Showing posts with label SPR. Show all posts
Showing posts with label SPR. Show all posts

Wednesday, 9 May 2018

Kertas undi tak dicop berita palsu, kata pengerusi SPR

PUTRAJAYA: Hasil semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati isu kertas undi tidak dicop yang berlaku di sebuah pusat mengundi tidak benar, sebagaimana yang tular di media sosial, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Menurut beliau, sekiranya ada berlaku kesilapan ia adalah kes terpencil dan pengundi tidak perlu bimbang jika kertas undi berkenaan dikeluarkan secara sah.

“Jika Ketua Tempat Mengundi (KTM) berpuas hati bahawa kertas undi dikeluarkan secara sah dan ia hanya kesilapan petugas dalam salurannya, maka KTM berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi apabila ia dikeluarkan secara sah,” katanya di Menara SPR, hari ini.

Beliau menasihatkan pengundi tidak terpedaya dengan mesej tular kononnya SPR melakukan penipuan kerana proses itu disaksikan semua pihak berkepentingan termasuk ejen calon.



Hashim percaya mesej tular berkenaan hanya bertujuan untuk menimbulkan situasi panik dan curiga di kalangan pengundi terhadap SPR.

Pengerusi SPR itu turut meminta orang ramai membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang aduan mengenai kertas undi, bagi membolehkan SPR menjalankan siasatan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan pengundi terdapat titik hitam pada kertas undi.

“Apa yang penting bagi SPR ialah mengenal pasti pengundi nak pangkah siapa. Bagaimanapun, SPR akan menyiasat isu itu berlaku di sekolah dan pusat pengundian mana,” katanya.

Mengulas rakaman video seorang remaja ditangkap kerana mengedar kertas undi palsu di luar sebuah pusat mengundi di Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau berkata jika perkara itu benar, laporan polis boleh dibuat.

Berbaki beberapa jam lagi tempoh pengundian ditutup, Hashim menjangkakan serangan mesej tular palsu dan tidak bertanggungjawab akan terus disebarkan.

“SPR berharap orang ramai khususnya pengundi tidak terpengaruh dan terpedaya dengan mesej yang cuba menimbulkan suasana panik,” katanya.

Sebanyak 8,253 pusat mengundi dibuka serentak di seluruh negara bermula 8 pagi hingga 5 petang, dengan 28,115 tempat mengundi atau saluran termasuk di bangunan sekolah, dewan serbaguna dan balai raya.

Seramai 14,449,200 orang daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 berkelayakan sebagai pengundi biasa mengundi hari ini, manakala selebihnya ialah pengundi pos dan pengundi awal.

Tuesday, 23 January 2018

Permohonan pengundi pos di luar negara dibuka

Warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang tetapi berada di luar negara, boleh memohon untuk mengundi melalui pos

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata untuk memohon kemudahan mengundi melalui pos, warganegara Malaysia yang berada di luar negara hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Syarat-syarat berkenaan adalah mereka mestilah seorang pemilih berdaftar (kategori: Pengundi Biasa atau bukan Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara), pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa serta menetap di luar negara.

“Mereka yang layak serta menepati syarat-syarat boleh memohon kemudahan mengundi melalui pos menggunakan Borang 1B,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak layak diberi kemudahan mengundi melalui pos dan mereka perlu pulang mengundi pada hari pengundian dijalankan.

Mohd Hashim berkata SPR telah memuat naik Borang 1B – Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) di laman sesawang SPR di www.spr.gov.my.

“Garis panduan untuk mengisi borang berkenaan juga boleh dimuat turun dari laman sesawang SPR,” katanya.

Beliau berkata permohonan melalui borang 1B yang diisi dengan lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui kaedah-kaedah yang berikut:


i.melalui emel kepada upup@spr.gov.my; atau

ii. melalui faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369; atau

iii. melalui pos ke alamat; Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Menara SPR, No.2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62100 Putrajaya (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara)

Mohd Hashim berkata permohonan mengundi melalui pos dari luar negara akan ditutup pada hari pembubaran Parlimen.

Beliau berkata permohonan yang diterima selepas jam 12 malam pada hari pembubaran Parlimen tidak akan diproses.

“Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan itu sama ada diluluskan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai PTH di luar negara adalah pengundi pos dan oleh itu tidak perlu memohon,” katanya.

SPR turut menasihatkan semua warganegara Malaysia yang telah berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR.

Mohd Hashim berkata permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara hendaklak dimuat naik bersama salinan passport sebagai pengesahan pengenalan diri oleh pemohon.

“Pengemaskinian alamat terkini di luar negara adalah bagi tujuan penghantaran kertas undi pos untuk PRU Ke-14 yang akan datang,”katanya.

Bagi maksud PRU14 akan datang, beliau berkata penghantaran kertas undi pos akan diuruskan sepenuhnya oleh Pos Malaysia Bhd dan tidak lagi melalui Kementerian Luar (Wisma Putra).

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my.


Wednesday, 19 July 2017

Lebih 200,000 daftar pemilih suku ke-2 tahun ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 214,118 permohonan sebagai pemilih dalam pendaftaran pemilihan suku ke-2 (April, Mei dan Jun) tahun ini (2017).
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata permohonan pendaftaran sebagai pemilih itu terdiri daripada 157,373 pemilih baharu dan 56,745 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR.

Beliau berkata Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 2/2017 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 19 Julai hingga 1 Ogos di 960 tempat pameran di seluruh negara selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
“Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada April, Mei dan Jun 2017 dinasihatkan menyemak Rang DPT Suku Tahun 2/2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata SPR juga akan mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih semasa tempoh pameran rang daftar pemilih tambahan itu.

“Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab-sebab tertentu antaranya ialah meninggal dunia, melepas atau lucut hak warganegara,” katanya.

Bagi permohonan pendaftaran baharu, katanya, jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai di dalam Rang DPT tersebut, mereka boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan menyerahkannya kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan pendaftaran berkenaan pada waktu pejabat pada hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT itu.
Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT Suku Tahun 2/2017, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C, katanya.

“Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya.
Beliau berkata bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada hari bekerja dalam tempoh pameran rang daftar pemilih tambahan itu.

Wednesday, 31 May 2017

Propaganda murahan salahkan SPR


SEKELOMPOK kecil pemuda dan wanita Pakatan Harapan dari PAN dan DAP pada 23 Mei lalu mengadakan demonstrasi bantahan di depan ibu pejabat SPR di Putrajaya.


Mereka melaung-laungkan ungkapan provokasi menggesa Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah turun dan menerima memorandum bantahan itu.

Difahamkan, mereka tidak mahu wakil lain menerimanya selain Pengerusi SPR sendiri. Ini tindakan biadab. Mana pernah dibuat orang. Mana-mana pihak biasanya akan menghantar wakil sahaja menerimanya. Tidak cukup dengan itu, mereka merantai dan mengunci pagar pejabat SPR - kononnya sebagai simbolik kepada bantahan mereka.


Ini sangat tidak bertamadun dan lebih pada emosional. Rantai serta kunci itu dipotong oleh pihak polis pada sebelah petangnya - cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Semalam, Pemuda Pakatan Harapan mengancam akan membuat laporan polis terhadap SPR secara besar-besaran di seluruh negara kononnya SPR melanggar hak asasi manusia dan mensabotaj mereka.

Tidak cukup dengan itu akan melaporkan pula kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Cuba pula mengheret Suhakam untuk bermain politik kotor mereka.

Mungkinkah Suhakam akan terpedaya dengan strategi licik ini? Malah mereka mengugut juga untuk melaporkan hal itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terdesak sangatkah pakatan pembangkang untuk mencapai matlamat menang mudah. Iaitu sanggup memanipulasi dan mengeksploitasi keadaan untuk menutup segala kelemahan mereka.

Bagaimana mereka nak menang jika setiap hari asyik bertelagah berebut jawatan Perdana Menteri. Rakyat tahu menilai siapa yang terbaik untuk memerintah negara ini.

Biarlah rakyat tentukan pilihan mereka secara bebas tanpa propaganda murahan yang berunsur fitnah dan tohmahan.

SPR bukanlah parti politik untuk dijadikan musuh dan lawan. SPR hanya badan yang mengurus proses pilihan raya dengan adil dan saksama.

Apa lagi yang pembangkang mahu? Adakah jika mereka dapat memerintah baru nak dikatakan SPR adil dan telus?-Spekulasi hangat kerana cuma kurang 40 kerusi lagi untuk pembangkang memerintah dengan majoriti mudah.


UTUSAN

Sunday, 30 April 2017

SPR henti edar salinan rang daftar pemilih


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan telah mengeluarkan arahan kepada pengarah-pengarah pilihan raya negeri untuk pemberhentian pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik semasa Pameran RDPT dijalankan.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ia adalah bagi pemakluman awal kepada pengarah-pengarah pilihan raya negeri sebagai persediaan sebelum surat pemakluman rasmi mengenainya kepada semua parti politik dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Tindakan tersebut bukan hanya terpakai kepada parti politik tetapi juga kepada semua pihak lain yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, berdasarkan kepada Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, urusan pameran RDPT dijalankan di tempat-tempat yang diwartakan sebagai tempat pameran RDPT selama 14 hari dengan mempamerkan senarai nama pemohon yang memohon mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih yang memohon tukar alamat bahagian pilihan raya.
“Dalam tempoh pameran ini, RDPT adalah terbuka untuk semakan oleh orang awam termasuklah parti-parti politik bagi mengemukakan tuntutan atau bantahan ke atas senarai nama yang dipamerkan dalam RDPT tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan sebelum ini adalah menjadi amalan SPR mengedarkan RDPT kepada parti-parti politik bagi tujuan pemakluman bahawa urusan semakan sedang dijalankan.
“Bagaimanapun, Mesyuarat SPR Kali Ke-773 pada 28 Mac lalu telah memutuskan agar RDPT (buku dan cakera padat) tidak lagi diedarkan kepada parti-parti politik mulai Pameran RDPT Suku Tahun Pertama Tahun 2017,” katanya.

Abdul Ghani berkata, keputusan itu dibuat memandangkan pameran RDPT memadai bagi membolehkan pihak berkepentingan memeriksa nama-nama pemohon yang terbabit.
Katanya, buat masa ini pihak berkepentingan masih lagi mempunyai akses sepenuhnya kepada RDPT yang dipamerkan bagi tujuan semakan, tuntutan dan bantahan.

Menurutnya, pemberhentian amalan itu tidak pada bila-bila masa mengehadkan akses pihak-pihak berkepentingan kepada RDPT yang dipamerkan dan dalam masa yang sama, tiada keperluan perundangan untuk SPR berbuat demikian.

“SPR akan menghantar surat pemakluman secara rasmi kepada semua parti-parti politik mengenai perkara itu dalam masa terdekat berhubung pemberhentian amalan membekalkan RDPT (buku dan cakera padat) oleh SPR berkuat kuasa mulai pameran RDPT Suku Pertama 2017,” katanya.
Oleh yang demikian, katanya, mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat semakan semasa tempoh pameran RDPT bagi tujuan membuat tuntutan atau bantahan, hendaklah membuat semakan tersebut di tempat-tempat pameran RDPT sebagaimana yang diwartakan.