Showing posts with label ketum. Show all posts
Showing posts with label ketum. Show all posts

Monday, 9 October 2017

Buah Pinggang Warga Emas Rosak Gara-Gara Campuran Daun Ketum

Penulisan ini ditulis Dr. Rafidah Abdullah, seorang Pakar Perunding Perubatan & Nefrologi, di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. 
pokok ketum 563
Pening kepala saya sampai ke Hospital lepas bercuti 2 minggu. Macam-macam ada!
Pakcik 56 tahun.
Pesakit Kencing Manis lebih 15 tahun; ada penyakit kronik buah pinggang tahap stabil; bacaan creatinine darah 150 umol/L sudah beberapa tahun.
Akan tetapi, pada temujanji Pakar baru-baru ini bacaan naik ke 350 umol/L (normal bawah 100 umol/L).
Kelam kelibut lah Doktor buat biopsi buah pinggang. Ianya adalah prosedur mengambil tisu untuk mengetahui sama ada masalah keradangan yang menjadi penyebab rosak buah pinggang teruk sekali.

interstitial nephritis

Bila tanya ada ambil apa-apa suplemen, katanya tak ada. Tapi bila keputusan biopsi balik: ada “interstitial nephritis”. Waduh, Ini adalah sejenis “alahan” kepada sesuatu. Lepas dapat bukti, baru lah Pakcik mengaku ada ambil campuran “daun ketum”.
masak ketum 951
Katanya ada Ustaz jual. Yang ini belum pernah saya dengar; ada pulak benda macam ini?
Ya Allah. Biar betul!
Daun ketum BUKAN rawatan penyakit buah pinggang. Campuran entah apa benda lagi dalam pil itu boleh memudaratkan.

Saya mohon sekali lagi :

1. Yang ada penyakit kronik mohon BINCANG dengan Doktor yang merawat anda. Jangan suka-suka ambil apa-apa, tak kira lah Ustaz yang jual ke atau tidak.
2. Mohon terus teranglah dengan Doktor; beritahu apa suplemen, atau rawatan tambahan yang anda ambil. Ia mungkin memudharatkan kalau campur semua bagai. Ini bukan BUFET makanan yang kita boleh campur-campur jadi sedap!
Tak pasal-pasal dah perlu rawatan Dialisis seumur hidup tak lama lagi.
Kami tidak guna ketum dalam rawatan untuk penyakit kronik di Hospital ya!

Tuesday, 25 October 2016

Penyalahgunaan Daun Ketum


Pokok ketum atau pokok biak atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia hidup subur di kawasan bertanah lembap yang mempunyai kandungan humus yang tinggi. Kebanyakannya ditemui tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung.

Batang pokok ketum berkayu keras dan bercabang. Ketinggian pokok ketum boleh mencapai sehingga 25 meter dan garis pusat batang pokok boleh mencapai sehingga 1 meter. Bahagian yang digunakan daripada pokok ketum adalah daunnya.


Penggunaan Daun Ketum Secara Tradisional

Daun ketum telah digunakan secara tradisional untuk mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat. Malahan, air daun ketum juga dikatakan telah digunakan sebagai ubat tradisional untuk merawat penyakit tertentu seperti merawat sakit belakang, demam, batuk dan penyakit cacing serta sebagai penawar diabetes, darah tinggi dan lain-lain.


Penyalahgunaan Daun Ketum

Air daun ketum telah disalahgunakan oleh penagih dadah kerana ianya mengandungi bahan-bahan psikoaktif mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria yang boleh menyebabkan penagihan.



Bahan Kimia Dalam Ketum

Daun ketum mengandungi bahan aktif mitragynine iaitu sejenis alkaloid psikoaktif. Bahan ini dikawal dibawah Akta Racun 1952 dibawah peraturan kawalan psikotropik. Terdapat juga 24 bahan lain yang terkandung didalam ketum antaranya ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine.

Kesan Ketum
Kesan pengambilan mitragynine yang berlebihan:
  • Rasa khayal (euforia)
  • Rasa pening
  • Mengantuk
  • Muntah
Kesan buruk pengambilan ketum secara berterusan:
  • Mengakibatkan ketagihan
  • Bibir dan kulit jadi kehitaman seperti kesan lebam dan terbakar terutama di pipi
  • Kulit menjadi kering
  • Sembelit
  • Insomnia


Undang-Undang Yang Mengawal Ketum

Mitragynine iaitu bahan aktif dalam air daun ketum adalah bahan psikotropik yang dikawal di Malaysia. Mitragynine disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-Bahan Psikotropik), Akta Racun 1952.

Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, adalah satu kesalahan bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik yang tersebut.

Hukuman Kesalahan menggunakan Ketum
Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952, iaitu denda tidak melebihi RM 10,000 atau 4 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Rujukan
  1. Poisons Act 1952
  2. Poisons (Psychotropic Substances) Regulations 1989