Showing posts with label Teh Yee Cheu. Show all posts
Showing posts with label Teh Yee Cheu. Show all posts

Tuesday, 10 April 2018

Teh Yee Cheu, Bekas ADUN DAP bakal bertanding Sungai Pinang atas tiket PSM



GEORGE TOWN: Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu akan bertanding di DUN Sungai Pinang atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada pilihan raya umum ke-14. (PRU14).

Teh, yang keluar DAP semalam, berkata beliau bakal bertanding di kerusi itu atas nama PSM dan akan menyertai parti itu sebaik sahaja memenuhi syarat keahlian yang ketat.

Katanya, beliau memilih PSM bagi meneruskan agenda “Reformasi 2.0” di Pulau Pinang bagi memperbaiki isu yang belum selesai sejak pakatan pembangkang nasional mengambil alih negeri itu pada 2008.

Teh berkata “reformasi” yang belum selesai termasuklah isu pemisahan kuasa dan kekurangan semak imbang di Dewan Undangan Negeri.



Katanya, di Sungai Pinang, beliau berharap dapat menyelesaikan isu banjir, yang mana beliau salahkan penggondolan bukit yang berlaku di huluan sungai.



Teh berkata manifesto untuk rakyat Sungai Pinang akan menumpukan kepada “jiwa alam, harmoni dan suara rakyat”.

“Ini peluang saya dan PSM untuk belajar sesuatu, dan juga memupuk sosialisme di Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat PSM Jelutong di Jalan Trusan hari ini.

Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat PSM, Choo Chon Kai berkata Teh diberi peluang bertanding atas tiket parti itu selepas memenuhi 4 set kriteria untuk pencalonan.

Kriteria yang tersenarai itu adalah pengisytiharan harta, penolakan politik kaum dan agama, penerimaan manifesto PSM dan ikrar membuka sebuah pusat khidmat jika menang.

Choo berkata Teh dialu-alukan menjadi ahli parti selepas berkhidmat di kawasan pilihannya dengan tempoh minimum selama 2 tahun.

Katanya, buat masa ini, Pulau Pinang mempunyai “30 hingga 50” ahli PSM.

“Teh antara 3 orang bukan ahli PSM diberikan peluang bertanding atas tiket PSM pada pilihan raya akan datang. Kita biasanya membenarkan aktivis yang kami fikir bersungguh-sungguh dengan perjuangan mereka untuk menggunakan logo parti kami.

“Kami berpendapat Teh seorang calon yang cemerlang untuk membawa ideologi kuasa rakyat dan agenda keadilan. PSM berbangga dengan pendirian teguh Teh dalam hal melibatkan rakyat dan perlindungan alam sekitar,” kata Choo.

Choo berkata PSM akan bertanding kerusi di Pulau Pinang buat pertama kali dan berharap dengan “faktor Teh Yee Cheu” akan berjaya menyebarkan ideologi sosialis dalam kalangan rakyat Pulau Pinang.

“Teh dan PSM akan membawa nafas politik baru di DUN Pulau Pinang, berbeza dengan parti politik arus perdana,” katanya.

Mengikut daftar pemilih terbaharu, Sungai Pinang mempunyai 24,480 pengundi, meningkat sedikit berbanding 23,501 pengundi pada pilihan raya lepas. Majoriti pengundi di sana adalah Cina.

Penyandangnya ialah Lim Siew Khim dari DAP.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dikatakan bakal bertanding dan antara DUN yang dijangka adalah Sungai Pinang.

Monday, 30 October 2017

Teh Yee Cheu tidak lagi sealiran dengan pemimpin DAP, Bakal Keluar Parti ?

PULAU PINANG 29 Okt. - Kecewa dengan sikap degil Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung pembangunan di lereng bukit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu meluahkan hasrat meninggalkan parti tersebut.



Malah, Yee Cheu turut berte­rus-terang beliau tidak lagi sea­liran dengan kepemimpinan DAP yang disifatkannya tidak menunjukkan sebarang perubahan.


"Sudah sampai masanya untuk saya membuat keputusan ini (meninggalkan DAP). Sebelum ini saya pernah suarakan hasrat sama pada Jun lalu. Saya yakin parti juga mengetahui mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yee Cheu sebelum ini melahirkan rasa kecewa dan mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung tragedi tanah runtuh di tapak projek di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa pada 21 Oktober lalu.

Beliau selaku wa­kil rakyat kawasan itu sudah beberapa kali menyatakan bantahan terhadap projek di tepi lereng bukit itu, namun tidak diendahkan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang tetap memberi keistimewaan kepada pemaju.

Yee Cheu sebelum ini juga dikenali sebagai ADUN DAP berhaluan kiri kerana sering mengkritik kepemimpinan Kerajaan DAP Pulau Pinang termasuk beberapa kali mengusulkan di sidang DUN supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya kepada dua penggal.

Dalam pada itu, ditanya hala tujunya selepas meninggalkan DAP kelak, Yee Cheu turut berte­rus-terang bahawa beliau tidak bercita-cita untuk menyertai mana-mana parti politik pembangkang dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Malah, beliau mengakui belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik lain atau terus bertan­ding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Masih terlalu awal untuk saya membuat keputu­san mengenai per­kara itu (sertai parti politik lain dan bertanding PRU-14). Lagipun saya masih perlu menghadiri sidang DUN bulan depan,” katanya.

Yee Cheu, 55, yang juga dikenali sebagai aktivis alam sekitar mula menyertai politik selepas menjalankan kerja-kerja bersama jentera parti DAP pada 1999.

Beliau mula bertanding sebagai wakil rakyat DAP pada 2004 di kerusi DUN Air Putih, namun tewas kepada calon MCA.

Bagaimanapun, pada 2008 iaitu ketika berlakunya tsunami politik dalam kalangan pengundi Cina, Yee Cheu memperoleh kemenangan besar ketika bertan­ding di kerusi DUN Tanjung Bu­ngah dan mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2013. UTUSAN