Showing posts with label Terkini. Show all posts
Showing posts with label Terkini. Show all posts

Friday, 3 August 2018

Mahadzir Lokman Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Personaliti terkemuka tanah air, Mahadzir Lokman meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah awal pagi tadi.

Menurut adik beliau, Ida Lokman, keluarganya sangat terkejut menerima berita itu.

"Saya kini sedang bergegas ke Kota Kinabalu untuk menguruskan jenazah," katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE


Sunday, 24 June 2018

Kenapa Siti Kassim Ditahan?

Polis Jawab Penahanan Siti Kassim

Polis menahan peguam Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim malam tadi kerana dipercayai menghalang tugas penjawat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata peguam itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 12.40 malam susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 24 tahun dilarikan oleh Siti Kassim pada Khamis lepas.

Siti Kassim dikatakan melarikan anaknya ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang.

"Laporan polis juga telah dibuat oleh anggota polis yang mengiring wanita (yang berusia 24 tahun) tersebut berhubung kekecohan yang berlaku di wad pemeriksaan ketika Siti Kassim menyerbu masuk walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

SAC Fadzil berkata susulan itu, pasukan polis telah menyelamatkan mangsa dari sebuah rumah di kawasan kondominium di Segambut kira-kira 9 malam tadi.

Beliau berkata pihaknya terpaksa memecah masuk rumah berkenaan kerana mangsa enggan memberikan kerjasama dan menguncikan diri di dalam rumah bagi memastikan dia tidak mencederakan dirinya dan orang lain.

Katanya mangsa telah dihantar semula ke Hospital Kajang untuk menjalani prosedur pemeriksaan yang tertangguh sebelum ini selain membolehkan pegawai penyiasat mendapatkan keputusan doktor.

Katanya kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Kejadian itu turut tular dalam media sosial malam tadi yang merakam kekecohan insiden berkenaan.-- BERNAMA

Saturday, 9 June 2018

Chef Selebriti Terkenal Dunia Anthony Bourdain Bunuh Diri



Chef selebriti terkenal dunia dari Amerika Syarikat, Anthony Bourdain mati dipercayai bunuh diri di dalam sebuah bilik hotel di, Strasbourg, Perancis.

Kematian Bourdain disahkan sendiri oleh rakan baiknya.

Kejadian berlaku ketika Bourdain dalam rangka pengembaraannya ke Perancis bagi menjalani penggambaran salah satu episod siri jelajah terbabit.

Bagaimanapun, polis sehingga kini belum mendedahkan punca dan motif sebenar kes bunuh diri chef selebriti berusia 61 tahun itu.

Friday, 8 June 2018

HSS Engineers terima notis tamat kontrak MRT3

KUALA LUMPUR: Syarikat sekutu HSS Engineers Bhd, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI), hari ini menerima notis bertulis 30 hari daripada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, menamatkan kontrak Transit Aliran Massa Lembah Klang Laluan 3 Laluan Lingkaran.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HSS Engineers berkata, ini berikutan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan projek berkenaan.



“Keputusan ini dijangka tidak memberikan sebarang kesan ketara kepada operasi dan kewangan syarikat dan kumpulannya, memandangkan hanya kerja-kerja awal yang sudah dimulakan setakat ini, dan akan diberi pampasan mengikut terma dan syarat kontrak berkenaan,” tambah syarikat itu.

Ringgit bulan Mei susut 1.4%

KUALA LUMPUR 7 Jun - Ringgit menyusut 1.4 pe­ratus kepada RM3.9798 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang Mei dipengaruhi faktor luaran dan dalaman terutama kejutan da­­lam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Ambank, Dr. Anthony Dass berkata, mata wang tempatan itu sememangnya sebelum ini terdedah kepada turun naik disebabkan beberapa faktor dan keadaan itu diburukkan dengan perubahan dasar secara drastik di peringkat domestik.


Katanya, dalam masa sama, pengukuhan dolar AS turut memberi kesan kepada kelemahan ringgit pada tempoh tersebut.

“Ketidaktentuan dalam pasaran domestik menyaksikan alir­an keluar asing berjumlah RM5.6 bilion dalam pasaran saham tempatan manakala sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) bagi tiga, lima, tujuh dan 10 tahun meningkat 7.7 mata asas (bps) kepada 3.722 peratus, 3.1 bps kepada 3.807 peratus, 6.5 bps kepada 4.019 peratus dan 6.3 bps kepada 4.187 peratus.

“Kami menjangkakan keti­daktentuan akan berterusan pada bulan ini dengan fokus kepada mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang akan menaikkan kadar faedah pada 25 bps dan cadangan sama ada berlaku tiga atau empat kenaikan kadar itu tahun ini. Selain itu, hasil pertemuan antara Korea Utara dan AS juga terus mempengaruhi kea­da­an tidak menentu ini,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut la­poran Bloomberg, peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan menambah ketidaktentuan da­lam ekonomi negara selepas menyaksikan perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu.

Namun, peniaga masih me­nunggu beberapa perubahan yang membawa kepada risiko global pada minggu depan termasuk semakan semula dasar monetari oleh bank pusat utama dan pertemuan AS dan Korea Utara. Ia juga termasuklah peng­umuman pelantikan gabenor yang baharu.

Pakar Strategi Pelaburan Cre­dit Suisse di Singapura, Julian Wee berkata, peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor BNM tidak mendatangkan kesan keta­ra kepada pasaran kewangan.

“Ia hanya sebahagian daripada langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan baharu. Jadi, tidak ada sebab untuk mengharapkan sebarang per­ubahan dalam jangka masa terdekat dengan mengambil kira kedudukan dasar secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli berkata, pasaran tidak memberi banyak reaksi negatif kepada perkara tersebut memandangkan bakal penggantinya adalah individu dari BNM yang mempunyai pengalaman luas.

“Ini dijangka memberi kesi­nambungan dari segi dasar-dasar dan tadbir urus. Selain itu, dasar-dasar BNM juga dijangka terus kekal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat pagi ini, ringgit tidak berubah berbanding dolar AS ketika para penggiat pasaran masih menunggu petunjuk daripada pihak berkuasa mengenai pengganti Muhammad.

Pada 9.27 pagi ini, ringgit berada pada RM3.9720 berbanding dolar AS, menyamai paras sewaktu ditutup semalam.

Ringgit ditutup pada paras RM3.9770 berbanding dolar AS bagi sesi dagangan hari ini.

Semalam, kerajaan telah menerima peletakan jawatan Muhammad berkuat kuasa 6 Jun 2018. Bagaimanapun, pengganti beliau masih belum dinamakan dengan bekas Timbalan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menerajui bank pusat itu. UTUSAN

Thursday, 7 June 2018

Dakwaan terhadap Agong, Kadir Jasin disiasat polis

Aduan polis terhadap Datuk A. Kadir Jasin dibuat orang ramai dan NGO. — Foto Bernama
Aduan polis terhadap Datuk A. Kadir Jasin dibuat orang ramai dan NGO. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 7 Jun — Polis membuka kertas siasatan terhadap Datuk A. Kadir Jasin berikutan aduan berkaitan isu perbelanjaan Yang dipertuan Agong.
Ketua polis negara berkata Kadir disiasat bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Aduan dilapor orang ramai dan NGO,” kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Baru-baru ini, Kadir melalui blognya mendakwa kerajaan memperuntuk RM256.9 juta antara Januari hingga April tahun ini kepada baginda.

PKR arah ahli parlimen, wakil negeri taat kepada Mahathir


PKR menggesa semua wakil rakyatnya memberi taat setia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. ― Foto oleh Ahmad Zamzahuri
PKR menggesa semua wakil rakyatnya memberi taat setia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. ― Foto oleh Ahmad Zamzahuri
KUALA LUMPUR, 7 Jun ― Semua pemimpin PKR perlu taat setia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amanat itu dimaklumkan oleh setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail selepas pertemuan Anwar dengan wakil rakyat PKR, lapor Sinar Harian.
“Semua pemimpin PKR sama ada peringkat negeri dan persekutuan digesa agar memberi sokongan teguh kepada Mahathir kerana tanggungjawab yang digalasnya sebagai perdana menteri sangat berat,” katanya kepada media.
Anwar selaku ketua umum PKR dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah sebagai presiden PKR memberi sokongan penuh kepada Mahathir, katanya lagi.
Saifuddin juga berkata wakil-wakil rakyat PKR peringkat negeri juga perlu mengambil pendirian sama bagi membolehkan pentadbiran Mahathir lancar.
“Perkara ini penting bagi membolehkan Mahathir menjalankan tanggungjawab dengan lebih tenang dan efektif,” katanya.

“Kita tidak mahu timbul sebarang perkara yang boleh menganggu perjalanan kerajaan.”

Dua projek saluran gas ikut prosedur, kata Najib


Najib mengingatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik negara asing. ― Foto oleh Reuters
Najib mengingatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik negara asing. ― Foto oleh Reuters
KUALA LUMPUR, 6 Jun ― Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap dua projek iaitu projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).
Najib yakin semua prosedur dan proses perundangan telah dipatuhi berkaitan dengan rundingan dan pelaksanaan dua projek saluran paip yang dibangkitkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam. 
“Saya turut dapati Guan Eng telah menyebut kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak-pihak lain.
“CPPB ialah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China - China National Petroleum Corporation,” katanya dalam catatan Facebook dan Twitternya, malam tadi.
Beliau menjelaskan kedua-dua projek saluran gas yang lebih ekonomik dan jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia itu telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan dengan kerajaan China.
Najib berkata beliau dan Perdana Menteri China Li Keqiang telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi projek saluran gas itu bersama beberapa projek lain ketika membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei, tahun lepas. 
Beliau juga berkongsi bahawa pada majlis yang sama, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai US$2 trilion bagi tempoh lima tahun dari Malaysia, membuat pelaburan sehingga US$150 bilion di Malaysia dan menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China. 
“Tidak lupa pula komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita,” katanya.
Najib mengingatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia.
Lim semalam dilaporkan meminta bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Najib untuk menjelaskan mengenai perjanjian yang berat sebelah dan meragukan bernilai RM9.4 bilion ditandatangani oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

SSER adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 19 Mei, 2016, dengan tujuan khusus untuk melaksanakan projek MPP dan TSGP. ― Bernama