Showing posts with label khairy jamaluddin. Show all posts
Showing posts with label khairy jamaluddin. Show all posts

Wednesday, 28 February 2018

Masa Depan TN50 Di Tangan Anak Muda


Sejak kebelakangan ini dan untuk minggu-minggu mendatang, dada akhbar dan media sosial bakal didominasi oleh cerita pilihan raya. Parti-parti politik kini berusaha keras dalam usaha untuk memenangi hati dan minda pengundi sebelum mereka memilih siapa yang mampu memberikan mereka kehidupan terbaik untuk hari ini. Inilah lumrah politik dan demokrasi - pilihan raya akan datang ini akan menentukan masa depan Malaysia untuk lima tahun akan datang.

Namun sebagai seorang bapa, perkara yang lebih penting bagi saya adalah masa depan yang akan diwariskan kepada anak-anak saya nanti. Amat mudah untuk kita hanyut dalam memikirkan isu dan keadaan hari ini namun sebagai manusia, naluri semula jadi sentiasa menginginkan anak dan cucu kita mempunyai kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan kita hari ini. Inilah yang mendorong dan membakar semangat saya sepanjang perjalanan Transformasi Nasional 2050 (TN50) tahun lepas.

Secara jujurnya, semasa YAB Perdana Menteri memberi mandat memulakan TN50 dengan segmen belia, saya tidak pasti apa yang akan berlaku. Ramai yang cukup skeptik - ada yang mengatakan Generasi Y ini terlalu bersifat individualistik serta sibuk "selfie" maka tidak akan ambil peduli tentang masa depan masyarakat. Ada juga yang persoalkan mengapa kita melihat jauh 30 tahun ke hadapan - begitu jauh, tatkala masih ada cabaran pada hari ini yang masih perlu didepani.

Namun selepas setahun perjalanan TN50 ini, sebuah eksperimen wacana baharu yang bermula di Universiti Malaya kini menjadi gerakan massa belia Malaysia - daripada Belia, untuk Belia. Hampir dua juta rakyat didekati melalui pelbagai platform dengan lebih 60,000 aspirasi unik diterima melalui dialog, perbincangan kecil dan kumpulan fokus serta media sosial. Persoalan yang dilontarkan cukup mudah - apakah aspirasi anda untuk Malaysia di tahun 2050? Dan satu demi satu aspirasi disuarakan yang akhirnya membina sebuah Kanvas Belia sebagai dokumen impian anak muda untuk TN50.

Namun angka-angka ini sahaja tidak memadai untuk menggambarkan semangat yang ditunjukkan oleh belia untuk membina masa depan negara. Ketika saya menjelajah ke seluruh pelosok tanah air untuk dialog TN50, saya melihat bagaimana anak-anak muda Malaysia cukup bersemangat untuk berdebat dan melontarkan aspirasi-aspirasi yang cukup berkualiti. Ribuan daripada mereka menzahirkan cita-cita 2050 mereka - baik daripada aspek pendidikan berkualiti kepada identiti kebangsaan dan pembangunan yang saksama - baik di bandar mahupun di luar bandar. Mereka yang hadir ke sesi-sesi perbincangan kecil juga berdebat dengan fakta secara berhemah - mencerminkan rakyat muda Malaysia yang beraspirasi untuk menjadi masyarakat dengan mentaliti kelas pertama. Melalui media sosial, ramai daripada mereka yang memberi sumbangan idea dan aspirasi untuk masa depan kita semua - tanpa menghiraukan budaya negatif dan "bashing" yang mendominasi garis masa kita kebelakangan ini.

Namun mereka bukan hanya berbual kosong sahaja. Saya juga berkesempatan berjumpa dengan Ganesh Muren dan Nadhirah Rifai yang menggunakan masa muda mereka untuk membantu anak muda di luar bandar mempunyai akses kepada teknologi dan persekitaran yang lebih baik. Firdaus Ali yang baru berusia 17 tahun dan masih belajar, datang jauh dari jauh untuk memastikan generasi belia dipelihara - beliau cukup bersungguh-sunguh ingin memastikan TN50 mengambil kira kemahiran insaniah dan digital yang terkini demi menjamin pekerjaan di masa hadapan. June Yap, Faisal Ariff dan Dzameer Dzulkifli kini menjadi perintis kepada industri penjagaan awal kanak-kanak, sistem imigresen baru dan pendidikan.

Ini hanyalah beberapa contoh anak muda Malaysia yang memilih untuk melakukan sesuatu yang positif untuk Malaysia - banyak lagi anak muda dengan semangat sebegini yang saya temui semasa proses TN50 ini. Mereke menidakkan persepsi masyarakat kepada belia Malaysia - persepsi di mana anak muda hanya pandai mengkritik dan mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka membuktikan bahawa anak muda Malaysia bersedia melaksanakan perubahan yang mereka inginkan.

Itulah pengakhiran perjalanan TN50 saya secara peribadi - setahun yang penuh bermakna dan semuanya kerana semangat dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh anak muda Malaysia, dalam menyatakan aspirasi mereka, yang saya lihat dan dengar sendiri. Setelah setahun, anak muda Malaysia akan menyerahkan aspirasi TN50 kolektif mereka malam ini sekaligus melambangkan permulaan sebuah perjalanan baharu yang cukup menarik untuk kita semua.

Masa depan sudah tiba, masa depan bermula hari ini dan ia milik semua anak muda Malaysia - mereka sudah bersedia untuk memimpin kita menempuh apa jua rintangan menuju ke tahun 2050. Dan melihatkan semangat dan kesungguhan anak muda kita kini, saya yakin, masa depan kita akan lebih baik dari hari ini - bahawa TN50 bukan hanya aspirasi tetapi bakal menjadi realiti.

Saya lahir sebagai generasi Wawasan 2020 - sebuah visi yang direka kerajaan dengan sasaran makroekonomi berpaksikan Malaysia berpendapatan tinggi - sama seperti ibu dan ayah saya yang membesar dalam era Dasar Ekonomi Baharu yang bertujuan untuk membina Malaysia yang lebih saksama.

Bermula esok, anak-anak saya akan mempunyai visi kolektif mereka sendiri. TN50 - sebuah visi nasional oleh anak muda yang membawa Malaysia ke hadapan sambil memastikan tiada siapa yang akan ketinggalan. Kesinambungan inilah yang telah membawa Malaysia melangkah jauh selama ini - apa jua yang melanda, Malaysia terus melangkah ke hadapan, mendepani apa jua cabaran. Dan Malaysia akan melangkah dan terus melangkah - dengan satu mata tertacap hari ini dan satu lagi tertacap nun jauh hadapan.

Oleh Khairy Jamaluddin
28 Februari 2018

Monday, 8 January 2018

Politik Malaysia tak stabil jika Dr M jadi PM - Khairy Jamaluddin

Pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini kerana masyarakat dan pelabur luar tidak mengetahui selama mana pengerusi PPBM itu akan memegang jawatan nombor 1 negara, memandangkan sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan beliau akan memegang jawatan itu untuk sementara.

“Terdapat usaha daripada pembangkang untuk memohon pengampunan terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang sedang menjalani hukuman penjara) untuk dibebaskan secepat mungkin untuk dijadikan sebagai perdana menteri.

“Saya dengar tadi mereka (pakatan pembangkang) telah umumkan calon perdana menteri dan seperti yang dijangkakan Tun Mahathir dan timbalannya Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail).

“Ini akan menimbulkan pergolakan dalam parti dan ini juga akan memberi ketidakyakinan dalam kalangan pelabur (iaitu) selama mana Tun M akan menjadi perdana menteri, dan bila Anwar akan mengambil alih sebagai perdana menteri. Kalau saya jadi pelabur, saya akan berfikir dua tiga kali sebelum membuat pelaburan besar sebab tak tahu apakah corak pentadbiran mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Jelebu.

Turut hadir Pengerusi BN Jelebu Datuk Jalaluddin Alias, Timbalan Pengerusi BN Jelebu Baharudin Jali serta 6,000 ahli BN.

Terdahulu, Khairy yang juga ketua Pemuda Umno dalam ucapannya berkata kebanyakan pelabur memilih untuk melabur di Malaysia kerana kestabilan politik yang dimiliki negara hasil pentadbiran BN kerana tidak perlu risau akan adanya rampasan kuasa dan kacau bilau.

“Kalau kita imbas peristiwa pada 1998, pergolakan negara berlaku disebabkan antara Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) dan Anwar (ketika itu dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir).

“Hari ini mungkin mereka bersahabat kerana mereka ada musuh yang sama… pergolakan 1998 tak mungkin dilupakan begitu sahaja… ingat senang ke Dr Mahathir nak bagi (jawatan perdana menteri) selepas 6 bulan atau setahun (pegang jawatan itu)… ingat senang Anwar nak sabar nak tunggu untuk jadi perdana menteri,” katanya.

Khairy yang juga menteri Belia dan Sukan berkata janji pembangkang seperti untuk memberikan tol dan pendidikan percuma hanya sedap di halwa telinga namun implikasinya akan menyebabkan negara menuju ke arah muflis.

“Kalau pembangkang ambil alih negara dengan memberikan segala-galanya percuma, akan runtuhlah ekonomi negara,” katanya sambil menegaskan BN selama mentadbir negara tidak pernah menawarkan janji manis dan harapan palsu kepada rakyat.

Wednesday, 9 August 2017

Khairy: ‘Saya tidak campur urusan pilih atau gugur atlet’



Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tidak akan campur tangan dalam soal pemilihan atau pengguguran atlet yang akan menggalas cabaran negara dalam temasya Sukan SEA ke-29.
“Keputusan yang dibuat itu adalah melalui saluran yang betul. Saya tidak akan campur tangan dalam semua pemilihan atau menggugurkan atlet,” katanya ketika diminta mengulas laporan berhubung pengguguran atlet olahraga pada saat-saat akhir.

“Keputusan dibuat oleh pihak pengurusan sukan olahraga. Ia telah dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)… Ini adalah keputusan yang dibuat melalui saluran yang betul,” tegas beliau.
Khairy menegaskan bahawa sebagai menteri, beliau adalah penggubal dasar namun tidak mempunyai hak dalam keputusan yang dibuat persatuan sukan.
Menurut Khairy, beliau juga mendapat penjelasan bahawa keputusan yang dibuat adalah munasabah dan tidak akan menjejas peluang skuad olahraga dalam temasya dwitahunan itu.
Laporan seorang blogger sukan hari ini menyebut bahawa atlet pecut wanita, S.Komalam Shally telah digugurkan daripada senarai kuartet 4x100m wanita atas alasan disiplin.

Monday, 24 July 2017

HARAPAN ditubuh sebab kuasa

Gabungan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, ditubuh bukan untuk kebenaran, sebaliknya hanya mempunyai satu matlamat iaitu demi kuasa, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demi kuasa, kedua-dua pemimpin tertinggi pakatan harapan iaitu pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bekas anggota Umno, sanggup mengkhianati parti yang pernah dianggotai mereka sebelum ini.

“Prinsip pakatan harapan bukan demi masa depan negara tetapi bekerja demi kuasa masing-masing. Mahathir dan Anwar Ibrahim adalah bekas pemimpin Umno dan kini mereka dalam usaha memecahkan Umno dan orang Melayu.

"Kita tidak boleh ada kerajaan yang ditubuhkan atas asas dan prinsip nak kuasa, sebab itu bukan asas kepada mana-mana parti yang menubuhkan kerajaan," katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas hari ini.

Baru-baru ini, Pakatan Harapan melancarkan logo baru dan mengumumkan barisan Majlis Presiden mereka yang dipengerusikan Dr Mahathir, Anwar sebagai Ketua Umum, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden dan tiga timbalan presiden iaitu Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairy berkata segala kemajuan, keharmonian dan kebaikan yang dibina kerajaan BN sejak 60 tahun memerintah negara akan musnah jika negara diperintah oleh parti atau gabungan parti yang berasaskan inginkan kuasa.

Sambil menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai ‘bapa’ kepada segala pilihan raya, beliau menggesa orang Melayu supaya bersatu dan berganding bahu untuk menyokong calon-calon BN bagi memastikan kesinambungan kemajuan yang dinikmati selama ini.

Demi masa depan negara dan bangsa, rakyat khususnya orang Melayu harus bertindak bijak untuk mengundi pada pilihan raya umum nanti dan bukan memberi sokongan kepada pemimpin-pemimpin yang dikitar semula, katanya.

“Orang Melayu kini telah berpecah dan mereka kini mempunyai lima pilihan parti yang perlu dibuat dalam PRU nanti iaitu Umno, PAS, PKR, AMANAH dan BERSATU.


"Saya harap semua anggota Umno harus menggunakan masa ini untuk bekerja keras meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat supaya dapat dilihat oleh orang luar nanti. Kalau boleh melakukannya, sokongan orang Melayu akan kembali dan mereka akan hanya satu pilihan pada PRU nanti, iaitu Umno," katanya.



-Bernama

Sunday, 23 July 2017

5 ciri buat pemimpin Umno menang PRU14 - Khairy Jamaluddin

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggariskan lima ciri termasuk kemampuan meraikan rakyat jika pemimpin parti itu ingin memenangi hati pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya selain itu seorang pemimpin Umno juga perlu berintegriti dan amanah; cekap; prihatin dan peduli rakyat; dan menepati janji.
"Ciri-ciri itu penting kerana rakyat yang akan menentukan kemenangan dalam PRU ke-14," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Taiping di Dewan Sekolah Sains Raja Tun Azlan Shah, di Taiping hari ini.
Khairi yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Umno adalah parti yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu namun tidak menyingkirkan kaum lain sehingga membolehkan rakyat pelbagai kaum menikmati bersama hasil kemajuan negara.
Dalam sidang media kemudiannya Khairy berkata jentera Umno di semua peringkat semakin mantap dalam membuat persiapan untuk menghadapi PRU-14.
"Jentera di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi sudah digerakkan di seluruh negara dan tahap kesiapsiagaan kita kini meningkat dalam beberapa bulan sehingga PRU ke-14," katanya.
Mengenai Pakatan Harapan, Khairy berkata gabungan itu akan mempunyai masalah untuk menentukan calon perdana menteri jika mereka berkuasa kerana lazimnya ia ditentukan oleh parti yang memenangi paling banyak kerusi."Walaupun diumumkan dalam Pakatan Harapan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi) dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden) tetapi yang banyak mempunyai kerusi sudah tentu DAP.
"DAP yang akan mempengaruhi untuk melantik siapa perdana menteri. Ini yang berlaku di Perak selama 11 bulan apabila pembangkang memerintah," katanya.
-Bernama

Saturday, 15 July 2017

Barisan pimpinan Pakatan taktik perdaya Melayu, kata Khairy

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan pemilihan 3 pemimpin Melayu daripada 2 parti berbeza menerajui Pakatan Harapan (PH) sebagai lantikan taktikal dalam usaha meraih sokongan Melayu selain hanya akan menguntungkan DAP.
Khairy berkata keadaan itu juga jelas menunjukkan kecelaruan dan tidak ada kesepakatan dalam pakatan pembangkang sehingga terpaksa mewujudkan 3 jawatan teratas untuk memimpin parti berkenaan walaupun tidak jelas fungsinya.
“Dia tahu bahawa sekarang ini untuk mendapat sokongan rakyat, mereka sangat memerlukan pengundi Melayu, jadi saya lihat pelantikan ini 1 pelantikan taktikal yang semata-mata hanya untuk menunjukkan mereka mempunyai kepimpinan Melayu.
“Hakikat sebenarnya kita tahu siapa pegang kerusi yang paling banyak. Jadi kita jangan terpedaya dengan dengan taktik berkenaan kerana saya percaya di sebalik tabir yang akan menentukan dasar dari segi bilangan kerusi adalah DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, dan Puteri Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.
Menurut Khairy, walaupun tidak berada dalam senarai pimpinan tertinggi PH, DAP dilihat ‘menyembunyikan kuku’ dengan memain peranan di belakang tabir dan dijangka hanya akan menunjukkan belang selepas pilihan raya umum (PRU) sama seperti yang berlaku semasa pembangkang menerajui pentadbiran Perak suatu ketika dahulu.

“Kalau kita lihat, DAP tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan teratas dan apabila kuasa sebenar tidak diwakili dalam kepimpinan teratas saya menjangkakan akan berlaku kecelaruan.
“Kita tidak boleh serahkan kuasa ini kepada pihak yang tidak ada kepimpinan yang jelas, kerana ia tidak akan berfungsi selain tidak tahu siapa yang akan buat keputusan…apabila makhluk 3 kepala, memang susahlah nak hidup kerana tidak tahu arah mana yang hendak pergi.
“Bagi saya jika kita hendak kepimpinan yang stabil dan jelas hala tuju, hanya 1 pilihan kita iaitu Barisan Nasional,” katanya.
Khamis lepas, PH mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Ketua Umum) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Presiden).
Dalam ucapannya sebelum itu, Khairy mengingatkan perwakilan supaya tidak ‘tertumpu’ dengan soal pemilihan Umno tatkala parti itu kini berhadapan dengan cabaran besar untuk memenangi PRU akan datang.
“Itu semua tidak penting (pemilihan parti) kerana apa makna jawatan dalam parti jika kita tewas dalam PRU…jika parti kita tidak berkuasa, kita akan hilang segala-galanya.
“Ini kerana sebelum ini mereka (pembangkang) telah membayangkan jika mereka berkuasa mereka hapuskan institusi pengajian khusus kepada orang Melayu dan buka kepada kaum lain, mereka juga akan kecilkan lagi perjawatan dalam perkhidmatan awam.
“Malah mereka juga merancang untuk mengkaji semua agensi yang ditubuhkan untuk bantu kaum Melayu dan bumiputera termasuk Mara, jadi kita tidak ada pilihan melainkan mengekalkan Umno dan BN dalam PRU akan datang,” katanya.

Friday, 7 July 2017

Khairy Optimis Skuad Polo Ke Final

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melaungkan keyakinan terhadap kemampuan skuad polo kebangsaan untuk menepati sasaran layak ke final pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan depan.

Khairy yang akan turut beraksi buat pasukan negara dalam acara berkenaan berkata, persiapan pasukannya kini berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran ke final sekali gus berpeluang meraih pingat emas.

Katanya, beliau akan mengikuti sesi latihan bersama pasukannya yang sedang giat membuat persiapan di Pekan, Pahang sejurus Kejohanan Polo Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung, berakhir pada Ahad depan.

"Saya yakin pasukan negara akan menepati sasaran masuk ke final dan akan berjuang untuk mendapatkan pingat emas buat negara.

"Sebahagian besar pemain sudah berada di sana (Pekan) untuk menjalani latihan pusat dan selepas berakhirnya kejohanan ini, saya akan meluangkan masa di sana (Pekan)," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan antara pasukannya, Jogo Polo menentang La Familia di Kelab Polo Diraja Selangor, hari ini.

Pada perlawanan itu, Khairy mempamerkan aksi mantap bagi membantu pasukannya mencatat kemenangan 5-3. Jogo Polo turut menewaskan pasukan Putra Polo Club 8-6 pada aksi pembukaan Selasa lalu.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Khairy menyifatkan semangat berpasukan adalah antara kunci utama kejayaan dan berharap ia dapat dikekalkan pada perlawanan ketiga Selasa depan apabila turun menentang Ranhill Putrajaya.

"Perlawanan hari ini sangat sengit tetapi kita sudah buktikan bahawa kemenangan ini hadir daripada permainan berpasukan.

Jadi selepas ini kita akan menentang Ranhill Putrajaya dan sekiranya keputusan memihak kepada kita, kita akan ke final," katanya. - BERNAMA