Showing posts with label e kad. Show all posts
Showing posts with label e kad. Show all posts

Wednesday, 21 June 2017

Tempoh permohonan E-Kad tidak akan dilanjutkan


PUTRAJAYA - Tempoh permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) yang membolehkan penggajian semula pekerja asing tanpa izin (Pati) yang berakhir pada 30 Jun ini tidak akan dilanjutkan, tegas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata pada 28, 29 dan 30 Jun, operasi pendaftaran E-Kad di pejabat Imigresen di seluruh negara akan dibuka sehingga 12 tengah malam bagi membolehkan para majikan merebut peluang mendaftarkan pekerja asing masing-masing.

"Saya amat kecewa berikutan hanya 21,789 majikan yang tampil mendaftarkan pekerja masing-masing. Program yang kita lancarkan sejak 15 Februari lalu adalah percuma tetapi masih lagi majikan tidak ambil kisah atau peduli dengan peluang disediakan ini.

"Mungkin mereka suka buat di saat akhir dan berlaku kesesakan di ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya dan Kuala Lumpur. Mungkin majikan ingat kita akan lanjutkan masa, ia (lanjutan) tidak akan berlaku sama sekali," katanya dalam sidang media berhubung status permohonan E-Kad di sini,hari ini.

Mustafar berkata mulai 1 Julai, operasi besar-besaran menggempur Pati yang gagal didaftarkan oleh majikan masing-masing akan diadakan di seluruh negara dan pekerja asing yang ditangkap akan diusir keluar Malaysia.

Program e-Kad yang dilancarkan di seluruh negara bertujuan membolehkan Pati mendapatkan permit kerja sah selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Menurut Mustafar, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan 118,491 E-Kad dan mendaftar 131, 269 Pati sejak 15 Februari sehingga 18 Jun, manakala selebihnya sedang diproses untuk mendapatkan kelulusan.

"Angka ini memang jauh dari kita jangkakan untuk majikan-majikan datang berdaftar. Jumlah kasar pendatang asing di negara ini adalah sejuta orang tetapi Jabatan Imigresen menyasarkan 400,000 hingga 600,000 orang akan didaftarkan menerusi E-Kad ini. Itupun nampak jauh dari sasaran," katanya.

Ditanya adakah permohonan daripada majikan ditolak, Mustafar berkata semua permohonan itu disemak secara terperinci dengan mengambil biometrik majikan dan pekerja.
Setakat ini, katanya hanya 4,616 majikan ditolak kerana disenarai hitam kerana pelbagai sebab antaranya pekerja terlibat dalam jenayah serta majikan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, hanya lima industri yang dibenarkan membuat permohonan dan E-Kad yang telah dikeluarkan adalah sebanyak 63,186 kepada sektor pembinaan, perkhidmatan (32,521); perkilangan (10,477); perladangan (5,716); dan pertanian (6,591).

Tinjauan mendapati ramai majikan dan pekerja asing berkumpul di pekarangan Jabatan Imigresen di sini untuk mendaftarkan Pati masing-masing sebelum tamat tempoh 30 Jun ini. - Bernama

Wednesday, 7 June 2017

Majikan tidak daftar E-Kad berdepan tindakan undang-undang


Majikan perlu segera mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mendapatkan kad sementara “Enforcement Card” (E-Kad) atau berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memberi amaran itu kepada majikan yang masih gagal mendaftarkan pekerja asing mereka memandangkan tempoh untuk berbuat demikian akan tamat 30 Jun ini.

Menurutnya, hanya 97,468 E-Kad dikeluarkan dalam tempoh 15 Februari hingga 31 Mei lalu dengan hanya 17,182 majikan yang tampil membuat permohonan dengan jabatan itu.
“Ini jauh daripada sasaran. Kami dimaklumkan ada 400,000 hingga 500,000 PATI belum ada dokumen lengkap atau tinggal lebih masa, langgar syarat bekerja dan lain-lain. Mereka ini perlu datang ke pejabat Imigresen.

“Saya memberi amaran kerana majikan diberi masa secukupnya dan tempoh permohonan tidak akan dipanjangkan,” katanya kepada Bernama mengenai pengeluaran E-Kad bagi membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula PATI secara sah.

Mustafar berkata bermula 1 Julai ini, pihaknya akan menggempur PATI yang tidak mempunyai E-Kad serta mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mendaftarkan mereka.
Menurut beliau, satu pasukan penguatkuasaan diwujudkan jabatan itu bagi melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan terhadap majikan.

“Mana-mana syarikat yang menggaji pekerja asing kita buat semakan dan siasatan. Trend sekarang majikan suka gajikan PATI kerana mereka dapat bayar gaji lebih murah berbanding orang tempatan,” katanya.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Februari 2018.
Program yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
Mustafar berkata 24,068 PATI diusir dalam operasi yang dijalankan sejak awal tahun ini hingga 1 Jun lepas.

Beliau berkata 566 majikan dan 19,968 PATI ditahan dalam 6,478 operasi yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh sama.