Showing posts with label UMNO Pulau pinang. Show all posts
Showing posts with label UMNO Pulau pinang. Show all posts

Wednesday, 12 October 2016

Umno Pulau Pinang bantah cadangan bina kasino

Umno Pulau Pinang berkata tidak akan merestui cadangan parti politik baharu untuk membina kasino dengan tujuan menjadikan negeri itu seperti resort perjudian di Macao.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata mustahil untuk Umno menyokong sesuatu yang memang ditentang parti itu.

Zainal berkata penasihat parti baharu Parti Barisan Pulau Pinang (PFP) yang juga pemimpin Umno bertindak memegang jawatan itu atas kapasiti peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Umno.
“Umno Pulau Pinang kecewa apabila pemimpin berkenaan membiarkan dirinya dipergunakan parti baharu itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainal berkata meskipun PFP mendakwa ia mesra BN, tetapi niatnya untuk bertanding di semua kerusi kawasan majoriti Cina milik BN, tidak bagus.

“Ini mungkin menjejaskan kerjasama dan persefahaman antara parti komponen dalam BN yang sudah lama ditubuhkan dan disemai di Pulau Pinang,” katanya.

PFP, parti politik untuk kaum Cina di Pulau Pinang dilancarkan pada Isnin lalu dengan sasaran untuk bertanding di sekurang-kurangnya 30 kerusi.

Parti itu berkata, ia akan meminta lesen kasino daripada kerajaan persekutuan sebagai usaha merancakkan ekonomi negeri dan menjana RM6 bilion dalam jangka panjang.

Penasihat PFP ialah Ahli Parlimen Padang Besar daripada Umno, Zahidi Zainul Abidin.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata cadangan membuka kasino itu “dangkal”.

Timbalan menteri luar itu berkata selagi beliau masih ahli Parlimen Kepala Batas dan ketua Umno bahagian di situ, beliau tidak akan membenarkan kasino dibina di Pulau Pinang.
“Berjudi bukan sebahagian budaya rakyat Malaysia, terutama orang Pulau Pinang.

“Saya yakin masyarakat bukan Islam juga akan menolak cadangan itu kerana ia seperti racun yang boleh menghancurkan hubungan keluarga dan masyarakat.

“Maka cadangan PFP untuk membina kasino, ia idea yang dangkal kerana tidak mengambil kira sensitiviti rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.