Showing posts with label hadi awang. Show all posts
Showing posts with label hadi awang. Show all posts

Wednesday, 11 April 2018

Jangan Kongkong SPR -Tuan Guru Hj Hadi Awang

Semua pihak perlu memberi kebebasan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh hari pengundian pilihan raya umum di negara ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali, terpulang kepada SPR untuk menetapkan tarikh yang difikirkan sesuai.

Apa yang penting, kata beliau, adalah menggerakkan kesediaan rakyat untuk mengundi pada tarikh yang ditetapkan itu.

“Terpulang kepada SPR untuk mengadakan bila-bila masa pilihan raya umum. Yang penting kesediaan mengundi rakyat. Itu yang sangat penting yang perlu kita gerakkan.

“Jangan kita kongkong SPR, nak perintah dia buat itu dan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Pilihan Raya Pas Teraju Pahang di Padang Awam Cenderawasih di Indera Mahkota di sini malam ini.

SPR hari ini mengumumkan hari pengundian PRU-14 ditetapkan pada 9 Mei iaitu pada hari Rabu manakala tarikh penamaan calon pada hari Sabtu, 28 April ini. – UTUSAN ONLINE

Monday, 1 January 2018

Mahathir punca mufti tidak bersuara – TG Hadi Awang


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Para mufti di negara ini tidak bersuara bagi menghalang peristiwa Memali 1985 kerana berlaku campur tangan politik pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pada waktu itu, tiada pemisahan kuasa dan berlaku campur tangan politik dalam hal ehwal pentadbiran negara.


Katanya, pada zaman ber­kenaan juga, bukan sekadar mufti tidak boleh bersuara, sebaliknya hakim dipecat dan ketua polis negara juga tidak boleh bertindak dengan tepat.

“Mufti pun dia nak paksa, nak bercakap pun terpaksa diam pada masa itu. Lebih selamat. Itulah suasana pada masa itu,” kata­nya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir pada perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam yang menyalahkan para mufti tidak menghalang peristiwa Memali daripada berlaku pada 1985.

Dr. Mahathir berkata, para mufti sepatutnya bersuara bagi menentang ucapan Abdul Hadi yang dikenali Amanat Haji Hadi yang didakwa bertanggungjawab kepada peristiwa Memali 1985 yang mengorbankan 18 nya­wa.

Amanat Haji Hadi merujuk ucapan Abdul Hadi yang tersebar di kalangan ahli Pas pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Pada ketika itu Abdul Hadi ialah Ahli Parlimen Marang dan Ketua Pas Terengganu.

Tambah Abdul Hadi, Dr. Mahathir tidak wajar me­metik beberapa petikan di dalam amanat yang diberikan pada waktu itu sebaliknya melihat amanat itu secara sepenuhnya.

“Mengambil petikan ucapan tanpa mengambil penjelasan adalah satu tindakan yang salah. Ini kerana semata-mata kepentingan politik,” katanya.


Friday, 20 October 2017

Bertaubatlah Mahathir, pesan Hadi Awang

MENJADI blok ketiga, mungkin bukan langkah mudah bagi Pas. Ada sahaja hentaman daripada bekas sekutunya daripada Pakatan Harapan. Itu belum lagi asakan daripada BN, tetapi ada yang melihat langkah Pas semakin berani. Kejayaan menghimpunkan ratusan ribu penyokong pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu baru-baru ini dijadikan kayu pengukur bahawa parti itu mempunyai sokongan meluas. Namun, sejauh mana parti Islam itu mampu menterjemahkan sokongan kepada PRU14 kelak? Bagaimana pula sokongan pengundi bukan Islam? Ikuti wawancara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama wartawan Muhammad Shamsul Abdul Ghani.
Baru-baru ini,  Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad  mendakwa menyokong Pas sama seperti beri undi kepada BN, dan minta Pas supaya bertaubat. Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai perkara ini?
Pas bukan parti dalam BN dan kita akan bertanding di kerusi di mana BN bertanding. Selayaknya Mahathir bertaubat kerana dialah penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator. Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia. Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah, Bersatu adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir.
Mahathir kata kebencian Pas kepada Amanah dan DAP melebihi azam untuk selamatkan negara dan agama. Apa komen Datuk Seri?
Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, Pas tidak meninggalkan matlamat untuk menyelamatkan negara melalui Fasal 5 Perlembagaan Pas. Bezanya, Pas mahu selamatkan negara dengan Islam bersama jaminan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan. Adapun DAP tidak menghormati perkara ini dengan berani menunjukkan sikap menentang usaha memartabatkan mahkamah syariah melalui pindaan RUU355. Amanah pula ditubuhkan di atas restu DAP untuk menggantikan Pas, malangnya Amanah tidak berjaya mendapatkan undi Melayu, bahkan penubuhannya memberi bebanan kepada DAP. Tambahan pula, kita melihat harapan DAP untuk selamatkan negara adalah palsu dengan beberapa kes pemimpinnya terpalit isu rasuah. Pas yang memerintah Kelantan hampir 27 tahun adalah kerajaan bersih tanpa rasuah dan diiktiraf sebagai pentadbiran berintegriti oleh agensi-agensi kerajaan yang membuat audit kepada pentadbiran kerajaan, walaupun tempoh masa pemerintahan lebih panjang.
Polemik  hubungan politik Pas-Umno sering dimainkan. Boleh Datuk Seri jernihkan isu ini, tambahan menjelang PRU14 nanti.
Pas  ambil pendekatan tahaluf siyasi dan taawun bagi hadapi PRU14. Pas bertahaluf dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera bagi menghadapi BN dan Pakatan Harapan. Adapun dengan Umno-BN, kita mengambil pendekatan taawun iaitu menyokong apa yang baik dan positif demi keutamaan Islam dan Melayu dan kita membantah apa yang negatif dan salah yang merugikan negara dan rakyat seperti GST, TPPA, DLP dan Akta 164.
Menjelang PRU14, pendirian Pas jelas iaitu tiada kerjasama dengan Pakatan Harapan. Namun, isu pertembungan tiga penjuru sering ditimbulkan. Bagaimana strategi Pas agar tiga penjuru ini beri keuntungan kepada parti?
Persoalan strategi adalah rahsia, cumanya Pas telah meneliti satu persatu bagi setiap kerusi dan menyusun strategi berdasarkan maklumat akar umbi. Sasaran kita untuk menang 40 kerusi adalah realistik dan boleh dicapai.
Saya juga melihat penganalisis politik sangat dipengaruhi oleh keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk mengunjurkan apa yang bakal berlaku pada PRU14. Pas melihat dua PRK ini  sebagai kes tersendiri, dengan pengertian lain. Senario politik di dua kawasan ini tidak mewakili keseluruhan senario politik di seluruh negara. Setiap kawasan ada ciri-ciri tersendiri, mengambil kira komposisi kaum, kedudukan kawasan di bandar atau luar bandar, parti-parti mana yang bakal bertanding, siapa calon dijangka bertanding, isu-isu setempat dan lain-lain. Oleh sebab itu, dalam mempertimbangkan boleh menang atau tidak, Pas tidak sekadar menganalisisnya berasaskan dua senario, tiga penjuru atau dua penjuru. Pas juga tegas bersama akidah Islam dan bersama asas Perlembagaan Negara yang mahu dirungkaikan oleh berbagai aliran.
Apakah lima kelebihan Pas berbanding Pakatan Harapan untuk menewaskan BN?
Dasar Pas adalah Islam dan Pas tidak pernah menjual prinsip ini demi meraih undi pilihan raya atau kemenangan sementara. Islam jadi akidah perjuangan yang kukuh. Kedua, Pas ada kekuatan akar umbi yang tidak dimiliki oleh pembangkang lain. Kita ada 196 kawasan dan 7,063 cawangan di seluruh negara. Ketiga, Pas bersama Gagasan Sejahtera yang didukung oleh parti-parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.
Keempat, Pas meninggalkan politik tegang dan amalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang lebih mendekatkan Pas dengan pengundi dan mewujudkan keamanan serta  kestabilan politik negara. Kelima, orang Melayu bersama Pas. Kita perlu sedar undi teras politik Malaysia adalah Melayu. Mana-mana parti yang mahu jadi pemerintah mesti dapat undi Melayu dan kita lihat Bersatu dan Amanah tidak dapat menarik undi Melayu kepada Pakatan Harapan, cuma Pas perlu juga melibatkan bukan Islam yang masih tidak fanatik perkauman dan agama.

Kekuatan Pas terletak pada dasar Islam, akidah perjuangan

Bagaimana pula Datuk Seri melihat sikap pengundi terhadap Pas kini?
Alhamdulillah, selepas DAP memutuskan hubungan dengan Pas, pengundi Melayu mula beralih kepada kita. Ini hasil konsisten Pas yang tidak mudah dicucuk hidung oleh DAP, khususnya dalam isu hak kepentingan orang Islam, berkaitan pindaan Akta 355 dan sikap berani kita menolak politik cauvinis perkauman.
Tambahan pula dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang kita buat, kita berjaya mendekati pengundi Melayu-Islam khususnya, dan bukan Islam yang menolak politik perkauman DAP. Kita sedar tidak semua orang bukan Islam suka DAP yang rasis dan perkauman.
Kita juga telah berjaya merobohkan benteng dengan agensi kerajaan, penjawat awam, NGO dan banyak pihak yang bersedia jumpa kita. Ini hasilnya selepas kita mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dapat mengurangkan ketegangan, selain kita tidak bersama Bersih setelah ada bibit-bibit untuk mengubah hala tuju sebenar Bersih.
Pas dilihat terus diasak di segenap penjuru, apa yang membuatkan Pas terus kebal meskipun terus diasak?
Kekuatan Pas terletak pada dasar Islam dan akidah perjuangan yang tidak boleh dibeli oleh sesiapa.
Pas sudah membuktikan betapa istiqamahnya untuk menegakkan akidah dan syariat tanpa mempedulikan apa juga halangan dan cabaran. Malah, pimpinan Pas sekalipun akan tercampak keluar atau dicampak oleh ahli jika tidak beristiqamah dengan Islam dan cuba mengubah haluan Pas. Pas parti milik ahli yang bersama Pas kerana Islam. Pimpinan boleh datang dan pergi tetapi ahli Pas tetap istiqamah bersama bahtera Pas.
Diuji dengan masalah kesihatan baru-baru ini, adakah ia mengganggu tumpuan Datuk Seri kepada parti? Lebih-lebih lagi dengan jadual padat di dalam dan luar negara.
Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik dan saya dapat menghadiri mesyuarat dan program-program parti secara beransur-ansur.
DAP tiba-tiba nyatakan hasrat bertanding di Kelantan. Adakah ini boleh dilihat sebagai perang terhadap Pas dan bukan untuk lawan Umno. Sebab seperti diketahui Pas memang dah lama bertapak di Kelantan.
Itu hak demokrasi dalam negara kita yang membenarkan untuk mana-mana parti bertanding dan meletakkan calon, asalkan ada kawasan parlimen, bukan Pulau Kapas atau Pulau Bidong yang tidak ada pengundi.
Melihat sambutan anak muda pada Himpunan Fastaqim 2.0 baru-baru ini, bolehkah ia diterjemahkan sebagai sokongan anak muda pada PRU14?
Alhamdulillah, saya rasa terharu dengan kehadiran peserta Fastaqim 2.0 yang kebanyakannya anak muda. Ini satu harapan kepada Pas bahawa masa depan Pas sangat cerah. Dengan program-program yang dijalankan sepanjang dua hari, saya berterima kasih kepada anak muda yang berminat dan berani hadir serta menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.
Di dalam Pas hari ini juga, saya ingin menjelaskan, Pas dibarisi beribu profesional muda yang tampil memperkemaskan pasukan profesional sedia ada. Oleh sebab itu, Pas tidak ketandusan pasukan yang membuat analisis berkaitan potensi pilihan raya dan gerak kerja parti lain. Pas hari ini mempunyai persediaan pilihan raya lebih lengkap dan menyeluruh dengan tampilnya profesional muda ini - SH

Sunday, 4 June 2017

Catatan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dari IJN

Berikut adalah catatan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini masih menjalani rawatan di Instittut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur:

Perasaan saya di ketika ini adalah penuh dengan kerinduan yang tidak terkira kepada keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan, walaupun fizikal sedang diganggu kesakitan dan ditahan di sini kerana rawatan yang diwajibkan.

Paling dirindui ialah Kuliah Dhuha Masjid Rusila (Marang, Terengganu) dan semua pelajarnya yang dimulakan sejak tahun 1976 kerana didesak oleh orang tua penduduk Kampung Rusila supaya menggantikan kuliah ayahanda (semoga mendapat rahmat dari Allah) yang baru meninggal dunia pada 1 Mei 1975.


Saya juga sangat merindui berada di samping semua pemimpin Pas di semua peringkat termasuk rakyat jelata. Saya turut mengalami dan bersama dengan denyut kesusahan dan keperitan mereka khususnya di kalangan petani, nelayan dan pekerja rendah, serta belia menganggur yang sangat menekan perasaan saya.

Di masa menahan kesakitan, saya memilih untuk mendengar alunan bacaan al-Quran sebagai penawar jiwa yang lebih baik daripada ubat penahan sakit. Hal ini menambahkan lagi keyakinan saya bahawa sebenarnya al-Quran adalah kitab Allah yang juga merupakan satu mukjizat ilmu.

Dalam perbincangan saya dengan pakar perubatan, bertambahlah keyakinan saya bahawa wajib digabungkan ilmu wahyu bersama ilmu perubatan moden ini yang juga kurniaan Allah.

Teringat saya dalam sirah Rasulullah apabila seorang sahabat R.A. menggunakan madu lebah kerana khasiatnya yang disebut di dalam al-Quran, tiba-tiba perutnya bertambah sakit, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah!, perut saya bertambah sakit walaupun meminum madu mengikut al-Quran? Sabda Rasulullah SAW: Allah Maha Benar tetapi perutmu yang bohong (maksudnya dia memakan madu/ubat dalam kadar/dos yang berlebihan).

Ia memberikan kefahaman bahawa di sini wajibnya digabungkan ilmu wahyu bersama ilmu duniawi. Ringkasnya, apabila para ulama meninggalkan ilmu dunia ianya akan menjadi salah dan begitulah juga jika para ilmuan duniawi meninggalkan petunjuk al-Quran dan Rasul maka juga akan menjadi sesat.

Tegasnya tiada pemisahan dalam Islam di antara sains dan agama, bahkan semua urusan duniawi kerana Islam adalah satu cara hidup (way of life). Di sini kita menyaksikan pemimpin politik yang merasa dirinya bijak tanpa agama dan banyak salah lakunya, namun tidak bersedia bertaubat walaupun Allah membuka pintu taubat seluas-luasnya.

Saya cukup terharu dengan pandangan daripada rakan taulan seperjuangan dari dalam dan luar negara yang bersedia saya dirawat di mana sahaja tempat terbaik di dunia dan ingin membantu segala perbelanjaanya.

Namun saya membuat keputusan supaya dirawat di tanah air sendiri dan bergantung pada kepakaran yang ada dalam negara, kecuali kalau tidak adanya kepakaran dalam bidang tertentu seperti yang berlaku terhadap Almarhum Datuk Dr. Haron Din yang dengan berat hati terpaksa memilih untuk mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat setelah mendapat pandangan daripada IJN sendiri.

Dalam mendapatkan rawatan kali ini, IJN menjadi pilihan saya, kerana bak kata pepatah hujan batu di negeri sendiri tidak sama dengan hujan emas di negara lain. Untuk menjalankan pembedahan yang saya alami, IJN telah menubuhkan pasukan terbaik yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. Mohd Azhari Yakub, Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon, Datuk Dr. Suhaini Kadiman, Datuk Dr. Rosli, Datuk Dr Mohd Nasir Muda, Datuk Dr. Suneta, Datuk N. Thiru Kumar, Datuk Dr. Ghazali Ahmad dari Hospital Kuala Lumpur, serta yang tidak berkesempatan saya sebutkan nama mereka, dan semua staff sokongan di setiap setiap unit yang turut sama dalam pembedahan dan rawatan saya.

Saya amat terharu dengan khidmat cemerlang semua pihak ini disetiap masa dan ketika. Khidmat professional sepanjang dalam sejarahnya jugalah yang membolehkan IJN disenaraikan ke peringkat antarabangsa sebagai tempat terulung dalam bidangnya.

Saya sepenuhnya mengucapkan terima kasih kepada semua, semoga Allah SWT jualah yang membalas pahala dan fadhilat daripada niat yang ikhlas itu. Semoga Allah SWT sahaja yang memberi ganjaran kepada semua.

ABDUL HADI AWANG

IJN, Jumaat,
7 Ramadan 1438H/ 2 Jun 2017

UTUSAN

Tuesday, 2 May 2017

RUU 355: Hadi ucap terima kasih kepada kerajaan


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberi laluan kepada parti itu membentangkan rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Beliau berkata pembentangan rang undang-undang itu merupakan sejarah buat PAS dan parti itu akan sentiasa mengingati jasa baik kerajaan.
“Kita (PAS) berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan laluan berharga buat PAS untuk membentangkan usul berkenaan. Kita tidak akan lupakan perkara itu sampai bila-bila.
“Suara hati kita telah berjaya dilontar di Parlimen dan keputusan menangguhkan persidangan Parlimen membolehkan kita memberi penerangan mengenai RUU itu kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS ke-63 di Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku di Parlimen semasa pembentangan RUU berkenaan memperlihat kedangkalan sesetengah ahli Parlimen terutama daripada pembangkang.
“Kita perhatikan akhlak murahan termasuk (Anggota Parlimen) bukan Islam yang membantah pembentangan itu dengan menunjukkan aksi terjerit-jerit dan melaungkan kata kurang sopan…ini bukanlah ciri-ciri ahli Parlimen sejati yang dipilih rakyat.
Kerana marahkan PAS untuk memartabatkan Islam, PAS telah dihalang sebegitu rupa,” katanya.
Abdul Hadi turut menegaskan PAS bukannya parti persinggahan bagi pihak tertentu yang mahu memperguna parti Islam itu demi kepentingan diri sendiri.
“Jangan jadikan PAS parti persinggahan hanya untuk sementara dan kemudian berambus pergi bila ‘aircond’ kita rosak,” katanya.
Pada sidang media kemudian, ditanya mengenai parti mana yang menjadikan PAS sebagai parti persinggahan, beliau berkata itu adalah satu kenyataan umum kerana PAS tidak memusuhi mana-mana parti politik.

Sunday, 30 April 2017

HADI DAN MUSUH ISLAM


Muktamar Agung Pas memberi isyarat jelas bahawa parti itu meletakkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP sebagai musuh utama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Penegasan Presidennya, Hadi Awang (sehari sebelum muktamar) yang menyifatkan DAP dan sekutunya sebagai ancaman kepada Islam, cukup keras. Ucapan perasmian beliau kelmarin juga hampir sama nadanya - menyerang balas Pakatan Harapan. 

Kelantangan Hadi itu dilihat sebagai semboyan perang buat ahli-ahli dan para penyokong menjelang PRU-14 nanti. 

Lebih-lebih lagi Hadi baru sahaja dipilih semula sebagai Presiden Pas (menang tanpa bertanding) dan mencapai kemenangan moral selepas pembentangan RUU 335 di Dewan Rakyat baru-baru ini. 

Bukan sahaja DAP, PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diisytiharkan musuh, Dewan Ulama dan Dewan Pemuda turut meluluskan usul menamatkan hubungan dengan PKR. 

Muktamar itu juga menyaksikan para perwakilan Pas membidas kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali. 

Awang lihat perkembangan terbaharu ini petanda buruk buat Pakatan Harapan. Segala penghinaan, permusuhan dan pengkhianatan oleh Pakatan Harapan diketuai pemimpin de facto DAP, Lim Kit Siang terhadap Pas ditentang habis-habisan, yang akan mencapai kemuncaknya pada PRU-14. Jangan diambil mudah Hadi dan Pas, senyuman boleh bertukar amukan.

UTUSAN

Tuesday, 11 April 2017

DAP serpihan tahi PAP, kata Hadi


Selepas mencetuskan kemarahan beberapa pihak dengan perumpamaan “biawak hidup” terhadap musuh politiknya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata DAP merupakan “anak butir tahi” PAP, merujuk Parti Tindakan Rakyat yang memerintah Singapura.

“Singapura ini bapa DAP, yang memerintah Singapura adalah PAP. Dulu Singapura dalam Malaysia, banyak cawangan PAP di Malaysia.

“Bila Singapura keluar dari Malaysia, PAP tukar jadi DAP. Jadi, DAP ini anak butir tahi PAP,” kata Hadi berucap di Rusila, Terengganu.

“Ini mungkin bahasanya kasar sedikit,” tambahnya.

Permusuhan PAS dan DAP memuncak selepas Hadi membawa usul membentangkan rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, bagi membenarkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

Dalam ucapannya semalam, Hadi turut mempersoalkan tindakan DAP yang mempertikaikan kerjasama antara PAS dan Umno.

“Kita berunding dengan Umno sahaja, sama-sama Melayu Islam. Adakah itu salah?” soal beliau.
Katanya, kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang juga berunding dengan Amerika Syarikat.
“Berunding dengan negara asing tidak apa, bincang tentang politik Malaysia?

“Politik Malaysia, biarlah orang Malaysia sendiri yang buat perubahan, tidak perlu jemput Amerika Syarikat, tidak perlu jemput negara asing ke sini,” katanya.

“(Mereka) berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia. Kita (PAS) tidak sampai tangga (ke tahap) itu, nak suruh negara asing campur tangan negara kita. FMT

Monday, 13 February 2017

PAS kaji semula hubungan dengan PKR

PAS akan mengkaji semua hubungan dan kerjasama dengan PKR, sama ada mahu diteruskan atau tidak pada muktamar parti itu, April ini. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata alasan untuk berbuat demikian kerana parti pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu masih menjalin hubungan dengan DAP, parti yang jelas menolak dasar Islam diperjuang PAS.

 "Dengan PKR pun kita akan buat keputusan masa muktamar ini," katanya ketika menjawab soalan media mengenai tempoh sebulan diberi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, sama ada parti itu mahu menyertai pakatan pembangkang atau tidak.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu dalam jawapan balas segeranya terhadap tempoh diberi Dr Mahathir itu, Abdul Hadi berkata, "tidak perlu tunggu sebulan sebab mereka sudah ada hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara".

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata kerjasama parti itu dengan PPBM masih terbuka, terutama berkaitan dengan perkara yang membawa kebaikan kepada ummah dan Islam. Menyentuh Himpunan Akta 355 dijadual di Padang Merbok, Sabtu ini, Abdul Hadi berkata, ada maklum balas positif diterima dari parti tertentu, namun tidak mahu menyatakan parti mana. "Kita tunggu Sabtu ini,"

katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan Anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS di ibu pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, pagi ini.


Monday, 26 September 2016

TG Haji Hadi Awang calon tepat ganti Haron Din


Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan calon paling tepat menggantikan kedudukan Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS, kata pengarang akhbar Utusan Malaysia.

Zulkiflee Bakar dalam ruang komentar akhbar itu berkata, bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya Majlis Syura Ulama menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Presiden PAS memandangkan beliau dilihat mempunyai pakej lengkap menyandang jawatan tersebut.

“Jika Abdul Hadi dipilih sebagai Mursyidul Am, ini dianggap pilihan yang tepat memandangkan Pas sememangnya memerlukan seorang pemimpin seperti beliau bagi memperkasakan peranan ulama dan Majlis Syura Ulama parti itu,” katanya dalam Utusan Online.

Tambah Zulkiflee, PAS tidak lagi berada dalam situasi selesa malah pilihan raya umum akan datang dianggap sebagai penentu sejauh mana kepimpinan ulama diterima penyokong PAS.

“Sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar untuk mencari pengganti Abdul Hadi sebagai Presiden Pas jika beliau dilantik sebagai Mursyidul Am parti itu.

“Parti itu sememangnya sudah menyediakan barisan pelapis bagi mengambil alih kepemimpinan parti itu. Antara tokoh tersebut termasuklah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Idris Ahmad,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang lebih selesa dengan jawatan tersebut mencadangkan supaya tokoh lain dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya Haron Din.

Beliau yang juga Menteri Besar (MB) Kelantan memberi alasan menolak tawaran itu kerana sibuk dengan pelbagai komitmen lain.

Jawatan itu kosong selepas Haron Din meninggal dunia pada 16 Sept lepas ketika sedang dirawat di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California.