Showing posts with label dalam ngeri. Show all posts
Showing posts with label dalam ngeri. Show all posts

Tuesday, 9 January 2018

Pakatan Pembangkang Kini Hidup Dalam Kecelaruan _ Musa Aman


musa_aman_c2124863_17111_73_003.jpg

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata penolakan PKR Selangor terhadap keputusan Pakatan Harapan mencalonkan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri menunjukkan dengan jelas pembangkang berada dalam keadaan bercelaru.
Katanya tindakan mencalonkan Dr Mahathir untuk kembali menjadi perdana menteri bertentangan dengan slogan 'Reformasi' yang terus dilaung beberapa penyokong PKR pada konvensyen Pakatan minggu lalu.
"Jelas sekali, beberapa penyokong PKR masih berpegang teguh dengan 'Reformasi', yang diperjuangkan sebaik sahaja Tun Mahathir menyingkirkan dan menyumbat ketuanya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke dalam penjara hampir 20 tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan malam tadi. 
Musa berkata langkah mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya mencerminkan sikap Pakatan yang tidak berpandangan jauh.
"Apa sudah jadi dengan cakap berdegar-degar tentang perubahan? Singkir yang lama, ambil yang baharu.
"Nampaknya, Pakatan menggunakan peta yang sama untuk melakar laluannya ke Putrajaya," kata beliau.

Sunday, 5 November 2017

#BanjirPulauPinang Lumpuh selepas hujan lebat lebih 15 jam

GEORGE TOWN: Pulau Pinang hari ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di 5 daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak semalam.
Hujan lebat dan angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini juga menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan dilanda tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1m berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, seramai 1,968 mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka di 4 daerah.

Beliau berkata, seramai 1,125 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai Tengah, 615 mangsa di Seberang Perai Utara (SPU), 70 mangsa di daerah Timur Laut dan 158 mangsa di pusat pemindahan banjir di daerah Barat Daya.

“Angkatan Tentera Malaysia sudah menghantar anggota mereka di daerah Timur Laut. Di kawasan Seberang Perai, kita masih menunggu anggota tentera dari Kem Sungai Petani dan kita amat perlukannya. Ada ramai mangsa yang hendak kita selamatkan.


“Keadaan sekarang lebih baik sikit kerana hujan telah reda. Sungguhpun begitu, air banjir belum surut dan kita lihat angin masih kuat. Kita bimbang tentang kejadian yang tidak diingini kerana angin kuat dan kita bimbang hujan akan kembali lagi,” katanya hari ini.

Lim berkata, kejadian angin kencang yang melanda negeri ini awal pagi ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“Angin yang begitu kuat tak pernah kita lihat bersama hujan lebat (dan ia) benar-benar melebihi keperluan kita. Kita tidak ada sumber yang cukup untuk menangani keperluan mangsa banjir. Terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua pasukan penyelamat yang datang membantu. Saya harap semua dapat terus jaga keselamatan diri dan keluarga.”

Tinjauan Bernama di kawasan Seberang Jaya, dekat sini, mendapati kawasan berkenaan paling teruk terjejas dengan beberapa bahagian Hospital Seberang Jaya (HSJ) dinaiki air, namun keadaan masih terkawal dan tiada pesakit dipindahkan.
Seramai 21 mangsa banjir daripada 6 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya selepas kawasan rumah mereka dinaiki air dengan begitu pantas kira-kira 7 malam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Ramzi Ahmad berkata, hujan lebat dan angin kuat itu turut menyebabkan 4 penerbangan yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan terpaksa dilencongkan.
Katanya, 3 penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Subang, manakala satu penerbangan lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan semuanya mendarat dengan selamat.

“Berikutan cuaca buruk itu, lebih 26 penerbangan yang berlepas dari LTAPP turut mengalami kelewatan, namun operasi di lapangan terbang berjalan lancar. Pada masa ini, semua operasi penerbangan berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Rapid Penang menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata, banyak jalan utama dinaiki air dan demi keselamatan orang ramai, mereka tiada pilihan kecuali menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih.

Mereka turut meminta orang ramai merujuk laman Facebook Rapid Penang di rapidpgfans untuk maklumat terkini- FMT

Tuesday, 13 December 2016

Isu Rasuah, Lim Kit Siang sepatutnya ambil peduli Nasihat anak sendiri

BUKIT BENDERA, 13 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim menyelar tindakan Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang kononnya mahu menjadi hero dalam kes rasuah apabila mengingatkan barisan kabinet yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai perdana menteri mengambil peduli amaran Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengenai gejala rasuah dan pecah amanah di negara ini.

Jelasnya, Kit Siang seperti terlupa yang anaknya Lim Guan Eng kini sedang berhadapan dengan kes rasuah dan sepatutnya dia menasihati anaknya itu agar meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Inilah yang dikatakan kuman di seberang laut boleh nampak, gajah depan mata buat-buat tak nampak… Kit Siang sepatutnya cermin diri sebelum menuding jari kepada pihak lain.

“Kit Siang patutnya sedar, Guan Eng sedang berhadapan dakwaan salah laku jenayah dalam pembelian banglo mewah di bawah harga pasaran malah turut dikaitkan dalam salah guna kuasa penjualan tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin”,

Ini belum lagi ujar beliau kes kerajaan negeri pimpinan Dap yang terus tutup mulut dalam isu RM305 juta yang ‘dibuang’ begitu sahaja hanya semata-mata untuk menyediakan kertas kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut yang dilakukan tanpa mengambil kira pandangan dan kajian yang mendalam.

“Jadi sebelum mahu menuduh orang lain, silalah semak keluarga sendiri yang penuh dengan rasuah dan putar belit,” katanya

Tambah Rafizal, Kit Siang sebenarnya tidak layak langsung untuk bersuara isu berkaitan rasuah kerana dalam Dap sendiri banyak dikaitkan dengan skandal rasuah dan salah laku guna kuasa.

“Jika hendak bercakap berkaitan rasuah dan salah laku guna kuasa, Dap perlu terlebih dahulu menjelaskan isu salah kira undi dalam pemilihan CEC mereka dan Kit Siang juga harus mendesak anaknya untuk meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.

“Selagi dia tidak berani melakukan perkara ini, jadi lebih baik dia diam,” tegas Rafizal lagi.