Showing posts with label ismail sabri. Show all posts
Showing posts with label ismail sabri. Show all posts

Tuesday, 3 April 2018

Tun M pernah berhasrat swastakan Felda - Ismail Sabri

Tun M pernah berhasrat swastakan Felda - Ismail Sabri
Tun M tidak pernah memberi peruntukan khas kepada Felda sepanjang beliau memerintah negara selama 22 tahun, kata Ismail Sabri Yaakob.
BERA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berhasrat untuk menswastakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan itu diutarakan Dr Mahathir dengan memperkenalkan Dasar Persyarikatan Malaysia, namun mendapat bantahan daripada pengerusi Felda semasa itu Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

"Apabila diperkenalkan (Dasar Persyarikatan Malaysia), agensi pertama yang dia (Dr Mahathir) hendak swastakan ialah Felda tapi tak dapat (berbuat demikian) disebabkan bantahan Raja Alias.

"Akhirnya dia tak ada pilihan dan swastakan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kalau diswastakan Felda semasa itu, kita tidak tahu bagaimana nasib peneroka pada hari ini," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada Program Lawatan Kerja dan Pelancaran Model Baru Lot Perumahan Generasi Baharu Felda oleh Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak di Felda Kumai di sini, pada Isnin.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Beliau menambah Dr Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga tidak pernah memberi peruntukan khas kepada Felda sepanjang beliau memerintah negara selama 22 tahun.

Ini katanya, berbeza daripada pendekatan Najib yang telah melakukan pelbagai program dan memberi peruntukan khas kepada peneroka termasuk kepada generasi kedua dan seterusnya.

"Semua peruntukan dan projek yang dilaksanakan di bawah perdana menteri menunjukkan beliau prihatin dan sentiasa membela nasib peneroka. Sebab itu kita jangan percaya dengan pembangkang yang kata beliau mahu runtuhkan Felda.

"Perdana Menteri adalah orang yang paling sayang kepada Felda jika hendak dibandingkan dengan orang lain kerana yang mewujudkan Felda ialah ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein.

"Felda mempunyai nilai sentimental kepada beliau sebagaimana juga kalau kita ditinggalkan dengan peninggalan daripada orang tua... sudah pasti kita akan jaga sebaik mungkin," katanya.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera kemudiannya merujuk kepada peningkatan infrastruktur di 14 buah Felda di daerah ini, yang menurutnya menikmati kemudahan asas yang baik.

Mengambil contoh jalan raya, Ismail Sabri berkata Najib adalah individu yang meluluskan peruntukan bagi permohonannya untuk menaik taraf jalan raya dari Simpang Kerayong sehingga ke Triang dan Bukit Mendi yang turut memanfaatkan penduduk di Bentong dan Muadzam Shah.

"Sudah banyak jasa perdana menteri kepada kita di Bera dan saya harap penduduk di Bera dapat membalas jasa beliau dengan memberikan kemenangan besar di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, 15 November 2017

#BanjirPulauPinang KKLW sedang senaraikan kerosakan infrastruktur dan premis akibat banjir

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedang menyenaraikan jumlah kerugian kerosakan infrastruktur dan premis milik kementerian itu akibat kejadian banjir yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di setiap kawasan untuk membuat penilaian apa yang rosak sebelum menyerahkan kepada KKLW.


"Saya telah minta JKKKP untuk senaraikan infrastruktur dan premis milik KKLW yang rosak akibat banjir seperti jalan-jalan kampung, surau, dewan, balai raya serta bangunan milik kementerian untuk kami serah  kepada  Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sempena penyelarasan bantuan bencana pasca banjir di Pulau Pinang di Permatang  Rawa, di sini hari ini.

Beliau melawat lima tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Padang, Kepala Batas; tabika Kemas Lahar Yooi dan Simpang Tiga di Tasek Gelugor; tabika Kemas Permatang Rawa serta Tabika Taman Abidin di Jelutong.

Pada lawatan itu, beliau turut mengagihkan 1,400 pek bantuan yang mengandungi makanan, barang-barang keperluan diri, tilam dan selimut kepada mangsa terlibat.

Ismail Sabri berkata sebanyak 41 tabika Kemas di Pulau Pinang mengalami kerosakan akibat banjir membabitkan kerugian RM165,000 dan kementerian sedang menjalankan kerja-kerja membaiki supaya kanak-kanak yang belajar di situ dapat meneruskan pembelajaran.

"Kerosakan itu tidaklah teruk dan petugas kami sedang menjalankan kerja pembaikan seperti mengecat, membaiki peralatan dan pendawaian eletrik serta membaiki perabut yang terdapat dalam tabika berkenaan.

"Semua tabika itu juga telah beroperasi dan hanya ditutup ketika banjir baru-baru ini sahaja, cuma banyak peralatan pembelajaran yang rosak jadi kami akan gantikan segera," katanya.

Sementara itu, beliau berkata 1,645 sukarelawan terdiri daripada lima agensi di bawah KKLW berada di Pulau Pinang hari ini bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir melanda negeri itu baru-baru ini.

Katanya menerusi bantuan itu, sukarelawan terlibat akan menjalankan aktiviti gotong-royong seperti membersih dan mengecat premis-premis bangunan yang terjejas berikutan kejadian itu.

"Seramai 1,645 sukarelawan daripada agensi di bawah KKLW iaitu Kemas, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Negara (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dihantar bagi membantu mangsa di 30 lokasi banjir di Pulau Pinang," katanya.

Selain itu, beliau berkata sukarelawan daripada pelatih GiatMara juga akan membantu membaiki semua peralatan elektrik termasuk motosikal secara percuma. - Bernama

Friday, 28 July 2017

PH hanya peralatkan Dr Mahathir tumbang BN, kata Ismail Sabri


Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan dibenarkan menjadi perdana menteri oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14, tetapi hanya diperalatkan untuk menyerang UMNO, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang tentunya tidak akan membiarkan perkara itu menjadi kenyataan atas sejarah hitam atau “dosa silam” Dr Mahathir ke atas mereka dan keluarga mereka semasa bergelar perdana menteri.

“Dosa Dr Mahathir pada mereka terlalu besar. Macam Lim Kit Siang, anaknya, Lim Guan Eng pernah dipenjara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Dr Mahathir dan begitu juga dengan Anwar, beliau sendiri dituduh dengan dengan pelbagai tuduhan dan keburukan moral yang tentunya turut memalukan seluruh anggota keluarganya.
Advertisement



“Sebab itu, saya tidak fikir Anwar atau Kit Siang atau keluarga mereka boleh memaafkan dosa besar Dr Mahathir itu,” katanya mengulas kemungkinan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara jika PH memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ismail tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir dipergunakan Anwar dan Kit Siang untuk menyerang Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas menyedari wujud “isu peribadi” antara beliau dan Umno, selepas usaha menempatkan anaknya Datuk Seri Mukhriz di kerusi naib presiden Umno pada pemilihan parti 2013 gagal.
Dalam konteks sama, katanya, DAP menggunakan peluang itu untuk menyerang Melayu dan Umno melalui Dr Mahathir sehingga parti yang ditunjangi orang Melayu terus berpecah sedangkan DAP kekal seperti yang mereka mahukan.

Katanya, parti diwakili orang Melayu berpecah kepada 5 iaitu Umno, PAS, PKR, Amanah dan PPBM dan dalam skala PH, DAP kekal parti dominan.
“Budi bicara atau ikhsan mereka (DAP) amat ditagih dalam memilih atau melantik seorang perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum,” katanya. FMT