Showing posts with label banjir pulau pinang. Show all posts
Showing posts with label banjir pulau pinang. Show all posts

Thursday, 9 November 2017

#BanjirPulauPinang Peringatan Najib Tepat pada masa - Datuk Huan Cheng Guan



PULAU PINANG 8 Nov. – Pelbagai pihak hari ini menyifatkan peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Kerajaan DAP Pulau Pinang meneliti projek lereng bukit bagi mengelak sebarang bencana sebagai tepat pada masanya.

Malah, mereka turut menyifatkan peringatan itu kelegaaan besar buat penduduk negeri ini khususnya yang tinggal berdekatan kawasan bukit yang semakin bimbang dengan keselamatan mereka ekoran diancam risiko tanah runtuh serta banjir kilat.


Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, bencana lebih besar ekoran penerokaan bukit tanpa kawalan bukan sesuatu yang mustahil boleh berlaku di negeri ini pada masa hadapan.

Ini kerana, katanya, perkara itu disaksikan sendiri beliau ketika membuat tinjauan di beberapa lokasi penerokaan bukit bagi tujuan pembangunan di negeri ini minggu lalu yang disifatkan sebagai sangat serius.

Malah, beliau melahirkan rasa hairan bagaimana sebahagian projek di kawasan lereng bukit yang dilihat sangat berisiko untuk runtuh diberi kelulusan pembangunan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Saya sangat terkejut kerana ketika meninjau beberapa kawasan bukit yang diteroka di ne­geri ini baru-baru ini, kesan kemusnahan yang dapat dilihat sangat besar dan teruk.

“Saya juga tertanya-tanya adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak melihat kesan kemusnahan bukit ini atau mereka tidak kisah kerana lebih memen­tingkan pemaju?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Guan turut mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang memberi perhatian kepada suara kebimbangan rakyat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang tidak henti-henti membangkitkan mengenai ancaman pembangunan di lereng bukit.

Menurut beliau, apa yang dibangkitkan penduduk dan NGO itu adalah suara kepayahan dan keperitan mereka terutama selepas berpuluh-puluh kali diancam banjir kilat yang merosakkan harta-benda sehingga menyukarkan hidup mereka.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak lagi boleh terus hidup dalam penafian dan perlu me­ngakui pencerobohan bukit bagi memberi lalu kepada projek pembangunan turut menyebabkan kejadian banjir di pulau khusus­nya semakin buruk,” katanya.UTUSAN

#BanjirPulauPinang Kawasan bukan banjir tidak lagi selamat – Prof. Fredolin


KUALA LUMPUR 8 Nov. – Penduduk di kawasan yang tidak pernah mengalami banjir tidak boleh menganggap penempat­an mereka selamat daripada musibah itu, sebaliknya mereka juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan faktor iklim yang tidak menentu.

Pakar Klimatologi dan Ose­anografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Fredolin Tangang berkata, bencana alam seperti banjir adalah bersifat tidak boleh dikawal walaupun ramalan kaji cuaca sudah dikeluarkan sebagai langkah pencegahan.


“Merujuk kepada banjir yang melanda utara negara terutama di Pulau Pinang, sekarang kita sedang berada dalam tempoh awal monsun timur laut. Tekanan udara rendah yang terbentuk di Laut China Selatan, bergerak ke Teluk Siam sete­rusnya ke utara Semenanjung.

“Kejadian cuaca alam bersifat ekstrem ini dilihat semakin kerap berlaku kerana suhu glo­bal semakin meningkat. Kajian menunjukkan setiap satu darjah peningkatan suhu itu akan me­­ningkatkan tujuh peratus kelembapan udara. Kawasan yang menjadi lokasi terkumpulnya kelembapan ini akan dilanda hujan lebat yang akhirnya membawa kepada bencana banjir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Fredolin lagi, penduduk di kawasan berpotensi dan tidak berpotensi perlu peka dengan amaran awal yang dike­luarkan Jabatan Meteorologi dari semasa ke semasa.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai seandainya hujan turun dengan lebatnya dalam tempoh yang panjang, walaupun di kawasan itu bukan kawasan potensi banjir, mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Faktor alam memang tidak boleh dikawal tetapi boleh diminimumkan kesannya melalui langkah-langkah pencegahan awal,” katanya.

UTUSAN

Sunday, 5 November 2017

#BanjirPulauPinang Peperiksaan SPM diteruskan

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diteruskan seperti jadual untuk calon di Pulau Pinang walaupun negeri itu berdepan bencana banjir kilat, kata timbalan menteri pendidikan.
Datuk P Kalamanathan berkata, perkhidmatan kecemasan sudah diarahkan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan dan Jabatan Pendidikan negeri juga dalam keadaan berjaga-jaga.
Seramai 443,883 calon SPM 2017 akan menduduki peperiksaan itu mulai esok hingga 4 Disember nanti.
Ia akan dimulakan dengan kertas 1 Bahasa Malaysia dijadualkan 8 pagi, disusuli kertas 1 Teori Seni Visual pada 11 pagi dan kertas 2 Bahasa Malaysia pada 2 petang.
“Kami masih menilai keadaan ini, tetapi kami berharap dapat menjalankan peperiksaan mengikut masa dan jadual.
“Semua guru dan pengawas sudah diberitahu untuk bersiap sedia membantu semua calon yang menduduki peperiksaan itu. Keutamaan kami ialah keselamatan pelajar.

“Saya juga mahu ibu bapa dan guru mematuhi arahan rasmi pihak berkuasa,” kata Kamalanathan ketika dihubungi hari ini.
Beliau meminta calon memantau Facebooknya dari semasa ke semasa untuk perkembangan terkini mengenai SPM.
Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di 5 daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak 2 petang semalam.
Hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan sehingga 5 pagi tadi juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh.
Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.

#BanjirPulauPinang 2 warga emas maut

Dua maut dalam banjir kilat akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda Pulau Pinang sejak 2 petang semalam, kata polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar dipetik Bernama berkata, 2 kematian itu melibatkan seorang lelaki berusia 75 tahun yang ditemui lemas di dalam rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Perak dan seorang wanita dari Pusat Penjagaan Orang Tua Jalan P Ramlee.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan 104 pesakit dan 4 bayi baru lahir di Hospital Pulau Pinang (HPP) juga terpaksa dipindahkan ke wad lebih selamat.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sukumar Mahesan berkata, banjir kilat melanda sebahagian kawasan HPP membabitkan wad pesakit, wad rawatan rapi neonatal dan unit pengangkutan yang terletak di tingkat bawah.

“Arahan pengungsian dikeluarkan pengarah hospital dan tindakan dilaksanakan sekitar 2.30 pagi hingga 5.30 pagi.
“Tiada kejadian tidak diingini berlaku dan semua pesakit mendapat rawatan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Malay Mail Online melaporkan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran merah di mana hujan lebat berterusan akan melanda bahagian timur laut Pulau Pinang dan Kedah.

Portal berita itu melaporkan gambar yang tersebar di media sosial turut menunjukkan sebuah feri dipukul ombak besar dan angin kencang sehingga merempuh pelabuhan di Butterworth dan sebuah terowong di Seberang Jaya ditenggelami air.

Menerusi gambar yang diambil pagi tadi, sebahagian daripada sebatang jalan ranap di belakang Kondominium Surin – sebuah kawasan kediaman baharu di Taman Chee Seng di Tanjung Bungah, utara bahagian pulau.

Bernama melaporkan kawasan yang dilanda banjir di tanah besar ialah Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan Dalam, Butterworth, Permatang Rawa, Permatang Pauh, Seberang Jaya, Bukit Teh, Alma, Bukit Tambun dan Simpang Ampat.
Di bahagian pulau melibatkan Bandaraya George Town, Tanjung Bungah, Jalan Masjid Negeri, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Kampung Dodol, Balik Pulau, Sungai Ara, Bayan Lepas, Bayan Baru, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.

Manakala jalan yang ditutup di tanah besar ialah Jalan Kulim, Jalan Bukit Tengah dan Jalan Permatang Pauh, di bahagian pulau membabitkan Jalan Tun Sardon, Balik Pulau disebabkan tanah runtuh, Jalan Titi Kerawang, Teluk Bahang kerana pokok tumbang serta beberapa jalan di sekitar George Town yang dinaiki air.

Agensi berita itu melaporkan cuaca di Pulau Pinang masih mendung dengan sesekali hujan renyai.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu akan mengerahkan semua jentera, termasuk petugas Unit Amal untuk membantu mangsa banjir.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada kerajaan Pulau Pinang yang berdepan bencana banjir kilat.
“Dalam situasi genting sebegini, semua pihak perlu mengetepikan sebarang sentimen dan memberi fokus bagi menyelamat dan membantu mangsa. Semoga semua pihak yang terlibat bersabar dan mengutamakan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini-FMT

#BanjirPulauPinang Lumpuh selepas hujan lebat lebih 15 jam

GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di 5 daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.
Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, seramai 1,968 mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka di 4 daerah.

Beliau berkata, seramai 1,125 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai Tengah, 615 mangsa di Seberang Perai Utara (SPU), 70 mangsa di daerah Timur Laut dan 158 mangsa di pusat pemindahan banjir di daerah Barat Daya.

“Angkatan Tentera Malaysia sudah menghantar anggota mereka di daerah Timur Laut. Di kawasan Seberang Perai, kita masih menunggu anggota tentera dari Kem Sungai Petani dan kita amat perlukannya. Ada ramai mangsa yang hendak kita selamatkan.


“Keadaan sekarang lebih baik sikit kerana hujan telah reda. Sungguhpun begitu, air banjir belum surut dan kita lihat angin masih kuat. Kita bimbang tentang kejadian yang tidak diingini kerana angin kuat dan kita bimbang hujan akan kembali lagi,” katanya hari ini.

Lim berkata, kejadian angin kencang yang melanda negeri ini awal pagi ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“Angin yang begitu kuat tak pernah kita lihat bersama hujan lebat (dan ia) benar-benar melebihi keperluan kita. Kita tidak ada sumber yang cukup untuk menangani keperluan mangsa banjir. Terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua pasukan penyelamat yang datang membantu. Saya harap semua dapat terus jaga keselamatan diri dan keluarga.”

Tinjauan Bernama di kawasan Seberang Jaya, dekat sini, mendapati kawasan berkenaan paling teruk terjejas dengan beberapa bahagian Hospital Seberang Jaya (HSJ) dinaiki air, namun keadaan masih terkawal dan tiada pesakit dipindahkan.
Seramai 21 mangsa banjir daripada 6 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya selepas kawasan rumah mereka dinaiki air dengan begitu pantas kira-kira 7 malam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Ramzi Ahmad berkata, hujan lebat dan angin kuat itu turut menyebabkan 4 penerbangan yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan terpaksa dilencongkan.
Katanya, 3 penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Subang, manakala satu penerbangan lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan semuanya mendarat dengan selamat.

“Berikutan cuaca buruk itu, lebih 26 penerbangan yang berlepas dari LTAPP turut mengalami kelewatan, namun operasi di lapangan terbang berjalan lancar. Pada masa ini, semua operasi penerbangan berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Rapid Penang menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata, banyak jalan utama dinaiki air dan demi keselamatan orang ramai, mereka tiada pilihan kecuali menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih.

Mereka turut meminta orang ramai merujuk laman Facebook Rapid Penang di rapidpgfans untuk maklumat terkini- FMT

Monday, 16 October 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang Didesak Selesai Masalah banjir

Sebanyak 24 jawatankuasa penduduk di sekitar negeri ini mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil langkah drastik segera bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Kesemua mereka yang terjejas dengan banjir buruk 15 September lalu melahirkan kebimbangan terpaksa berdepan bencana serupa pada masa depan berikutan tiadanya usaha serius daripada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu.

Wakil jawatankuasa itu, R. Meenakshi berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak sepatutnya sekadar memberi alasan bencana banjir kilat adalah disebabkan hujan lebat luar biasa.

Ini kerana ujar beliau, sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, fenomena itu sepatutnya dihadapi dengan langkah-langkah penyelesaian jangka pendek atau jangka panjang apatah lagi bencana tersebut juga kerap berlaku ketika ini.

“Apa yang diperhatikan penduduk adalah banjir kilat dan ta­nah runtuh itu berpunca daripada pembangunan di kawasan berisiko seperti di lereng-lereng bukit.

“Selain itu, banyak kawasan juga diteroka untuk dibangunkan projek komersial, sekali gus me­ningkatkan kapasiti aliran air hujan yang menyumbang kepada banjir kilat,” katanya di sini hari ini.

Bulan lalu, hampir keseluruhan kawasan di negeri ini khususnya di bahagian pulau ditenggelami banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam tempoh 10 tahun yang turut menyaksikan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang.

Menurut Meenakshi, penduduk kini bosan dengan pelba­gai alasan diberikan kerajaan ne­geri termasuk menyalahkan pi­hak-pihak lain sedangkan ma­salah banjir tersebut masih gagal ditangani.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya masalah banjir kilat tersebut dibawa dan dibincangkan dengan serius dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bermula bulan depan.

“Ekoran itu juga, kita akan mengadakan dialog dengan ke­semua wakil rakyat di negeri ini pada 29 Oktober ini dengan harapan mereka dapat mendengar dan memahami kepayahan sebenar penduduk setiap kali terpaksa berdepan bencana banjir kilat,” katanya.

Utusan

Wednesday, 29 March 2017

Hujan lebat, 50 rumah dinaiki air

Hujan lebat lebih sejam petang semalam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Butterworth dinaiki air dan sejumlah kenderaan terkandas sehingga berlaku kesesakan hampir satu kilometer di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) di sini.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, hujan lebat bermula 3 petang itu mengakibatkan berlaku limpahan air dari Sungai Pertama dan Sungai Perai sehingga berlaku banjir kilat di kawasan Taman Siakap.

“Sebanyak 50 rumah di sekitar kawasan itu dinaiki air antara 0.3 meter (m) dan 0.6m, tetapi tiada mangsa dipindahkan kerana air kembali surut kira-kira dua jam kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini.


Seorang mangsa, K. Saraswaty, 38, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan sedang menonton televisyen sebelum tiba-tiba hujan lebat dan setengah jam kemudian rumahnya dimasuki air.

Menurutnya, dia dan dua anak perempuannya terus mengalihkan barangan elektrik serta berharga ke tempat lebih tinggi kerana bimbang rosak akibat terkena banjir kilat itu.

“Kawasan rumah kami memang selalu dinaiki air terutama jika berlaku hujan lebat dan nasib baik hari ini hujan sejam sahaja, kalau lebih lama mungkin banjir lebih teruk,” katanya.

Tinjauan mendapati kenderaan yang terkandas dipercayai cuba meredah air sedalam 0.5m di laluan BKE menyebabkan terpaksa ditunda ke tepi jalan selepas tersangkut dalam kawasan banjir berkenaan.

Seorang pengguna, Mohd Ariff Abdullah mendakwa laluan itu sering dinaiki air setiap kali hujan lebat akibat sistem perparitan tidak sempurna.

“Kawasan yang sering dinaiki air adalah sebelum jejantas menuju ke Kawasan Perindustrian Seberang Jaya disebabkan laluan itu rendah dan air sering bertakung.

“Saya harap pihak berwajib memantau kejadian ini kerana ia kerap berlaku setiap kali hujan lebat dan menyebabkan kerugian kepada pengguna lebuh raya,” katanya.-Bernama