Showing posts with label felda. Show all posts
Showing posts with label felda. Show all posts

Monday, 5 February 2018

FELDA Tidak Pernah Rugi,Kenapa Perlu Panik?




Ramai yang jadi Pak Turut atau Pak Pandir beranggapan FELDA RUGI, sedangkan mereka #TidakTahu & tidak faham pun bagaimana perniagaan FGV dijalankan. Sebenarnya FELDA 'TIDAK PERNAH RUGI'.
Felda Global Ventures (FGV) mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012 dan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) syarikat ini merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook. Dengan penjualan 67% IPO pada Jun 2012, FELDA telah berjaya mengumpul KEUNTUNGAN sebanyak RM6 Billion.
Pegangan 33% saham FGV adalah KEKAL MILIK FELDA & TIDAK BOLEH DIJUAL untuk mengekalkan pemegang saham majoriti bagi mengawal operasi FGV. Harus kita fahami, FELDA MENJUAL saham FGV, BUKAN MEMBELI saham FGV. Bila masa RUGI kalau TIDAK MEMBELI?
FGV sejak penubuhan pada 2012, tidak pernah rugi cuma keuntungan diperoleh tidaklah besar kerana pendapatannya adalah 80% daripada hasil perladangan, manakala 20% lagi sumber lain. Keuntungan FGV semakin bertambah baik dan meningkat setiap tahun kerana seba­nyak 15,000 hektar kelapa sawit yang ditanam semula pada 2013 sudah mengeluarkan hasil.
Dengan pegangan majoriti sebanyak 33% dalam FGV, FELDA tidak akan hilang kawalan terhadap FGV kerana baki 33% saham itu tidak akan dijual walau apa pun yang berlaku.
Untuk rekod, Felda memiliki ta­nah seluas 850,000 hektar di bawah Akta Tanah Berkelompok (GSA) yang mana seluas 479,765 hektar diusahakan oleh 112,635 keluarga peneroka sebagai tanah ladang dan penempatan.
Selebihnya, FGV menyewa tanah ladang Felda seluas 355,864 hektar di bawah Perjanjian Sewaan Tanah (LLA) bagi tempoh 99 tahun bermula 2012 hingga 2111.
Di bawah perjanjian tersebut, Felda akan menerima bayaran tetap sewa sebanyak RM248.5 juta setahun dengan klausa disemak setiap 20 tahun dan tambahan 15% perkongsian keuntungan operasi bagi tanah terlibat dengan LLA setiap tahun.
FGV telah membayar Dividen sebanyak RM581 juta kepada FELDA untuk pegangan 33% saham FGV semenjak disenaraikan. Bila masa FELDA RUGI? MYKMU🤔

Sunday, 28 January 2018

Kesatuan Eropah Dan Tun Mahathir Pengkhianatan Peringkat Tertinggi kepada Warga FELDA

To be fair, perjumpaan antara PH dengan duta-duta negara-negara Kesatuan Eropah (EU) tidaklah sampai “mengundang campur tangan asing”. Tapi ia juga bukan tanda sokongan pemimpin-pemimpin dunia terhadap PH seperti dalam mimpi para penyokong PH.

Apa yang berlaku ialah pemimpin PH minta EU mendesak PM agar membenarkan EU menghantar rombongan pemantau pilihanraya (“election monitors/observers”) untuk memantau PRU14 demi memastikan ia dijalankan secara bebas dan adil (“free and fair”).

Tengok hah level pemikiran Tun, memang tak sama dengan anda semua. Buat apa selama ni susah-susah turun jalan berdemonstrasi kena tembak gas demi “pilihanraya free and fair”, jumpa saja duta EU. Sebab tu lah anda bukan Tun.

Tapi PM juga yang akan call the shot. Kalau kerajaan tak isukan jemputan, EU pun tak boleh nak hantar pasukan pemantaunya.

Cuma, mengapa EU?

Negara kita sedang “berperang” dengan EU pasal larangan import EU ke atas minyak kelapa sawit, satu larangan yang bakal menjejas pendapatan ribuan pengusaha kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia. Sekarang kita pula pergi beri “leeway” dan “leverage” kepada musuh.

Kalau anda ada sedikit pemahaman tentang geopolitik antarabangsa, anda akan tahu apa itu EU. Tun pun tahu what EU stands for. Dalam buku “Globalization and the New Realities” (2002), Tun sendiri menyifatkan EU sebagai satu projek penjajahan baru: “the European nations come together to continue their grip on international affairs, to impose its will on the rest of the world” (halaman 207).

Itulah EU menurut Tun. Tapi sekarang Tun mengundang jentera EU untuk menjejaki negara kita? Saya hanya mampu berharap ia sekadar cadangan dari ahli PH yang tak arif tentang hal ehwal antarabangsa.

EU bukan saja-saja nak mewujudkan pemantau pilihanraya. EU ada dia punya agenda untuk mencorakkan dunia menurut acuannya. EU promote demokrasi melalui pendekatan “regime change”, menghantar pemantau ke negara-negara yang mempunyai nilai strategik untuk memastikan keputusan memihak kepada mereka atau sekurang-kurangnya EU mempunyai hak bersuara. Negara-negara seperti Kosovo. Seperti negara-negara Afrika. Seperti Myanmar. Seperti Ukraine.

Campur tangan EU dalam politik Ukraine (peristiwa Euromaidan 2014) menyebabkan Ukraine berpecah ke kem pro-EU yang diketuai oleh Poroshenko-Tymoshenko dan kem pro-Russia yang diketuai oleh Yanukovych. Rusuhan, keganasan dan perang saudara meletus. Disebabkan pergolakan di Ukraine, pesawat MH 17 ditembak jatuh. Kesejahteraan rakyat Ukraine digadaikan gara-gara perebutan kuasa yang membuka ruang dimanipulasi kuasa-kuasa asing.



Saya tak ingat apa sumbernya, tapi setahu saya ada satu kisah di mana Muawiyah didampingi wakil Kerajaan Byzantine (Rum). Wakil Byzantine ingin menawarkan bantuan kepada Muawiyah dalam perangnya dengan Saidina Ali. Namun Muawiyah reject terus offer tersebut dan memberi amaran kepada Byzantine untuk tidak bercampur tangan dalam urusan umat. Walaupun ramai kata Muawiyah rakus dan tamakkan kuasa, tapi sekurang-kurangnya ada “bottom line”.

Jadi berpolitiklah macam mana pun, jangan sesekali melibatkan aktor negara asing. Bab-bab politik ni saya neutral, cuma saya tak mahu negara kita menjadi Ukraine yang seterusnya. Berhikmah dalam berpolitik, demi kebaikan bersama.

SUMBER

Monday, 25 December 2017

Isu tanah Felda ‘straightforward’, tak perlu RCI

PETALING JAYA: PAS berkata isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, tidak memerlukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyelesaikan masalah itu kerana kes bersifat “straightforward” atau jelas dan mudah.

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah yang perlu diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah mengkaji dan meneliti kronologi yang berlaku sehingga pindah milik berlaku kepada syarikat swasta terlibat.

“Antara yang perlu dikaji adalah keputusan Lembaga Pengarah Felda, perjanjian berkaitan antara Felda dengan syarikat berkenaan, transaksi pindah milik tanah kepada syarikat dan kepatuhan obligasi pihak-pihak sebagaimana perjanjian,” katanya dalam kenyataan media.
Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes kehilangan hak Felda ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.

PAS merujuk kepada kes transaksi tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang dilaporkan berlaku tanpa Felda menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” pindah milik tanah institusi kerajaan boleh dilakukan begitu mudah. Beliau mula menyedari perkara itu pada akhir Januari.
Takiyuddin berkata PAS juga berharap siasatan terperinci akan dapat membongkar skandal lain yang melibatkan Felda dan anak-anak syarikatnya yang lain.

“Dengan ini, Felda sebagai institusi amanah dapat dibersihkan daripada unsur kepentingan peribadi ataupun kelompok tertentu,” katanya.



Friday, 20 October 2017

Felda, Khazanah kerjasama tubuh Sekolah Amanah

TANJUNG MALIM: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menjalin kerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk menubuhkan Sekolah Amanah khusus untuk anak peneroka.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sekolah itu diwujudkan sebagai usaha memantapkan lagi sistem pendidikan masyarakat luar bandar, terutama dalam kalangan anak peneroka Felda.

“Saya ada mengadakan perbincangan dengan pihak Khazanah supaya mereka mengembangkan konsep Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir agar dapat dibawa ke sekolah rendah dan menengah di tanah rancangan Felda.

“Kita tahu konsep Sekolah Amanah mampu meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar dan hasilnya agak memuaskan kerana ia dilaksanakan di Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya selepas merasmikan Majlis Graduasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Kampus Tun Abdul Razak kali ke-8, hari ini.

Shahrir berkata, penubuhan Sekolah Amanah selaras visi dan matlamat Felda yang mengutamakan pendidikan dengan mempertingkatkan pencapaian akademik anak peneroka.

“Felda melihat bidang pendidikan merupakan satu aset yang boleh dikembangkan menerusi pencapaian anak-anak peneroka demi kemajuan masyarakat Felda secara keseluruhannya,” katanya.
Khazanah melalui Yayasan Amir mewujudkan Sekolah Amanah yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan beberapa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi meningkatkan kualiti pendidikan menerusi penambahbaikan untuk meningkatkan potensi pelajar.
Sekolah Amanah mula diperkenalkan pada 2011 dan setakat ini terdapat 40 sekolah berkenaan beroperasi di Johor, Sarawak, Selangor serta Kuala Lumpur.

Majlis Graduasi MRSM Felda merupakan program tahunan yang bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi dinilai daripada aspek sahsiah dan kokurikulum pelajar berkenaan.

Sejumlah 218 pelajar tingkatan 5 MRSM Kampus Tun Abdul Razak yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam pelbagai subjek diraikan pada majlis itu.

Selain itu, Anugerah Khas turut diberikan kepada 11 pelajar yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelbagai subjek antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik dan Kimia.

Monday, 24 July 2017

Peneroka Felda sangkal dakwaan banyak berhutang

Warga peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberikan insentif khas dalam membantu kebajikan dan kesejahteraan komuniti itu.

Ketua Peneroka Felda Samsudin Othman berkata insentif jangka pendek, sederhana dan panjang itu merupakan berita gembira untuk kesemua 112,635 peneroka di 317 rancangan di seluruh negara yang akan meringankan bebanan sekali gus insentif pelupusan hutang memberi kelegaan kepada peneroka.
“Kami warga Felda berasa syukur dan berterima kasih kepada perdana menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.


Pada sambutan Hari Peneroka peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya di sini hari ini, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.
Mengulas dakwaan peneroka Felda banyak berhutang dalam pelbagai jenis pinjaman, Samsudin yang menyangkal dakwaan itu berkata hutang yang ditanggung peneroka termasuk pinjaman sara hidup di antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi membantu mereka yang menjalankan projek tanaman sawit bagi menjalani kehidupan yang lebih selesa.

“Kerajaan baik hati mendahulukan pinjaman sara hidup. Kalau kerajaan tidak bagi pinjaman, peneroka kena tunggu sampai 3 tahun baru mendapat hasil. Jumlah inilah yang menyebabkan hutang peneroka mencecah RM80,000. Ini adalah hutang ciptaan peneroka sendiri. Felda tidak mengalakkan polisi berhutang sebaliknya mereka yang tidak mahu mendapatkan pinjaman sara hidup, itu lagi baik,” katanya.


Mohammad Zainal Mohd Yusof, 61, dari Felda Palong, Negeri Sembilan berkata ia menggambarkan komitmen dan keikhlasan perdana menteri yang sentiasa mempertimbangkan kebajikan masyarakat peneroka walaupun tidak diminta oleh mereka.

“Inilah kali pertama kami mendapat enam insentif sekali gus. Saya amat bersyukur dengan pengumuman hari ini. Kami sentiasa setia bersama kerajaan kerana mereka sentiasa mempertimbangkan kebajikan kami. Saya juga gembira dapat raikan sambutan hari jadi perdana menteri di sini,” kata pesara tentera itu, sambil menambah Felda sentiasa memberikan pulangan lumayan kepada para peneroka.

Bagi Halimah Awang, 58, dari Felda Soeharto, Selangor, beliau sangat bersyukur dengan tanda ingatan kerajaan kepada rakyat yang setia dengan Felda dan sentiasa mendapat manfaat dalam pelbagai bentuk.

“Saya sangat sayangkan Felda yang banyak berjasa kepada peneroka. Kami berharap generasi Felda kini akan menjaga Felda dengan baik sehingga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Asmawi Ani atau lebih popular dikenali sebagai Mawi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor berkata kerajaan dari dulu sehingga sekarang sentiasa mengutamakan kebajikan warga peneroka Felda dengan memberikan segala bentuk insentif dan kemudahan sejak 1956.
“Lihatlah sendiri peningkatan positif sehingga hari ini. Kita perlu bersyukur apa yang sudah ada dan jaga elok-elok. Generasi muda khususnya jangan hanya dengar cerita negatif mengenai Felda dan cepat terpengaruh. Kena periksa dulu. Itu yang paling penting.
“Jadi, bila dah diterapkan dari kecil konsep bersyukur itu, segala apa yang saya dapat, saya amat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.

Pelakon Abdul Jalil Hamid yang merupakan anak jati Felda Cahaya Baru, Masai, Johor melihat pemberian insentif sebagai tanda kerajaan di bawah kepimpinan Najib mengambil berat serta sentiasa berusaha memakmurkan negara serta rakyat.

“Inilah keistimewaan kerajaan membantu warga Felda. Ada kala, hidup peneroka bergantung kepada komoditi sawit. Ada waktu meningkat, atau tidak. Saya pun anak jati Felda dan tahun-tahun kehidupan di Felda. Ada mereka buat rumah sendiri pun tak mampu. Ini adalah satu kesyukuran besar dari kerajaan,” katanya.

Thursday, 6 July 2017

5 Kisah Tentang Felda Yang Perlu Dibaca Dan Difahami Peneroka



Pada 21 hingga 23 Julai 2017 ini akan diadakan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya. Program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia  akan turut diadakan sempena sambutan Hari Peneroka ini. Kira-kira 50 aktiviti menarik akan diadakan bertujuan menunjukkan sumbangan dan kejayaan Felda kepada masyarakat Malaysia.

"Ada banyak cerita-cerita positif Felda yang tidak dapat kita kongsi kerana kita terlalu sibuk dengan masalah lain. Kita tidak nafikan masalah itu wujud, tetapi pada masa yang sama kita juga tidak patut ketepikan pencapaian peneroka kita," kata Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Felda terus menjadi `bahan' menarik untuk dijadikan isu oleh pembangkang, terutamanya PKR, PPBM dan PAN yang berangan angan mahu masuk mendapatkan undi orang Felda. Pembangkang hanya hasut, sebar cerita tidak betul dan buat tuduhan semata semata.

Felda mendapat perhatian mereka meskipun banyak perkara yang dibangkitkan itu telah pun diselesaikan.

Berikut merupakan 5 jawapan mengenai beberapa isu yang dibangkitkan melibatkan Felda yang perlu difahami oleh para peneroka.

1 -  Pembangkang reka cerita kononnya kerajaan rampas ladang sawit. Tuduhan ini tidak benar. FGV adalah  salah sebuah konglomerat minyak sawit utama di Malaysia. FGV mengadakan program pembangunan tanah dan penempatan Felda. FGV juga adalah syarikat ketiga kelapa sawit terbesar di dunia, mengikut keluasan tanaman.

Di Malaysia sahaja, FGV mengawal lebih 850,000 hektar tanah merangkumi 500,000 hektar dan secara kasar ia menyewa dan menguruskan 112,635 pekebun kecil Felda.

Istilah merampas adalah ayat politik jahat pembangkang sahaja. Ladang-ladang berkenaan harus ditambahbaik menerusi FGV sekali gus menambahkan hasil peneroka.

2 -  Felda dituduh pembangkang telah menghentikan peruntukan pembangunan sosial kepada peneroka. Ia adalah satu dakwaan yang salah kerana program pembangunan sosial seperti sekolah, jalan raya dan kemudahan awam tetap diteruskan dengan matlamat untuk menjaga kebajikan peneroka.

Tumpuan khas juga diberikan untuk membangunkan kebun-kebun peneroka kerana ia adalah sumber utama pendapatan bagi memperbaiki taraf hidup keluarga.

Sejak 2005, kerajaan BN memberi Pinjaman Pembesaran Rumah Peneroka antara RM10,000 hingga RM40,000 dengan tempoh bayar balik 15 tahun dan kadar caj rendah.

Pinjaman ini masih diteruskan dan tidak pernah dihentikan. Pembangkang hanya jaja cerita fitnah semata mata mendakwa kerajaan sekat peruntukan kepada orang orang Felda.

3 - Rafizi selalu tuduh FGV rugi. Tuduhan itu tidak betul. FGV mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM220 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2016, meningkat 13 peratus berbanding RM195 juta pada suku sama 2015.

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2016, FGV mencatatkan keuntungan sebanyak RM266 juta. Pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 sebanyak RM17.28 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun 2015. Di mana yang ruginya?

4 - Pengumuman duit raya peneroka Felda baru-baru ini juga telah dimanupulasikan pembangkang. Hampir setiap tahun peneroka Felda mendapat duit raya dan pada tahun ini, pemberian insentif hari raya sebanyak RM500 membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM47.28 juta, diberikan kepada 94,555 peneroka Felda seluruh negara.
 
Ini menunjukkan bahawa Felda bukan bankrap seperti yang dicanangkan oleh pembangkang. Bagi yang menyaman Felda, memanglah anda tidak dapat duit raya, kerana Felda terpaksa menanggung kos guaman untuk melawan balik tuntutan saman berkenaan.

5 - Pembelian ladang Pt Eagle High Plantation di Indonesia juga dimanipulasi pembangkang. Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam satu temubual berkata, beliau melihat pembelian itu sebagai satu pelaburan.

"Pelaburan utamanya kita beli sebahagian yang besar, 37 peratus dari segi saham dan bila saya tengok balik kepada ladang ini, pada pukul ratanya usia pokoknya telah mencecah usia tujuh tahun.

"Bila pokok sawit ini tujuh tahun, dia dah mula masuk kepada apa yang kita panggil sebagai matang tua. Jadi ada pulangannya dalam enam bulan yang pertama tahun ini. Enam bulan yang kedua tentunya kalau harga sawitnya baik, saya rasa pulangannya akan kita rasai juga dalam bentuk dividen,'' katanya.

Jadi tiada istilah bahawa Felda telah bankrap, kerana istilah bankrap itu hanyalah serangan jahat pembangkang semata mata. Generasi ketiga Felda jangan cepat melatah dengan tuduhan yang dibuat pembangkang. Selidik betul betul setiap dakwaan, insyallah akhirnya akan menemui cerita yang sebenarnya.

Malah Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan selagi beliau memegang jawatan perdana menteri, maka beliau akan memastikan kemajuan Felda ditingkatkan dan kebajikan warganya tetap terjamin.

Felda adalah produk ayah Datuk Seri Najib sendiri, Tun Abdul Razak antara tahun 1959 hingga 1970. Sejak dulu lagi kerajaan BN menjaga Felda. Dari rumah papan ke rumah batu. Dari tanah merah ke tanah yang subur.

Pembangkang hanya datang pada musim pilihanraya sahaja. Lepas itu, hilanglah mereka bersama cerita dan dakwaan yang mereka jaja. Oleh itu, orang Felda jangan mudah terpedaya.


Tulisan :
Beruang Biru
BB488, Rabu
5 Julai 2017

Thursday, 15 June 2017

FGV tidak memiliki tanah FELDA

  • FGV tidak memiliki tanah FELDA
  • FGV adalah syarikat disenarai awam maka sahamnya terbuka untuk dibeli
  • Namun jika dibeli sekalipun, ia bukan pegangan terbesar yang boleh kawal syarikat
  • Serangan pembangkang akan menyebabkan saham FGV terus menyusut
Satu lagi penipuan propaganda datang dari pembangkang dengan mendakwa tiga syarikat dari China akan membeli FGV sama seperti Proton dan Lotus.
Mereka juga berbohong dengan mendakwa kononnya tanah-tanah makcik Felda akan dimiliki China.
Ini semua pembohongan!
Sebelum itu, adalah penting untuk kita membezakan antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan FGV.
Kedua-duanya adalah dua syarikat berbeza tetapi FELDA memiliki 34 peratus saham dalam FGV. Tugas FGV adalah mengurus perladangan. Ia juga membeli tandan buah dari peneroka, memprosesnya sebelum menjual minyak sawit mentah ke pasaran.
PROTON BUKAN MILIK KERAJAAN LAGI
Pertama sekali, syarikat FGV adalah berbeza dari Proton kerana penjualan Proton yang sudah dimiliki syarikat persendirian, DRB-Hicom dan tidak lagi disenaraikan di bursa saham sejak 2011 sebagaimana dinasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakibatkan pegangan saham kerajaan dalam Proton dibatalkan.
Penjualan saham dalam Proton kepada mana-mana pihak adalah keputusan mereka sebagai sebuah syarikat persendirian manakala kerajaan tidak lagi memiliki sebarang saham dalam Proton maka ia langsung tiada kaitan lagi dengan kerajaan.
FGV MEMILIKI TANAH FELDA?
Yang kedua, FGV TIDAK memiliki tanah FELDA. FGV menyewa 335,000 hektar tanah milik FELDA di bawah perjanjian pajakan tanah. FELDA memiliki 850,000 hektar tanah.
Oleh itu, tiada tanah FELDA akan dijual kepada China atau sesiapa pun kerana FGV tidak memiliki seinci tanah FELDA.
Selain dari pajakan tanah dari FELDA, sejak disenaraikan di bursa saham, FGV turut memiliki pelbagai syarikat perladangan dan tanah kelapa sawit.
Antara pembelian besar ialah pengambilalihan syarikat Pontian United Plantations Bhd pada RM1.2 bilion dan Asia Plantation Ltd (melalui Bursa Saham London) pada RM628 juta. Ia juga membelanjakan RM2.2 bilion bagi membeli baki 51 peratus saham dalam Felda Holdings Bhd dari Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd pada Oktober 2013. Belian terkini ialah tanah perladangan kelapa sawit seluas 836.1 hektar dari Golden Land Bhd pada RM655 juta, pada 2015.
Yang ketiga, FGV adalah syarikat tersenarai awam.
Apabila anda menyenaraikan sesebuah syarikat di pasaran saham, sesiapa boleh membeli saham dari pasaran saham termasuklah syarikat dari China (atau dari Perancis, India, Singapura, Amerika Syarikat atau sesiapa sahaja) ia tidak bermakna mereka boleh mengawal syarikat itu selagi pemegang saham terbesar namun syarikat tidak melepaskan pemilikan saham mereka.
Dr Mahathir menswastakan dan menyenarai di bursa saham syarikat seperti Lembaga Beras Negara menjadi BERNAS, pembekal tenaga, Lembaga Letrik Negara kepada Tenaga Nasional, lapangan terbang (Malaysia Airports Holdings Berhad), POS Malaysia, syarikat telekomunikasi Telekom kepada Axiata dan banyak lagi.
Akhirnya, banyak daripada saham syarikat ini dimiliki oleh warga asing yang melabur dan membeli saham dari pasaran saham.
Jika syarikat China berminat untuk membeli saham, mereka akan membelinya dari pasaran saham dan ini akan melonjakkan harga saham FGV. Namun mereka tetap tidak akan menjadi pemegang saham terbesar, sama seperti MAHB, Telekom, Tenaga Nasional, POS Malaysia dan lain lain.
Memang benar ada laporan media dua bulan lalu yang mengatakan terdapat tiga syarikat China berminat untuk membeli pegangan saham secara strategik dalam FGV. Syarikat utama yang dinamakan ialah sebuah syarikat bernama COFCO.

COFCO adalah syarikat terbesar di China yang terlibat dalam sektor pemprosesan makanan, pengeluaran dan perdagangan. Perniagaan mereka memerlukan penggunaan bahan mentah seperti minyak sawit bagi menghasilkan bahan makanan.
Bagi menghasilkan bahan makanan menggunakan minyak boleh dimakan, COFCO boleh menggunakan minyak sawit atau menggantikannya dengan minyak lain seperti dari sumber kacang soya atau dari lemak haiwan.
Jika mereka mengambil saham secara strategik dalam FGV, kepentingan COFCO adalah untuk menjamin perbekalan bahan mentah perniagaan huluan.
Ini sebenarnya baik untuk FGV kerana ia adalah satu jaminan pelanggan yang tidak akan bertukar dari minyak sawit kepada minyak lain atau membeli minyak sawit dari Indonesia atau negara lain.
Bayangkan jika masa depan yang lebih terjamin dan stabil bagi peneroka dan penanam kelapa sawit di mana minyak sawit Malaysia menjadi sebahagian dari pengeluaran produk makanan dan dijual syarikat China bagi memenuhi keperluan penduduk seramai 1.4 bilion orang. Ia juga bermakna harga yang lebih stabil bagi minyak sawit dan pelanggan yang lebih terjamin.
Bagaimanapun itu hanya spekulasi dan tiada petunjuk lanjutan yang COFCO akan meneruskan minat mereka itu.
Jika pihak pembangkang benar-benar berjuang untuk negara, mereka tidak akan berterusan menyerang FGV dan memberi ruang kepada harga saham FGV untuk terus meningkat, sebagaimana yang telah disahkan oleh orang kuat DAP, Hew Kuan Yew yang berulangkali mengakui dia menyebabkan harga saham Lynas jatuh dengan membuat serangan tanpa henti terhadap syarikat itu.
Jika harga saham FGV lebih rendah, ia akan membuatkan sahamnya lebih mudah dibeli oleh syarikat asing.
Bagaimanapun, pihak pembangkang seperti parti Pribumi hanya berminat untuk mengambil kesempatan ke atas orang kampung dengan mencetuskan kebimbangan dan mensabotaj ekonomi kita dengan memulakan pembohongan dan menyebarkannya melalui pesanan Whatsapp.
Kita tak seharusnya terperangkap dengan pembohongan itu.
Ditulis oleh Lim Sian See

Tuesday, 28 March 2017

Isu Felda Dimanipulasi: Ini Jawapan Pencerahannya

MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Felda menjadi idaman dan kesayangan pihak pembangkang konon ingin jadi juara dalam memperjuangkan isu yang berkaitan skim tanah itu.

Walhal perbincangan hal ehwal Felda di peringkat Barisan Nasional (BN) dari awal penubuhan tidak pernah bermusim, selain perihal jatuh bangun serta suka duka selain cerita kejayaan dan kegagalan cukup panjang.

Kisah sebenar ini perlu dijelaskan kepada warga Felda bahawa Kerajaan BN tetap bersama malah tidak masuk akal jika pihak kerajaan itu sendiri ingin melakukan sesuatu tindakan memusnahkan skim rancangan mega tersebut.

Justeru Program Ramah Mesra Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim bersama-sama Warga Felda Wilayah Jengka di Jengka 4, Pahang pada 25 Mac lalu telah menjelaskan beberapa perkara berbangkit.

Ia meliputi beberapa perkara iaitu:

1. PENSTRUKTURAN SEMULA FELDA

– Disusun semula supaya mempunyai rangka struktur yang lebih jelas sebagai sebuah syarikat meliputi segala untung rugi sesuai sebagai sebuah firma perniagaan yang bertaraf antarabangsa.

– Felda Technoplant (FTP) sebagai contoh yang urus hampir 440,000 hektar tidak ambil sebarang untung dalam operasi mengurus sebaliknya dilihat lebih tanggungjawab sosial korporat menyebabkan kecekapannya merosot.

– Penstrukturan FTP kepada sebuah syarikat akan meningkatkan mutu dan moral pekerjanya untuk memastikan daya kecekapan dalam menguruskan ladang pertanian komoditi secara lebih teratur.

2. BAYARAN BUAH TANDAN SEGAR (BTS)

– Isu ini tidak melibatkan semua warga Felda. Daripada 112,000 peneroka, cuma 16,000 peneroka pilih untuk keluar daripada pengurusan Felda dengan tanam dan urus ladang sendiri terutama di Kelantan seperti Felda Kemahang.

– Baki 97,000 peneroka masih tetap bersama FELDA dan majoriti mereka menyerahkan kepada Felda 100% untuk diuruskan melibatkan pembayaran sebulan sekali dan mereka juga tiada masalah dengan sistem pembayaran.

– Masalahnya ada kelompok yang pada awalnya memilih untuk bersama Felda bermula dari penanaman semula dan menerima sara hidup sebaliknya memilih untuk menguruskan sendiri dan tidak bersama FELDA.

– Kelompok ini memerlukan wang untuk belanja pengurusan ladang dan keperluan peribadi. Justeru Razali sedia membawa perkara ini untuk dipertimbangkan Perdana Menteri sendiri selaku Menteri Felda.

– Antara penyelesaiannya ialah mereka diberikan pendahuluan namun pembayaran tetap dilakukan sebanyak dua kali sebulan. Bakinya akan ditolak berdasarkan jumlah BTS yang dihantar.

– Felda Jengka 4 akan dijadikan ‘pilot project’ bagi menangani masalah kelompok yang terjejas tetapi ia bukanlah dasar FELDA buat masa ini namun kerajaan akan melihat keberkesanannya.

– Pembayaran secara mingguan akan menyebabkan Pengurus Felda yang sepatutnya melakukan tugas mengurus hal ehwal tanah rancangan terganggu kerana terpaksa dalam masa yang sama urus pembayaran BTS secara mingguan.

– Pembayaran secara mingguan juga melibatkan soal keselamatan seperti isu jenayah kecurian dan rompakan.

3. HUTANG PENEROKA

– Arahan telah pun dikeluarkan kepada pihak pengurusan Felda supaya perincian penyata yang dahulunya sebanyak 13 penyata dijadikan kepada hanya 1 penyata bakal diberikan kepada peneroka.

– Maklumat diperlukan untuk memuktamadkan jumlah sebenar hutang peneroka dan mereka yang merasakan jumlah adalah terlalu tinggi perlu berjumpa sendiri dengan pengurus di rancangan masing-masing.

– Peneroka perlu mengemukakan bukti bagi menunjukkan berapakah hutang sebenar mereka. Penyelesaian kepada masalah ini secara jangka masa panjang adalah Felda melalui FTP perlu mendekati golongan peneroka.

– Ini terutama peneroka yang memilih untuk menguruskan ladang sendiri namun kembali menyerahkan kepada pihak FTP, tetapi ia dengan syarat FTP terlebih dahulu perlu meningkatkan efisiensi mereka.

– Penyelesaian jangka pendek Felda memberikan peneroka wang pendahuluan bagi mereka menguruskan ladang dan hal peribadi tetapi bayaran tetap dilakukan 2 kali sebulan dan baki ditolak pendahuluan yang telah diambil.

– Bagaimanapun langkah ini hanya melibatkan kawasan rancangan yang terjejas dan bukan melibatkan keseluruhan rancangan Felda yang kekal selamat atau tidak terjejas.

4. PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA (PGBF)

– Sebanyak 11,000 buah rumah masih belum dilaksanakan daripada 20,000 yang disasarkan manakala bakinya telah dilaksanakan sama ada yang telah diduduki mahupun yang terbengkalai.

– Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah diminta untuk bekerjasama dengan Felda bagi melaksanakan PGBF. Walaupun SPNB hanya membina rumah tetapi Felda pula akan membina prasarana berkaitan perumahan.

– Pemberian tanah-tanah lot akan dipertimbangkan berdasarkan kepada kemuafakatan kepimpinan setempat kerana bukan semua tanah rancangan sesuai dilaksanakan PGBF.

5. PENJELASAN ISU DIMAINKAN PEMBANGKANG

– Pembangkang diketahui berniat secara tersirat untuk memecahkan perpaduan dalam kalangan peneroka Felda kerana menyedari kawasan Felda adalah kubu kuat BN sejak sekian lama.

– Tabung Haji, Mara dan LTAT pernah menjadi sasaran pembangkang kerana di situ terletak kekuatan bangsa Melayu dan Felda turut tidak terlepas daripada sasaran tohmahan.

– Pemimpin PKR, Rafizi Ramli sebagai contoh telah mengemukakan laporan kewangan Felda 2014 konon tentang kehilangan RM100 juta walhal yang sebenarnya ia tidak hilang sebaliknya dicatatkan kegunaan PGBF.

– Wang itu diberikan subsidi yang tidak perlu diletakkan di dalam penyata. Begitu juga isu pelaburan di dalam syarikat perladangan Rajawali di Indonesia yang dikatakan telah menggunakan wang FELDA adalah tidak benar.

– Penguasaan 37% saham didakwa konon membeli dengan harga tinggi sebanyak AS$505 juta dan 172% lebih tinggi daripada harga premium pasaran juga menunjukkan kedangkalan pembangkang berfikir.

– Isu pembelian itu bukanlah berdasarkan kepada premium harga tetapi saiz tanah yang bakal dimiliki berjumlah 320,000 hektar dan daripada jumlah itu pula 145,000 hektar merupakan pokok yang hampir matang.

– Purata RM16,000 seekar tanah di Indonesia adaah transaksi yang paling murah di Indonesia jika hendak dibandingkan pengeluaran hasil tanah 10 ekar mencecah purata 32 tan kerana faktor kesuburan tanah.

– Ia agak berbeza berbanding di Malaysia yang purata maksimum hanya sekitar 25 tan sahaja bagi setiap 10 ekar. Harga sawit pula semakin baik berikutan faktor cuaca El Nino menyebabkan tiada lambakan pengeluaran.

– Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru ini malah telah membawa kepada peningkatan jumlah import minyak sawit dari Malaysia yang dahulunya banyak dibeli dari Indonesia.

– Harga sawit yang telah stabil kebelakangan ini berikutan penubuhan Majlis Pengeluar Minyak Sawit Dunia secara tidak langsung telah meningkatkan hasil kumpulan Felda termasuk FGV.

KESIMPULAN

Hakikatnya sejak tahun 1996, Felda tidak pernah menerima apa-apa peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan berbanding agensi lain seperti RISDA, FELCRA dan KEJORA sekali gus menunjukkan kebolehupayaan Felda.

Walaupn menghadapi tohmahan, Felda tetap memberikan pinjaman kepada peneroka melalui skim tanaman semula dan wang sara hidup; sesuatu yang tidak dirasai oleh mana-mana pekebun kecil di bawah agensi tanah lain.

Sehingga kini Felda memberikan hutang kepada peneroka lebih RM1.4 bilion yang melibatkan hutang operasi antaranya kos tanam semula dan kos sara hidup. Ini tidak termasuk hutang pembinaan rumah dan pendidikan.

Justeru, renungkanlah segala tohmahan liar dilemparkan oleh pembangkang jelas terbukti hanya agenda permainan politik jahat mereka demi meraih undi menjelang PRU ke-14 yang akan datang.

MyNewsHub

Monday, 13 February 2017

Dana Felda tak hilang, kata Shahrir


 Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menjelaskan tidak berlaku kehilangan dana berjumlah RM4.3 bilion di dalam agensi tersebut.

Sambil menegaskan kenyataannya mengenai dana itu dipesongkan beberapa portal berita, katanya beliau mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut, antaranya digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh Felda di dalam dan luar negara.

“Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, kita belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka Felda dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.
“Baki RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran one off kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang RM250 juta, pinjaman perumahan peneroka RM400 juta, perbelanjaan pengurusan RM883 juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi,” katanya.


Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini bagi mengulas laporan beberapa portal berita yang didakwa memesongkan kenyataannya berhubung dana berjumlah RM6 bilion yang diterima Felda selepas disenaraikan di bursa saham.

Shahrir berkata RM1.438 bilion digunakan bagi pembelian pelaburan hartanah yang merangkumi pembelian hartanah di Bukit Katil, Melaka (RM304 juta), Grand Borneo Hotel di Sabah (RM86 juta), Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London (RM500 juta), bangunan Institut Penilaian Negara (INSPEN) (RM225 juta) selain pembelian saham Iris Corporation Berhad (RM110 juta).
Katanya, nilai pelaburan RM1.438 bilion itu kebanyakannya melibatkan sektor perkhidmatan perhotelan sebagai pelaburan jangka masa panjang yang memerlukan masa yang lama sebelum memberi pulangan.

Menurutnya, Felda juga membeli semula Felda Technoplant Sdn Bhd dengan nilai RM38 juta dan sehingga kini jumlah kerugian yang ditanggung Felda adalah RM108 juta melibatkan projek Transnovasi.

“Tugas saya (selaku pengerusi Felda) adalah untuk memastikan kesemua pelaburan yang dilakukan Felda berjalan mengikut perancangan, bagaimana pelaburan itu dilakukan dan memastikan pelaburan tersebut memberikan pulangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Felda memutuskan untuk menjual sebuah hotel milik agensi berkenaan di London yang dibeli dengan harga RM548 juta pada 2012, dengan proses penjualan sedang dilaksanakan dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam waktu terdekat.