Showing posts with label SPRM. Show all posts
Showing posts with label SPRM. Show all posts

Tuesday, 5 September 2017

SPRM Ambil Tindakan Undang-Undang Keatas Ketua Menteri Pulau Pinang

sprm.jpg

Pengurusan Tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara sebulat suara memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang enggan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai “penahanan haram oleh SPRM” walaupun telah diberi satu tempoh masa untuk berbuat demikian.
Di dalam kenyataan media suruhanjaya berkenaan,SPRM akan mengemukakan keputusan yang telah dibuat kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
Ingin juga ditegaskan, SPRM menghormati hak serta kebebasan mana-mana pihak untuk mengkritik tetapi tidak akan sama sekali bertolak ansur jika mereka didapati mengeluarkan kenyataan fitnah khususnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM dengan tujuan mencemarkan serta menjejaskan imej dan reputasi SPRM kata kenyataan media itu lagi. 
SPRM tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana siasatan dan akan menyiasat setiap kes tanpa mengambil kira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu.
Ogos lalu SPRM meminta Guan Eng membuat permohonan maaf itu secara terbuka tanpa syarat kepada SPRM dalam tempoh 48 jam daripada kenyataan itu dikeluarkan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.
SPRM berkata kenyataan Guan Eng yang menyifatkan penahanan Boon Poh sebagai “penahanan haram” adalah kenyataan berunsur fitnah yang bertujuan memburuk-burukkan nama baik serta mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.

Tuesday, 13 June 2017

Tempoh reman pegawai SPRM dilanjutkan

Tempoh reman ke atas seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang ditahan susulan kes pemerasan dilanjutkan dua hari lagi sehingga Rabu ini. Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit mengeluarkan perintah itu di lokap Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini, sebentar tadi.

 Kelmarin, suspek berusia 38 tahun yang berpangkat Penolong Penguasa SPRM itu direman tiga hari bagi membantu siasatan kes memeras ugut pegawai polis untuk mendapatkan habuan wang tunai bulanan daripada mangsa. Dia ditahan sepasukan polis daripada Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) sejurus disyaki menerima wang RM3,000 hasil pemerasan daripada mangsa di sebuah restoran di Taman Machang Bubok Bukit Mertajam, di sini, kira-kira jam 10.20 malam,

Jumaat lalu. Difahamkan, hasil siasatan ke atas telefon bimbit suspek mendapati, dia turut memeras ugut tujuh lagi pegawai polis daripada Cawangan D7 dengan tujuan dan modus operandi sama. BH

Wednesday, 12 April 2017

Datuk Seri dan anak lelaki direman enam hari berkaitan kes skandal tanah


DUA beranak berusia 74 dan 47 tahun sebelum itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.50 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri. - UTUSAN ONLINE

PULAU PINANG 12 April - Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang merupakan penasihat sebuah syarikat pemaju hartanah di negeri ini dan anaknya bergelar Datuk direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

                        

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Mohamad Amin Shahul Hamid.

Dua beranak berusia 74 dan 47 tahun sebelum itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.50 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri.

Kedua-duanya ditahan semasa dipanggil memberi keterangan di ibu Pejabat SPRM negeri dan Putrajaya semalam bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa di anak syarikat Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad. - UTUSAN ONLINE

Wednesday, 4 January 2017

SPRM tahan KSU kementerian disyaki terlibat rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian di kediamannya di USJ, Subang Jaya, di sini hari ini kerana disyaki terlibat rasuah.
Menurut sumber SPRM, suspek bergelar ‘Datuk’ dan berumur 59 tahun itu ditahan kira-kira 8.00 pagi tadi dan dibawa ke Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Suspek ditahan kerana menggunakan kedudukannya untuk menyalahgunakan kuasa dan mengambil rasuah,” kata sumber itu kepada Bernama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata SPRM sedang membuat siasatan lanjut di kediaman suspek.
Azam enggan mengulas ketika ditanya identiti KSU berkenaan.



KENYATAAN MEDIA SPRM: DUA INDIVIDU TERMASUK KSU KEMENTERIAN DITAHAN TERLIBAT  RASUAH

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan dua individu termasuk seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah Kementerian bergelar Dato’ kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

KSU tersebut yang berusia 59 tahun dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

Turut ditahan ialah seorang individu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Subang Jaya kira-kira jam 8 pagi hari ini.

Setakat ini, SPRM telah merampas dan menyita wang tunai dan jongkong emas yang
dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

DATO’ AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
4 JANUARI 2017