Showing posts with label Ramasamy. Show all posts
Showing posts with label Ramasamy. Show all posts

Sunday, 2 July 2017

Gerai politeknik: NGO desak Ramasamy minta maaf


Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy memohon maaf kerana mencetuskan kontroversi berhubung isu penamatan kontrak pengendali gerai makanan G. Gopi Krishnan di Politeknik Seberang Perai (PSP).
NGO berkenaan ialah Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia (PSSGM) Pulau Pinang dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang.

Yang Dipertua PSSGM Pulau Pinang Mohd Mamsin Anor Kassim mendakwa Ramasamy cuba mengapi-apikan isu berkenaan kerana mencetuskan sentimen perkauman.
“Kenyataan Ramasamy yang dibuat pada sidang media 29 Jun lepas amat tidak bertanggungjawab. Kenyataan sebegitu tidak sepatutnya keluar daripada seorang yang mempunyai intelektual yang tinggi. Sepatutnya beliau berterima kasih kepada politeknik kerana membantu masyarakat India,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Isu kontrak Gopi Krishnan yang kononnya ditamatkan oleh politeknik itu kerana beliau bukan Islam menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Gopi Krishnan, 45, mengadakan sidang media bersama Ramasamy pada 29 Jun lepas bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya selepas kontrak beliau tidak diperbaharui oleh PSP.

Jabatan Pendidikan Politeknik dalam kenyataan semalam, menyatakan permohonan peniaga itu ditolak selepas ia didapati tidak memenuhi syarat dan kriteria yang termaktub dalam spesifikasi sebut harga iaitu tidak mempunyai Kod Bidang 040103 Makanan Bermasak Islam.
Mohd Mamsin berkata selain Ramasamy, Gopi Krishnan juga harus memohon maaf kepada pihak yang berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa negeri, Mohd Nasir Othman berkata ini bukan kali pertama Ramasamy mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan sentimen perkauman.
“Sebelum ini Ramasamy turut mencetuskan kontroversi berhubung isu 13 Mei 1963. Jadi ini bukan yang pertama. Ramasamy mengeluarkan kenyataan ini tanpa mengambil kira sensitiviti orang Islam dan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata Ramasamy perlu melihat isu itu secara objektif dengan merujuk dan berjumpa pihak pengurusan PSP untuk menyelesaikan perkara tersebut dan bukan mempolitikkannya.
Justeru, Mohd Nasir berkata Perkasa Pulau Pinang akan membuat laporan mengenai kenyataan Ramasamy terhadap PSP di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada petang ini.

Saturday, 2 July 2016

Kenapa Ramasamy membisu memgenai Kes Rasuah Lim Guan Eng - S Vell Paari

Seorang pemimpin MIC mempersoalkan mengapa Timbalan Ketua Menteri II membisu di kala atasannya berdepan dakwaan rasuah.
Bendahari Agung MIC S Vell Paari berkata kebisuan Ramasamy mengejutkan dan menunjukkan hipokrasi di pihak Lim Guan Eng dan ahli-ahli DAP.

“Jika P. Ramasamy betul mahu berjuang untuk rakyat Pulau Pinang, beliau harus mendesak Ketua Menteri untuk mengambil cuti sehingga kes ini selesai untuk menjaga kesucian dan integriti pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang,” kata Vell Paari dalam satu kenyataan.

Vell Paari berkata sebelum ini Ramasamy sangat lantang bersuara mengenai kes-kes rasuah melibatkan pimpinan BN, tetapi tidak begitu lantang apabila kes itu membabitkan atasannya.
“Jika benar DAP mengamalkan kesamarataan kaum dalam parti dimana semua diberi peluang yang sama, DAP wajar melantik P. Ramasamy memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Ini juga akan membuktikan bahawa DAP menghargai sumbangan kaum India di Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya,” kata Vell Paari.

Menjawab kenyataan itu, Ramasamy berkata dia menyatakan sokongan kepada Guan Eng sejurus pendakwaaan.
Ramasamy menasihatkan Vell Paari supaya semak laporan media terlebih dahulu sebelum membuka mulut.

“Saya tak fikir dia baca kenyataan-kenyataan saya. Saya pertahan Guan Eng secara terbuka kerana pendakwaan terhadapnya bersifat politik dan tidak berasas.

“Vell Paari perlu semak komen-komen saya sebelum mengatakan saya tak lantang.
“Tiada peruntukan dalam undang-undang menuntut Guan Eng mengambil cuti. Kami percaya beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Saya percaya Guan Eng akan dibebaskan,” katanya.

Ramasamy menambah MIC turut terpalit skandal rasuah tetapi tidak pula ahli-ahli parti itu menuntut bapa Vell Paari, S Samy Vellu berundur.
“Saya ingin bertanyakan kepada Vell Paari, bapanya dan bekas Presiden MIC S Samy Vellu dituduh merampas saham Maika Holdings, laporan dibuat terhadapnya.

“Mengapa bapanya tidak bercuti?
“Saya ingin nasihatkan Vell Paari supaya betulkan rumah sendiri sebelum mengata orang lain,” kata Ramasamy.

Beliau menambah MIC dibelit krisis kepimpinan akibat daripada terputusnya hubungan antara parti itu dengan masyarakat India.
“Bukan itu sahaja, antara lain terdapat juga dakwaan dana kerajaan diseleweng MIC, yang sepatutnya digunakan untuk mengangkat nasib orang India,” katanya.

“Terima kasih atas nasihat kamu Vell Paari, tapi kita tak perlukannya. Mungkin kamu perlu nasihatkan parti sendiri?”
Berkenaan cadangan dirinya memangku jawatan Ketua Menteri sekiranya Guan Eng bercuti, Ramasamy berkata: “Guan Eng tidak akan bercuti atau meletak jawatan, jadi perkara itu tidak berbangkit.