Showing posts with label kamarul yusoff. Show all posts
Showing posts with label kamarul yusoff. Show all posts

Monday, 2 April 2018

Surat terbuka Kamarul buat Dr Mahathir




Ke hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad,

Membaca tulisan terbaru Dr Mahathir bertajuk “Islam saya” yang menjawab tulisan saya bertajuk “Pemikiran Islam yang tidak betul sebab terbesar Dr Mahathir tidak layak jadi perdana menteri” mengesahkan lagi betapa tidak betulnya pemikiran Islam Dr Mahathir.

Untuk makluman Dr Mahathir, soal pemikiran Islam tidak betul Dr Mahathir yang mengutamakan akal fikiran ini bukan sahaja dinyatakan oleh Datuk Dr Haron Din, malah oleh ramai lagi agamawan tanah air, termasuk mereka yang sekarang berada di keliling Dr Mahathir.

Memang betul al-Quran menyebut berkali-kali akan mustahaknya mengguna akal fikiran dan tidak disebut dalam al-Quran larangan berfikir dan terima sahaja semua pendapat dari pakar Islam, tetapi menggunakan akal fikiran ini ada kaedahnya di dalam Islam.

Akal sebagai antara sumber ilmu memang diakui, tetapi seperti disebut oleh Imam as-Syafi’ie: “Sesungguhnya akal mempunyai batasan yang menjadi penghujung kemampuannya sebagaimana penglihatan mempunyai batasan yang menjadi penghujung pandangannya”.

Dr Mahathir sendiri pernah menyebut di dalam ucapannya di The Oxford Centre For Islamic Studies pada 16 April 1996, mengenai “di mana Quran atau Hadith tidak jelas, sarjana boleh memberikan pandangan atau ijtihad, mengguna kemampuan berfikir”.

Di dalam ucapan Dr Mahathir yang tidak diketahui siapa penulisnya ini, beliau mengakui ilmu yang berteraskan wahyu adalah lebih tinggi daripada ilmu yang berteraskan akal, di mana bila ada dalil qat’ie/jelas di dalam Quran atau Hadith, maka akal tidak boleh digunakan.

Bukan sebarang orang yang boleh berijtihad kerana ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti menguasai Bahasa Arab, mempunyai pengetahuan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, mempunyai pengetahuan mengenai ilmu Usul al-Fiqh serta ijma’ dan khilaf.

Masalah Dr Mahathir ialah beliau suka mempertikaikan dengan menggunakan akal fikiran, perkara-perkara yang sudah ada dalil qat’ie/jelas di dalam Quran atau Hadith seperti pensyariatan hudud dengan menyebut pada 26 Februari 2012, “hudud tidak terdapat dalam al-Quran”.

Bukan setakat Dr Mahathir sahaja, malah anaknya sendiri, iaitu Datuk Paduka Marina juga menyebut perkara sama sebelum ini, termasuk di dalam akhbar The Star pada 18 Julai 2012 kononnya “none of the so-called hudud punishments can be found in the Quran”.

Jika Dr Mahathir dan Marina membaca al-Quran dengan betul, maka sudah pasti akan didapati istilah “hudud” terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam Ayat 187 dan 229 Surah al-Baqarah, Ayat 13 dan 14 Surah al-Nisa’ serta Ayat 1 Surah al-Talaq.

Jika al-Quran dibaca dengan betul, maka sudah pasti akan didapati hukum hudud terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam Ayat 38 Surah al-Ma’idah (curi), Ayat 33 Surah al-Ma’idah (hirabah), Ayat 3 Surah al-Nur (zina) dan Ayat 4 Surah al-Nur (qazaf).

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata di dalam portal berita Malaysia Kini pada 23 Ogos 2012 “orang yang menentang hukum yang ada di dalam al-Quran, dia terkeluar agama” dan “kalau pertikai hudud itu sendiri, dia telah keluar agama”.

Begitu juga dengan Timbalan Penasihat Umum Amanah, Abdul Ghani Samsudin pada 3 Januari 2013 menyebut kenyataan Dr Mahathir bersabit “hudud tiada dalam al-Quran” adalah “kenyataan salah yang perlu ditarik balik dan menggugat aqidah umat Islam”.

Masalah Dr Mahathir ialah beliau mempunyai kefahaman salah mengenai perkara ini, di mana ucapannya di Universiti Al-Azhar pada 10 Mei 1998, beliau menyebut kononnya “hanya jika ucapan 2 kalimah syahadah ditolak, barulah seseorang itu terkeluar dari agama Islam”.

Dr Mahathir juga nyata tidak mampu memahami perkara asas di dalam Islam dengan menyebut “Hadis Nabi termasuk dalam bahagian sunnah dalam Islam. Mengamal sunnah adalah baik dan mendapat pahala untuk akhirat. Tetapi jika tidak mengamalnya tidak berdosa”.

Malah, perkara yang sama turut pernah Dr Mahathir nyatakan pada 26 Februari 2014, di mana beliau menyebut: “Ada gesaan yang sunnat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan…Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu sama ada hadis wajib dan mesti diterima.”

Sedih sekali melihat Dr Mahathir tidak tahu membezakan antara “sunat” sebagai salah satu daripada hukum syarak taklifi yang 5 dengan “Sunnah” yang menjadi sumber syariat yang paling utama selepas al-Qur’an yang jika ditolak boleh menyebabkan seseorang itu murtad.

Masalah Dr Mahathir juga ialah beliau suka mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum, sedangkan aliran pemikiran liberal ini sudah diputuskan sebagai sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 25-27 Julai 2006.

Hakikat Dr Mahathir tidak memahami Islam jelas terlihat di dalam pengakuannya pada 23 Januari 2018 “sesungguhnya banyaklah perkara yang mengelirukan saya berkenaan agama Islam” dan “banyak lagi ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru(kan) saya”.

Jika Dr Mahathir memahami Islam, sudah tentu beliau tidak akan mengakui banyak ajaran Islam dan amalannya yang mengelirukannya dan sudah tentu Dr Mahathir tidak akan bertanya “jika babi disembelih dengan menyebut nama Tuhan, haram lagikah daging babi itu?”

Dr Mahathir juga mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam di mana beliau pada 6 Februari lalu menyebut “bukan kita nak ambil semua (ajaran Islam) masuk” yang bercanggah dengan Ayat 208 Surah al-Baqarah mengenai kewajiban menerima Islam secara keseluruhan.

Ia juga berbeza daripada kehendak majoriti umat Islam yang tertera di dalam kenyataan Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim, bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada umat Islam untuk melaksanakan seluruh tuntutan agama mereka.

Perkara ini malah sering ditegaskan kembali oleh pelbagai pemimpin Islam lain seperti Pengerusi Kanun Amanah, Mohamed Hanipa Maidin, pada 12 Jun 2007 menulis Perkara 11 merangkumi pengamalan agama Islam secara syumul.

Malah, Mahkamah Persekutuan dalam kes Sulaiman Takrib (2008), Fathul Bari Mat Jahya & Anor (2012) dan ZI Publications Sdn Bhd & Anor (2015) juga memutuskan perintah agama Islam adalah luas, iaitu meliputi “aqidah”, “syariah” dan “akhlak”.

Disebabkan kefahaman Islam yang tidak betul inilah, maka Dr Mahathir tegar menghalang pelaksanaan syariat Islam, sedangkan dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 12 hingga 21 April 2014 menunjukkan 71% responden Melayu menyokong hukum hudud.

Begitu juga dengan dapatan kaji selidik terbaru Wan Saiful Wan Jan, yang kini merupakan timbalan pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, menunjukkan 90% daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat peningkatan keagamaan adalah bagus.

Baik bila Dr Mahathir mengakui “kuasa memelihara pada setiap masa agama Islam ada pada Yang di-Pertuan Agong”, tetapi penegasan Dr Mahathir “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini.

Ini kerana, pada 20 Oktober 2015, Dr Mahathir sendiri menegaskan: “Ianya benar Agong dan raja-raja Melayu adalah raja berperlembagaan. Tetapi itu tidak bermakna mereka adalah pak turut semata-mata untuk mengesahkan semua tindakan kerajaan.”

Penegasan Dr Mahathir “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” juga membawa kita kembali kepada poin asal saya, iaitu tiadanya kefahaman Islam yang betul pada diri Dr Mahathir menyebabkan beliau sangat tidak layak untuk menjadi perdana menteri.

Ini kerana ia tidak akan membolehkan ikrar untuk “memelihara agama Islam pada setiap masa” yang dilafazkan Yang di-Pertuan Agong, sekaligus bagi membolehkan peruntukan “Islam ialah agama bagi persekutuan” dapat dilaksanakan dengan baik.

Kenyataan Dr Mahathir bahawa “dalam al-Quran jika hukum sebat hendak dikenakan, tentukan dahulu kesalahan” tidak memberikan apa-apa impak ke atas kenyataannya pada 19 Februari 2017 yang hukum sebat 100 kali dalam Islam akan menyebabkan kematian.

Kenyataan Dr Mahathir mengenai hukum sebat ini malah diakui Asri (mufti Perlis) menunjukkan Dr Mahathir mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam dengan berkata pada 23 Februari 2017 ia “sama sekali salah dan tidak benar”.

Kenyataan Dr Mahathir bahawa “Perdana menteri diberi ramai penasihat, di antaranya ialah penasihat agama, bukan seorang tetapi ramai” tidak memberi apa-apa makna kerana selepas 22 tahun menjadi perdana menteri pun, mereka gagal mengubah pemikiran Islamnya.

Saya hairan ke mana perginya ulama di dalam Pakatan Harapan, bukan sahaja di dalam PPBM, tetapi juga ulama di dalam Amanah dan PKR, khususnya Ahmad Awang dan Dr Muhammad Nur Manuty, sehingga tidak berani langsung menegur Dr Mahathir di dalam soal ini.

Jika sewaktu Dr Mahathir belum menjadi perdana menteri pun, para ulama di sekelilingnya di dalam Pakatan Harapan sekarang sudah tidak berani menegur beliau di dalam soal ini, usah haraplah mereka akan berani menegurnya, jika beliau menjadi perdana menteri nanti.

Kenyataan Dr Mahathir bahawa bila saya menyoal kebetulan Islam Dr Mahathir tentulah saya menganggap kebetulan Islam Datuk Seri Najib Razak lebih betul dan beliau lebih layak jadi perdana menteri adalah tidak relevan kerana tulisan saya hanya membicarakan kelayakan Dr Mahathir.

Saya tidak faham mengapa Dr Mahathir terlalu defensif bila kelayakannya untuk menjadi perdana menteri dibicarakan dengan membandingkan kelayakannya dengan Najib. Mengapa tidak dibandingkan dengan pemimpin Pakatan Harapan lain atau PAS?

Walau apa sekalipun yang diperkatakan mengenai beliau, paling tidak Najib tidak cuba berlagak pandai dengan membicarakan soal-soal agama di dalam cara yang boleh menyesatkan orang ramai seperti yang Dr Mahathir didakwa lakukan oleh para agamawan.

Bila Dr Mahathir tidak mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan yang langsung tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam sebagai agenda di dalam mana-mana satu daripada 5 terasnya, 60 janjinya dan 5 iltizam khususnya, ini bermakna ia betul.

Semoga kita diberikan hidayah oleh Allah.

Kamarul Zaman Yusoff ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia.

Friday, 23 June 2017

AMANAH & Datuk Fadzil Mohd Noor



Bersempena ulang tahun kematian Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002, hari ini, 23 Jun 2017, beberapa pemimpin AMANAH kelihatan mencoretkan semula pengalaman peribadi mereka bersama Almarhum, sudah tentu bersama niat tersirat untuk menunjukkan bahawa perjuangan mereka adalah selari dengan perjuangan Almarhum.
Seperti yang pernah saya beberapa kali sebutkan sebelum ini, perjuangan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebenarnya adalah jauh berbeza dari perjuangan AMANAH sekarang, kerana Almarhum nyata mempunyai ketegasan mempertahankan prinsip perjuangan parti yang Almarhum ketuai, khususnya yang membabitkan agenda perlaksanaan syariat.
Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor-lah yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 yang membuat satu keputusan penting yang mendorong DAP menarik diri dari Barisan Alternatif (BA), satu pakatan politik yang dianggotai oleh PAS, PKN, DAP dan PRM sejak tahun 1999, pada 22 September 2001.
Keputusan penting yang tercatat kemas dalam lipatan sejarah ini adalah berbunyi bahawa “PAS tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan dan undur ke belakang semata-mata untuk melayan kehendak Parti DAP” dan bahawa “prinsip (menegakkan Negara Islam) ini akan dipertahankan walaupun terpaksa kehilangan Parti DAP di dalam pakatan BA”.
Ketegasan mempertahankan prinsip perjuangan parti ini dikekalkan oleh Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sehingga ke akhir hayat di mana sehingga Almarhum pergi mengadap Ilahi pada 23 Jun 2002 sekalipun DAP kekal berada di luar BA sehinggalah DAP dan PAS, juga PKR, kembali bekerjasama selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum 2008.
Ucapan dasar terakhir Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor pada Muktamar Tahunan PAS pada 31 Mei 2002 juga cukup tegas: “Agenda perlaksanaan syariat adalah agenda terpaling mulia dan maha besar yang perlu disegerakan oleh seluruh pimpinan negara ini. Ia adalah ibadah dan jihad yang paling awla (utama) yang perlu didepani oleh seluruh umat ini.”
Pada peringkat peribadi, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor pernah menulis kata-kata aluan di dalam salah sebuah buku saya kira-kira sebulan sebelum Almarhum pergi mengadap Ilahi, iaitu pada 20 Mei 2002, di mana kata-kata aluan Almarhum di dalam buku ini juga menjadi bukti jelas mengenai hala tuju terkini PAS jika Almarhum masih ada.
Tulis Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor di dalam buku saya ini: “PAS sebagai wadah politik Islam dan sentiasa ke hadapan dalam soal penegakan Negara Islam telah maju setapak lagi bagi merealisasikan negara ini sebenarnya menjadi Negara Islam dengan dua buah negeri yang dikuasainya diperkenalkan Enakmen Syariah yang di dalamnya terkandung Hudud dan Qisas untuk benar-benar menepati negeri-negeri berkenaan menegakkan daulah Islamiah.”
Jika benar perjuangan AMANAH diasaskan kepada perjuangan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, saya cabar pemimpin AMANAH menyebut apa yang Almarhum sebut ini, iaitu bahawa, jika AMANAH berkuasa, AMANAH juga akan memperkenalkan Enakmen Syariah yang di dalamnya terkandung Hudud dan Qisas di negeri-negeri yang dikuasainya!





Tuesday, 30 May 2017

Jawapan kepada Lim Kit Siang : Benar kamu bukan Kristian, tetapi DAP dikuasai oleh Kristian


Sungguh melucukan sekali melihat Penasihat DAP merangkap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, bergelut untuk memisahkan DAP dari agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh.
Dua kali, pada 18 Mei dan 27 Mei, Lim Kit Siang menekankan betapa beliau bukan seorang Kristian (“I am not a Christian”) seolah-olah Lim Kit Siang adalah DAP dan DAP adalah Lim Kit Siang.

Walhal dunia, termasuk Dr Zulqarnain Lukman dari KANUN AMANAH, tahu bahawa kuasa eksekutif di dalam DAP terletak di tangan Setiausaha Agung DAP, bukannya Penasihat atau Pengerusi DAP.
Ramai yang berspekulasi bahawa Setiausaha Agung DAP sejak 2004, Lim Guan Eng, adalah seorang Kristian, tetapi tidak ada yang benar-benar mampu memberikan bukti konkrit mengenainya.
Sebagai seorang pembaca tegar, saya berpeluang membaca pengakuan sensasi Lim Guan Eng mengenai bagaimana beliau memeluk agama Kristian sewaktu berada di dalam Penjara Kajang pada 1998.

Pengakuan Lim Guan Eng ini terdapat di dalam wawancara bertajuk “Lim Guan Eng: The Prison to Parliament Leader” di dalam buku “Heart to Heart with Asian Leaders: Exclusive Interviews on Crisis, Comebacks & Character”.

Di antara pengakuan Lim Guan Eng ini ialah:
1. “However, I had to take a leap of faith, which was not a forethought but an afterthought. That came when I converted to Christianity very late in my years, when I was searching for answers. I found them in the Bible.”

2. “I read the Bible cover to cover. Three times. I requested for the Bible when I was in prison in 1998... During my second imprisonment in Kajang Prison in 1998, being a family man, I had to worry about my wife and children. So it was much more painful. You realized suffering. Then I looked at the suffering that Christ endured... The suffering that he endured gave me strength. What was my suffering compared to His?”

3. “I kept telling my family to just look at the Bible, look at the characters in the Bible... That’s why you need to read the Bible... I kept telling myself that the people in the Bible suffered much more...”

Lebih menarik lagi, Lim Guan Eng turut menyebut nama dua pemimpin DAP yang beliau jadikan tempat pergantungan, iaitu Tony Pua Kiam Wee, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, dan Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP. Mengikut Lim Guan Eng, dengan kedua-dua pemimpin DAP yang beragama Kristian inilah beliau duduk untuk berbincang dan berstrategi.
Dedah Lim Guan Eng: “Right now, I rely on a younger group of people, like Tony (Pua Kiam Wee) and Anthony (Loke Siew Fook), to get things done. We sit down to talk and strategize.”

Lim Kit Siang juga berkata, tidak terdapat agenda Kristian di dalam DAP atau di kalangan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri DAP (“There is no such “Christian agenda” in the DAP or among any DAP MP or State Assembly representative.”)

Bagaimanapun, sehingga kini beliau atau mana-mana pemimpin DAP belum mampu menafikan tiga pengakuan Hannah Yeoh ini, iaitu bahawa beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda; bahawa penganut Kristian perlu membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; serta bahawa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam.

Ini adalah contoh agenda Kristian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP, iaitu Hannah Yeoh.
Saya juga boleh berikan contoh agenda Kristian seorang Ahli Parlimen DAP yang juga Strategis Pilihan Raya DAP, iaitu Dr Ong Kian Ming.

Di dalam satu kenyataan Facebook beliau pada 4 Februari 2014, Dr Ong Kian Ming jelas menulis, “Di gereja saya di SIBKL, kami telah berdoa semoga satu kebangkitan semula Kristian berlaku di dalam negara kita” (“In my Church at SIBKL, we have been praying for a Christian revival to take place in our country”.)

Di dalam satu tulisan beliau pada 19 Mac 2014, Penyelidik Parlimen Dr Ong Kian Ming bernama Sharon W H Ling menyebut: “To hope for a better tomorrow is only human; perhaps, to commit to realizing that dream is something more. For some, it is a calling, a conviction. For my boss, a Christian, it is a higher power; for myself, a secularist, it is humanity.”

Bagaimana mungkin Dr Ong Kian Ming boleh memperjuangkan agenda sekular bila Penyelidik Parlimen beliau sendiri menyifatkan beliau bukan sekularis?

Bagaimana mungkin Lim Kit Siang memisahkan agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh dari DAP bila tokoh yang melancarkan buku Hannah Yeoh, Becoming Hannah, di Subang Jaya pada 10 Januari 2015 ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sendiri?

Bagaimana mungkin Lim Kit Siang memisahkan agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh dari DAP bila tokoh yang melancarkan buku Hannah Yeoh, Becoming Hannah, di Pulau Pinang pada 22 Mac 2015 ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sendiri, dan bila pelancaran buku ini dan forum mengenainya dianjurkan oleh Wanita DAP Pulau Pinang?

Bagaimana mungkin Lim Kit Siang memisahkan agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh dari DAP bila, terbaru, Lim Kit Siang sendiri yang mati-matian mempertahankannya, termasuk di dalam “Bicara Buku Becoming Hannah” di Kuala Kubu Bharu pada 27 Mei lalu?

Dan bagaimana mungkin Lim Kit Siang boleh mengatakan bahawa, sebab beliau bukan seorang Kristian, agenda Kristianisasi tidak terdapat di dalam DAP atau di kalangan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri DAP sedangkan yang benar-benar berkuasa di dalam DAP adalah Lim Guan Eng yang beragama Kristian?

Mengapa Lim Kit Siang hanya menonjolkan hakikat bahawa beliau, yang hanyalah merupakan Penasihat DAP, bukan seorang Kristian, tetapi tidak ditonjolkan hakikat bahawa Lim Guan Eng, yang merupakan Setiausaha Agung DAP, adalah seorang Kristian?

Silap mata apakah yang cuba kamu mainkan, wahai Lim Kit Siang?





SUMBER : Kamarul Yusoff