya kita kuat akan bantu kemenangan parti.”

Mengulas peletakan jawatan Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam semua jawatan Umno dan BN, Bung menjangkakan lebih ramai pemimpin parti itu mengambil tindakan sama.

“Saya rasa ramai lagi akan berbuat demikian. Saya dengar sebelum ini ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu (akan mengambil tindakan sama dengan) Dr Helmi. Tapi ia tidak ada masalah kerana pemimpin datang dan pergi, namun parti mesti diteruskan.”

Dr Hilmi mengumumkan peletakan jawatan dalam Umno dan BN berkuat kuasa semalam, susulan kekalahan teruk parti itu pada 9 Mei lalu.

Letak jawatan Felcra akhir Mei

Sementara itu, Bung mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (Felcra Berhad).

Katanya, surat peletakan jawatan itu akan diserahkan akhir bulan ini.

“Saya akan menghantar surat peletakan jawatan insya Allah hujung bulan ini.”

Semalam, Majlis Penasihat Kerajaan menemui Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Zulkarnain Md Eusope hampir sejam bagi membincangkan operasi serta prestasi badan berkanun itu.